Oleh NORAZLINDA MISRAN

HAM-1-8-17 (42) FESTIVAL BAHASA DAN SASTERA 2017JPG

Antara persembahan  pada Festival Bahasa dan Sastera 2017.

PADA 1 Ogos 2017, bertempat di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berlangsung Festival Bahasa dan Sastera 2017. Festival ini merupakan program anjuran DBP dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia, Persatuan Guru Besar Sekolah Tamil Malaysia, Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF), dan Pusat Kebudayaan Han Malaysia. Tahun 2017 merupakan tahun kesembilan penganjuran program ini.

HAM-1-8-17 (109) FESTIVAL BAHASA DAN SASTERA 2017JPG

Puan Rusni Abdul Jalil, Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur.

Majlis penutupan Festival Bahasa dan Sastera 2017 telah disempurnakan oleh Puan Rusni Abdul Jalil, Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur, mewakili Timbalan Menteri Pendidikan II, YB Senator Datuk Chong Sin Woon. Semasa berucap, beliau menyatakan bahawa bahasa kebangsaan merupakan hak semua kaum yang terdapat di negara ini dan bukanlah hak eksklusif orang Melayu sahaja. Keadaan ini bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk menyatupadukan semua kaum dengan satu bahasa berpayungkan 1 Malaysia.

Menurut beliau lagi, Festival Bahasa dan Sastera ini diharapkan dapat menjadi asas pegangan pelajar untuk memperluas dan memantapkan penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghubung dalam kalangan pelbagai kaum dan sebagai alat pembinaan jati diri dan perpaduan nasional.

HAM-1-8-17 (95) FESTIVAL BAHASA DAN SASTERA 2017JPG

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran.

Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, dalam ucapan alu-aluan pula menyatakan bahawa komitmen yang ditunjukkan oleh para pelajar dan guru tidak pernah pudar dalam usaha menyegarkan bahasa kebangsaan. Pertandingan yang diadakan sempena festival ini seperti forum, bercerita, koir, pidato dan deklamasi puisi, merupakan medan bagi para pelajar untuk mencungkil bakat yang ada dalam diri mereka, selain dapat meningkatkan penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu.

Beliau turut mencadangkan agar lagu koir yang dipertandingkan turut disertakan lagu klasik Cina. DBP bersedia membantu sekolah persendirian untuk menterjemahkan lirik lagu ini ke dalam bahasa Melayu. Selain itu, DBP juga berhasrat untuk mengadakan persembahan opera Cina dalam bahasa Melayu supaya kaum lain turut dapat menghayati budaya kaum Cina ini. Yang turut berucap dalam majlis tersebut ialah Datuk Goh Gin San,  Presiden PERSPEKTIF.

HAM-1-8-17 (75) FESTIVAL BAHASA DAN SASTERA 2017JPG

Gelagat peserta yang bertanding.

Bertepatan dengan matlamat festival ini, iaitu menanamkan semangat kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar bukan Melayu dari peringkat awal persekolahan lagi, jelas terbukti apabila peserta yang bertanding begitu fasih berbahasa Melayu. Hal ini menggambarkan bahawa bahasa Melayu menjadi bahasa utama mereka, terutamanya apabila berkomunikasi dengan kaum lain.

HAM-1-8-17 (116) FESTIVAL BAHASA DAN SASTERA 2017JPG

Acara penyampaian tajaan oleh penaja utama.

Majlis penyampaian hadiah telah dimulakan dengan pertandingan bercerita. Johan pertandingan ini dimenangi oleh Lai Yu Qian, dari SJK (C) Yuk Chai, Petaling Jaya. Manakala naib johan dimenangi oleh Yap Ern Han dari SJK (C) Chung Hwa, Shah Alam dan tempat ketiga Abhiram C. Maran dari SJK (C) Kajang, Selangor. Seterusnya johan untuk pertandingan pidato, Goh Xin Ru dari SJK (C) Kuen Cheng 1, Kuala Lumpur, naib johan, Carmen Ngo dari SJK (C) Jalan Davidson, Kuala Lumpur manakala tempat ketiga, Evangeline Tan Kai Xuan, dari SJK (C) Foon Yew 1, Johor Bahru, Johor.

Penyampaian hadiah kepada pemenang.

Penyampaian hadiah kepada pemenang.

Seterusnya pertandingan deklamasi puisi pula dimenangi oleh Yeat Nai Ye dari Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur, naib johan, Chim Vui Ling dari Sekolah Menengah Tshung Tsin, Kota Kinabalu, Sabah dan tempat ketiga, Lee Chun Lian dari Sekolah Menengah Cina, Tawau, Sabah.

Bagi pertandingan forum pelajar pula, Sekolah Menengah Jalan Riam, Miri, Sarawak dinobatkan sebagai johan, diikuti oleh Sekolah Menengah Foon Yew, Johor Baharu, Johor tempat kedua dan seterusnya Sekolah Menengah Kuen Cheng, Kuala Lumpur tempat ketiga. Seterusnya Pengerusi Forum Terbaik dinobatkan kepada Lee Yee Sien dari Sekolah Menengah Foon Yew, Johor Bahru, manakala Ahli Forum Terbaik dinobatkan kepada Leong Van Jet dari Sekolah Menengah Jalan Riam, Miri, Sarawak.

Barisan pemenang bergambar ramai.

Barisan pemenang pidato bergambar bersama-sama tetamu kehormat.

Kemuncak acara ialah kategori pertandingan koir. Nyanyian lagu “Warisan” dan “Menceceh Bujang Lapuk” memberikan tuah kepada Sekolah Menengah Tsun Jin, Kuala Lumpur apabila dinobatkan sebagai johan. Manakala Sekolah Menengah Pin Hwa, Klang, Selangor memenangi tempat kedua dan Sekolah Menengah Katholik Sibu, Sarawak memenangi tempat ketiga.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Datuk Lau Lee Ming, Pengerusi Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga  Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Haji Mohammad Tahir Kamaruzzaman, dari KH Sports World Sdn. Bhd., yang merupakan penaja utama Festival Bahasa dan Sastera 2017.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035090
    Visit Today : 1306
    This Month : 17689
    Total Visit : 1035090
    Hits Today : 6482
    Total Hits : 4244816
    Who's Online : 6
  • Kategori