Oleh MARSLI N.O

Aladin Mohamad

Aladin Mohamad.

ALADIN MOHAMAD dilahirkan pada 1 April 1952 di Kampung Air Molek, Melaka. Beliau menerima pendidikan awal di kampung kelahirannya dan kemudian ke peringkat menengah sehingga lulus SRP pada tahun 1968.

Aladin mula menulis pada tahun 1968 melalui majalah sekolah dan lebih bersungguh-sungguh pada awal tahun 1970-an. Karyanya berupa rencana, cerpen dan puisi. Namun begitu, puisilah yang menjadi pilihan utamanya dan disiarkan dalam pelbagai media, seperti Warta Perdana, Dewan Sastera, Mingguan Malaysia dan Berita Minggu.

Karya Aladin berupa cerpen dimuatkan dalam kumpulan bersama Wajah (Penama: 1985), Meraih Mimpi (DBP: 1989), Berakhirnya Sebuah Impian (DBP: 1993), Seiring Jalan (DBP: 1994), Adikku Kartika (DBP: 2006) dan Ombak Dan Pantai (IPM: 2011).

Aladin (do. 2 dari kiri) aktif dalam kegiatan masyarakat.

Aladin (do. 2 dari kiri) aktif dalam kegiatan masyarakat.

Puisi Aladin pula banyak dimuatkan dalam kumpulan bersama, seperti Duri di Kaki (Yayasan lndera @ Pustaka Zakry Abadi:1972), Lagu Sepi (Penama:1975), Suara-Suara ke Muara (Penama:1975), Riak di Pinggir Rasa (IPM 1975), Dari Musim ke Musim (Penama:1977), Telur (antologi bersiri – 5 siri, USM 1979-1980), Manifestasi (telah diterjemah ke bahasa Arab, DBP: 1994 – Pena:1982) Puisi Puncak (Kemudi:1985), Jika Kau Rindu (DBP: 1988), Selagi Ombak Mengejar Pantai 6 (Kemudi:1988, Selagi Ombak Mengejar Pantai 7 (Kemudi:1991), Koleksi Puisi Perhimpunan Penyair Muda Malaysia (1987), Mengenang-Mu (DBP:1989), Kemanusiaan (Kemudi:1991), Takhta dan Rakyat: Suatu Manifestasi (DBP:1993), Cetera 94 (Kelab Sastera DBP:1994) dan Simponi Kasih (DBP:1995).

Kumpulan pusi perseorangannya, Pada Bumi Permata diterbitkan oleh DBP pada tahun 2009. Pada tahun 2015, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) telah menerbitkan kumpulan puisi karya beliau. Kita Orang Tiga Beradik (ITBM:2015).

Secara berterus terang, Aladin mengaku bahawa beliau tidak pasti akan sebab yang mendorongnya menulis. Beliau juga tidak mengalami sebarang peristiwa yang tertentu yang dapat dikatakan sebagai pendorong kepada dirinya untuk menulis. Hanya yang mungkin pada mulanya, begitu akui Aladin, beliau menulis itu lebih kepada rasa minat dan rasa seronok apabila melihat namanya terpampang dalam media.

Ditanya mengenai proses penulisannya, Aladin menyatakan bahawa beliau menulis apa-apa sahaja karya tanpa memilih sebarang tema tertentu. Mengenai masa pula, beliau tidak memilih waktu atau ruang yang tertentu. Apabila berasa hendak menulis dan mendapat idea, Aladin akan terus sahaja menulis sehingga selesai.

Buku ALADIN PADA BUMI PERMATASebagai penulis, Aladin memilih slogan “sekali menulis, terus menulis sampai bila-bila” Slogannya ini dibuktikan oleh Aladin dalam puisi “Sekali Befikir” yang diletakkan di halaman pertama kumpulan puisinya, Pada Bumi Permata.

Kufikir-fikir kalau kuterus membeku pasti kujadi tunggul mati buruk dan reput di puncak waktu. 

Sekali kufikirkan kujadi diri bagai burung lalu terbang dari dahan ke dahan

mencari buah sebanyak mungkin.

Atau kujadi diri bagai ikan

lalu berenang dari benua ke benua

menyusur lumut di batu-batu

untuk dimakan sepanjang waktu.

Sepanjang pelibatan dirinya sebagai penulis, Aladin telah meraih sejumlah hadiah dan anugerah. Anugerah tersebut ialah hadiah sagu hati Sayembara Menulis Puisi dan Cerpen Sempena 10 Tahun PENAMA pada tahun 1979, Anugerah Penulis Aktif PENAMA (1985), naib johan Pertandingan Menulis Esei Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Johor (1995), naib johan dan sagu hati Pertandingan Menulis Sajak UMNO 50 Tahun Negeri Melaka (1996), Anugerah Khas Sajak 25 tahun PENAMA (1996), hadiah menulis cogan kata SUKMA VI Pahang (1996), dan hadiah sagu hati menulis sajak antirasuah SPRM-DBP Selatan (2015).Seperti penulis berjaya yang lain, Aladin sedar dan maklum betapa dunia penulisan ini memang sesuatu yang mencabar dan perlu dihadapi dengan penuh kesungguhan. Untuk itu, di samping semangat juangnya yang kental dan tidak pernah mengenal kata putus asa, Aladin juga pernah mengikuti beberapa bengkel penulisan untuk menambahkan pengetahuannya.

Kumpulan puisi Pada Bumi Permata memuatkan 94 buah puisi hasil ciptaannya dari tahun 1976 hingga 2006, selain puisi yang bersifat peribadi dan puisi bernada sinis atau seruan.

Nada sinis Aladin menyindir manusia yang hanya menganggap ikatan perkahwinan itu hanyalah sebagai kebiasaan dan tanpa sebarang rasa tanggungjawab lain jelas dilontarkan Aladin dalam puisinya “Melangsungkan Kebiasaan” di halaman 94:

Kau pun berkahwin melangsungkan kebiasaan kebanyakan orang dan haiwan

isterimu pun menjadi kilang mengeluarkan barang-barang

anak-anakmu pun menjadi tumbuh-tumbuhan yang hidup di tengah belantara.

Apabila melihat perbalahan dan persengketaan sesama bangsa, Aladin, melalui puisinya “Rayuan Kepada Melayuku” di halaman 91, secara jelas dan langsung melontarkan rayuan serta harapannya:

“Wahai Melayuku! Kembalilah kau bersatu seperti dulu wahai Melayuku!

Kembalilah kaubina perpaduan jitu wahai Melayuku!

Kembalilah kauutuhkan persaudaraan sebangsamu.”

Tepat seperti slogan yang dipilihnya sejak mula, Aladin meyakini betapa jika mahu menjadi penulis yang berjaya, seseorang itu perlulah terus menulis tanpa henti, tanpa mempedulikan apa-apa yang dikatakan oleh orang lain dan yang penting, apa-apa yang ditulisnya tidak menyalahi undang-undang negara dan syariat Allah SWT.

Bergambar kenangan bersama-sama rakan penulis.

Aladin (berdiri no. 4 dari kiri) bergambar kenangan bersama-sama rakan penulis.

Sila Beri Pandangan


  • Laman

  • Arkib