Oleh MARIAM RASID

PERIBAHASA memainkan peranan yang penting dalam kalangan orang Melayu. Tujuan utama penggunaannya adalah untuk menyampaikan nasihat, teguran, atau peringatan secara kiasan atau sindiran tanpa menimbulkan rasa marah atau kecil hati orang lain.

Peribahasa wujud apabila masyarakat Melayu sukar memberikan nasihat atau teguran secara berterus terang kepada orang lain tanpa menyinggung perasaan. Lantas, mereka mengumpamakan sesuatu perkara dengan sesuatu yang lain agar maksud yang ingin disampaikan dapat ditafsirkan oleh semua orang.

Orang Melayu pernah menyatakan, “pukul anak sindir menantu”. Peribahasa ini jarang-jarang digunakan pada hari ini. Yang lebih menyedihkan, ada segelintir anak muda yang tidak pernah mendengar langsung akan peribahasa sebegini.

Walaupun ada yang terdengar peribahasa ini tetapi mereka kurang pasti akan maksudnya. Kebanyakan mereka menyatakan makna peribahasa tersebut sebagai “seseorang melakukan sesuatu perbuatan itu kerana mempunyai maksud yang tersirat”. Definisi ini kurang tepat kerana maksud sebenarnya adalah memarahi seseorang tetapi kemarahan itu ditujukan kepada orang lain. Dalam hal ini, matlamat yang sebenar memarahi menantu tetapi yang dipukul anak sendiri.

. Penerapan peribahasa dalam kalangan generasi muda bukan sahaja dapat melestarikan warisan bangsa malah mendedahkan mereka kepada falsafah, pemikiran dan moral bangsa Melayu untuk dijadikan pedoman hidup.

Penerapan peribahasa dalam kalangan generasi muda bukan sahaja dapat melestarikan warisan bangsa malah mendedahkan mereka kepada falsafah, pemikiran dan moral bangsa Melayu untuk dijadikan pedoman hidup.

Alangkah hebatnya peribahasa kerana setiap tutur kata terkandung adab dan nilai murni. Peribahasa ini bukanlah ditujukan kepada keluarga sahaja malah turut digunakan dalam bidang pendidikan, pentadbiran, kepemimpinan dan sebagainya. Contohnya, di dalam sesebuah organisasi, pasti akan berlaku perselisihan faham. Maka, ketua akan menggunakan kaedah yang lembut untuk menegur anak-anak buahnya yang melakukan kesalahan tanpa menyebabkan mereka tersinggung malah sedar bahawa yang dilakukan itu merujuk kepada dirinya.

Saya ingin berkongsi kisah di sebuah sekolah yang pelajarnya mempunyai masalah disiplin. Seorang pengetua baru sahaja berpindah ke sekolah itu. Seminggu berada di situ, beliau mendapati banyak pelajar sering lewat ke sekolah. Bagaimanakah beliau menangani masalah tersebut?

Pada suatu pagi, beliau berdiri di pintu pagar sekolah dan menahan seorang pelajar untuk mengetahui mengapa dia lewat. Pelajar itu menjawab bahawa tayar basikalnya pancit. Lalu, pengetua itu memukul tayar basikal beberapa kali. Pelajar tersebut terpinga-pinga dan bertanya, mengapa bukan dia yang dirotan. Pengetua itu menjawab, dia hadir lewat kerana tayar basikal pancit!

Kisah ini menyentuh hati saya kerana pengetua berkenaan mendidik pelajarnya dengan kaedah “pukul anak sindir menantu”. Sekarang, sekolah tersebut menjadi antara sekolah yang berprestij di Malaysia setelah masalah disiplin berjaya diatasi.

Pelajar harus dirangsang agar menggunakan peribahasa dalam pelbagai situasi. Menerusi peribahasa “pukul anak sindir menantu” kata-kata kasar dapat dielakkan, sebaliknya digantikan dengan kata-kata yang lebih halus dan indah bagi membendung perasaan marah dan tidak berpuas hati.

Dalam era globalisasi pada hari ini, penggunaan peribahasa amat penting demi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Penerapan peribahasa dalam kalangan generasi muda bukan sahaja dapat melestarikan warisan bangsa malah mendedahkan mereka kepada falsafah, pemikiran dan moral bangsa Melayu untuk dijadikan pedoman hidup.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014708
    Visit Today : 737
    This Month : 34053
    Total Visit : 1014708
    Hits Today : 2829
    Total Hits : 4139631
    Who's Online : 10
  • Kategori