Oleh HAEME HASHIM

Walaupun seksyen 8 ABK menetapkan bahawa bahasa Melayu mesti digunakan dalam mana-mana mahkamah di Malaysia, bahasa Inggeris masih menjadi pilihan utama dalam kalangan peguam dan hakim.

Pihak mahkamah perlu giat memperkasakan bahasa Melayu dalam prosiding mahkamah dengan tidak menjadikan pengecualian di bawah Akta Bahasa Kebangsaan sebagai lompang kepada pengamal undang-undang untuk mengambil kesempatan.- gambar hiasan.

AKTA Bahasa Kebangsaan 1963/67 (ABK) digubal di bawah payung Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan dikuatkuasakan pada 1 Julai 1971. Kali terakhir ABK dipinda pada tahun 1994 untuk memperkasakan kedudukan bahasa Melayu. Perkara 152 Perlembagaan menyatakan bahawa bahasa Melayu bahasa kebangsaan Malaysia. Akta ini juga menjadikan bahasa Melayu bahasa rasmi negara. Seksyen 2 ABK menetapkan bahawa segala urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara dan seksyen ini telah diperkasakan lagi melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011.

Bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi mempunyai makna dan implikasi yang berbeza. Kamus Dewan Edisi Keempat mendefinisikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang diterima dan digunakan ramai oleh penduduk sesebuah negara yang mempunyai beberapa bahasa atau loghat yang lain, manakala bahasa rasmi bermaksud bahasa pentadbiran kerajaan. Sebagai contoh, Singapura menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan namun meletakkan empat bahasa utama di Singapura sebagai bahasa rasmi, iaitu bahasa Inggeris, bahasa Melayu, bahasa Mandarin dan bahasa Tamil.

Namun, ABK tidak ‘segarang’ namanya. Walaupun bahasa Melayu mendapat perlindungan daripada Perlembagaan Persekutuan dan ABK sebagai usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu, namun ABK pada hari ini masih belum cukup komprehensif dan ‘bertaring’. Hanya terdapat sebelas seksyen yang terkandung dalam ABK. Akhirnya ABK dilihat lebih bersifat kosmetik dan tiada kesan perundangan yang utuh.

Pertama, ABK tidak langsung menyentuh tentang implikasi perundangan jika mana-mana peruntukan dalam ABK tidak diikuti. Tidak terdapat sebarang peruntukan dalam ABK yang membolehkan mana-mana pihak dikenakan sebarang hukuman atau tindakan jika mana-mana peruntukan sedia ada dalam ABK tidak dipatuhi. Hal ini jelas menunjukkan bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara ini masih belum sampai ke tahap yang sepatutnya. Jika tiada peruntukan implikasi kepada ketidakpatuhan terhadap ABK, kepentingan bahasa Melayu hanya akan dipandang ringan oleh banyak pihak.

Kedua, tahap kebergantungan kita terhadap bahasa Inggeris masih tinggi. Sebagai contoh, seksyen 5 ABK telah menetapkan bahawa penggunaan bahasa Inggeris dibenarkan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Malah, seseorang ahli Parlimen atau ahli DUN boleh dibenarkan untuk memberikan ucapan dalam bahasa Inggeris dengan izin Yang Dipertua Dewan. Ini salah satu contoh yang menunjukkan kita masih kuat bergantung kepada bahasa Inggeris sedangkan kita boleh sahaja mewajibkan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya di Parlimen atau DUN.

Hal di atas menyebabkan masih ramai ahli Parlimen dan ahli DUN gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik dan ada yang lebih selesa berkomunikasi dalam bahasa Inggeris ketika berucap dalam sidang Parlimen atau DUN. Contohnya, pada tahun 2015, ada seorang ahli Parlimen berucap dalam bahasa Inggeris ketika sesi sidang Dewan Rakyat tanpa kebenaran Yang Dipertua Dewan Rakyat. Ini satu contoh buruk yang ditunjukkan oleh wakil rakyat di negara ini dan lebih menyedihkan apabila tiada tindakan undang-undang yang boleh dikenakan di bawah ABK terhadapnya kerana tiada peruntukan sedemikian.

Ketiga, bahasa Inggeris masih menjadi bahasa pilihan dalam prosiding mahkamah. Walaupun seksyen 8 ABK menetapkan bahawa bahasa Melayu mesti digunakan dalam mana-mana mahkamah di Malaysia, bahasa Inggeris masih menjadi pilihan dalam kalangan sesetengah peguam dan hakim. Pengecualian yang diberikan dalam seksyen yang sama bagi menggunakan bahasa Inggeris sering disalahgunakan oleh sesetengah peguam yang lebih selesa berbahasa Inggeris dan kurang fasih berbahasa Melayu. Tujuan pengecualian ini supaya prosiding yang dijalankan dalam bahasa Inggeris dimanfaatkan oleh orang-orang yang terlibat dalam prosiding tersebut memahami apa yang sedang berlaku, bukannya lesen bagi peguam yang tidak gemar berbahasa Melayu.

Dalam situasi hari ini, walaupun fasih berbahasa Melayu, ada anak guam masih memohon kepada pihak mahkamah untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam prosiding mahkamah atas sebab yang tertentu. Tindakan ini seolah-olah telah mengabaikan prinsip dan semangat ABK serta tidak wajar dipandang ringan.

Keempat, pada hari ini terlalu banyak dokumen yang melibatkan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris atau bahasa lain. Sebagai contoh, jika kita berurusan dengan pihak bank untuk membuat pinjaman, kadangkala pihak bank menyediakan dokumen perjanjian dwibahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Malah, bagi dokumen perjanjian dwibahasa, sering kali bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa utama dan jika terdapat kekeliruan, dokumen dalam bahasa Inggeris akan menjadi rujukan utama, walaupun perjanjian yang ditandatangani adalah dalam bahasa Melayu.

Lantas, ABK perlu mempunyai peruntukan yang menetapkan bahawa jika terdapat sebarang dokumen melibatkan dwibahasa atau lebih bahasa, dokumen dalam bahasa Melayu akan mengatasi (prevail) semua dokumen dalam bahasa lain jika terdapat kekeliruan atau perbezaan makna. Hal ini akan menyebabkan bahasa Melayu diangkat lebih tinggi martabatnya dan ABK akan menjadi lebih ‘bertaring’.

Kelima, ABK membenarkan bahasa selain bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular. Walaupun bahasa Melayu dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah-sekolah ini, namun masih belum cukup untuk melihat bahasa Melayu diperkasakan. Penguasaan bahasa Melayu oleh pelajar-pelajar di sekolah ini masih lemah. Kegagalan untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama telah menyebabkan mereka gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik.

ABK perlu diberikan kuasa dan alternatif dalam usaha memastikan bahasa Melayu tidak diketepikan. Mungkin ABK perlu mempunyai peruntukan yang lebih ketat dalam memperkasakan bahasa Melayu di negara ini.

Berkaitan dengan hal ini, kita perlu mencontohi negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang menjadikan bahasa kebangsaan mereka sebagai bahasa pengantar utama. Tidak kira bangsa, rakyat di Thailand dan Indonesia begitu fasih berbahasa kebangsaan masing-masing. Inilah contoh yang perlu kita teladani.

Setelah hampir 60 tahun merdeka, tahap kebergantungan kita kepada bahasa Inggeris masih terlalu tinggi. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa kita sendiri kurang yakin dengan bahasa Melayu sedangkan bahasa ini pernah menjadi lingua franca pada suatu ketika dahulu. Kegemilangan bahasa Melayu perlu dikembalikan.

Tindakan memperkukuh ABK bukan bermaksud mengabaikan bahasa Inggeris mahupun bahasa lain di negara ini. Tetapi amat wajar bagi segala polisi dan urusan pentadbiran kerajaan, sama ada kerajaan persekutuan mahupun kerajaan negeri menggunakan bahasa Melayu semaksimum mungkin dan mengurangkan kebergantungan kepada bahasa Inggeris. Pihak mahkamah juga perlu giat memperkasakan bahasa Melayu dalam prosiding mahkamah dengan tidak menjadikan pengecualian di bawah ABK sebagai satu lompang kepada pengamal undang-undang untuk mengambil kesempatan.

Kesimpulannya, ABK perlu diberikan nafas baharu dalam upaya memperkasakan bahasa kebangsaan di Malaysia. Sejak kali terakhir dipinda pada tahun 1994, masih terlalu banyak kelemahan dalam ABK yang perlu mendapat perhatian pihak kerajaan dan penggubal undang-undang. Semoga bahasa Melayu lebih giat diperkasakan melalui pengukuhan undang-undang sedia ada. Akhirulkalam, bahasa jiwa bangsa.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1037172
    Visit Today : 654
    This Month : 19771
    Total Visit : 1037172
    Hits Today : 2097
    Total Hits : 4254452
    Who's Online : 11
  • Kategori