pc3

Judul                :           Penenun Cinta

Penulis             :          Ibnu Ahmad Al-Kurauwi

Harga               :          RM22.00

Tahun              :          2016

Penerbit           :         Dewan Bahasa dan Pustaka

Pengulas          :        Amir Zakiy Hamzah

NOVEL Penenun Cinta nukilan Ibnu Ahmad Al-Kurauwi merupakan sebuah novel islamik dan merupakan novel kelima serta terakhir beliau sebelum beliau meninggal dunia. Novel ini mengisahkan tentang watak seorang imam tua yang sedang koma hingga menjadikan keseluruhan ceritanya berpaksikan kepada monolog tentang kehidupan, pengalaman dan luahan dari lubuk hati watak utamanya. Kisah imam tua sambil mengimbas kembali zaman mudanya memperlihatkan secara jelas keakraban hubungan manusia dengan Pencipta yang Maha Berkuasa. Selari dengan itu, penelitian ini akan menganalisis pesanan Ibnu Ahmad Al-Kurauwi dari perspektif teori takmilah.

Melalui perspektif teori takmilah yang dicetuskan oleh Shafie Abu Bakar, novel ini akan dianalisis menggunakan tujuh prinsip yang terkandung dalam teori takmilah. Tujuh prinsip teori takmilah iaitu prinsip ketuhanan yang bersifat kamal, prinsip kerasulan sebagai insan kamil, prinsip keislaman yang bersifat akmal, prinsip ilmu dengan sastera yang bersifat takamul, prinsip sastera sendiri yang berciri estetik dan bersifat takmilah, prinsip pada pengkarya yang seharusnya mengistikmalkan diri serta prinsip khalayak yang bertujuan memupuk mereka ke arah insan kamil. Falsafah melalui teori takmilah ini memperlihatkan bahawa hubungan seorang Muslim (insan) dengan manusia dan alam serta hubungan dengan Allah yang mempunyai pertalian tauhid antara keduanya.

Prinsip utama ialah prinsip ketuhanan yang bersifat kamal. Shafei Abu Bakar dalam mengemukakan gagasan ini, menyatakan bahawa sifat jamal dilihat, mempunyai pertalian dengan unsur estetika, sebagai yang tercermin pada makhluk kejadian-Nya. Salah satu pembuktian yang dapat dikesan adalah ketika watak imam tua berada dalam koma. Luahan perasaan, emosi dan kata-kata berupa monolog jiwa itu tidak dapat didengari oleh sesiapa di dunia nyata tetapi hanya dirinya sahaja ketika di alam mimpi. Imam tua merasakan bahawa sifat kesempurnaan kepada Allah Taala tiada tolok bandingnya sehinggakan beliau merasakan bahawa tiada seorang makhluk pun yang dapat menandingi kebesaran-Nya. Pemberian nikmat dalam kehidupannya tanpa henti membuatkan imam tua berasa kerdil apabila berhadapan dengan Tuhan yang begitu sempurna sifat-Nya tanpa sebarang cacat cela.

Yang kedua prinsip kerasulan sebagai insan kamil. Hal ini berkait rapat dengan konsep ideal keinsanan iaitu ‘insan kamil, insan khalifah dan insan rabbani’. Insan khalifah ini dirujuk kepada kemampuan insan menjadi pemimpin di bumi Allah apabila insan itu mencapai keperluan dan syarat-syarat sebagai khalifah. Sebagai contohnya, situasi yang berlaku apabila imam muda menyedarkan watak imam tua. Situasi ini berlaku apabila imam muda yang setelah seminggu tidak hadir ke masjid telah memberitahu hal sebenar mengenai ketidakhadirannya akibat sakit pinggang ketika bermain badminton bersama-sama rakannya dari Timur Tengah. Konsep rabbani ditonjolkan apabila imam muda menolak pelawaan ahli jemaah masjid yang ingin menghulurkan kerusi kepadanya setelah kesakitan menunaikan solat secara berdiri persis yang digambarkan dalam diri Rasulullah SAW.

Yang ketiga prinsip keislaman yang bersifat akmal. Shafie Abu Bakar mengutarakan hubungan teori dengan Islam sebagai agama yang syumul. Hal ini dapat dikesan melalui watak Rania, iaitu wanita Turki. Tindakan Rania yang mempercayai dan meyakini saudara sesama Islam dengan mengajak imam tua bersama-sama rakan-rakannya untuk segera datang ke rumahnya bagi tujuan merapatkan silaturahim sesama mereka sedikit pun tidak terlintas rasa kebimbangan dalam diri. Pembuktian ini menunjukkan bahawa budaya Islam berpaksikan kepada agama untuk mencapai istilah akmal atau kesempurnaan dari segi budaya tercetus melalui peristiwa sedemikian.

Yang keempat prinsip ilmu dengan sastera yang bersifat takamul. Hal ini berkait rapat dengan ilmu yang ada pada diri imam tua sebagai guru mengajar al-Quran dan bahasa yang digunakan ketika mengajar. Sebagai tamsilannya ialah gurindam. Gurindam dilafazkan oleh imam tua sebagai tanda mukadimah ilmu ketika hendak mengajar al-Quran bagi memastikan ilmu dan sastera bergerak seiring. Hal ini bertepatan dengan Shafie Abu Bakar yang memberikan tamsilan sastera (puisi) dijadikan alat bagi merumuskan inti sari ilmu dan persoalan-persoalan tertentu.

Yang kelima prinsip sastera yang berciri estetik dan bersifat takmilah. Proses pembinaan karya secara kreatif, indah dan sempurna merupakan takmilah sastera. Hal ini dapat dilihat melalui aspek maknawinya, iaitu tema dan mesej. Tema novel Penenun Cinta secara keseluruhannya dilihat sememangnya berkaitan konsep keagamaan yang bersifat takmilah. Mesej yang cuba disampaikan melalui novel ini berpaksikan kepada kekhilafan diri sendiri, konflik agama, pengabdian diri kepada Tuhan dan kisah kekeluargaan.

Yang keenam prinsip pada pengkarya yang seharusnya mengistikmalkan diri. Prinsip ini memfokuskan pada pengkarya sebagai memenuhi tanggungjawabnya sebagai khalifah Allah SWT. Hal ini boleh dikaitkan dengan diri Ibnu Ahmad Al-Kurauwi yang pernah melanjutkan pelajaran dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Arab di Jordan yang membuatkan beliau cenderung ke arah bidang penulisan. Nama pena yang beliau guna juga bertitik tolak daripada nama penulis ‘masyarakat Arab’ yang dijadikan satu budaya dalam penulisan sastera mereka.

Yang ketujuh prinsip khalayak bertujuan memupuk mereka ke arah insan kamil. Penghasilan sesebuah karya sastera tidak bermakna, seandainya tidak sampai kepada khalayak. Karya yang membawa tema Islam seharusnya berunsurkan pendidikan, dakwah, menanamkan nilai-nilai tauhid, kekudusan, keagungan Tuhan, jihad serta penentangan terhadap kebatilan. Novel Penenun Cinta menyampaikan mesej yang begitu kukuh dalam memupuk nilai keislaman dalam diri khalayak ataupun pembaca yang menelitinya. Hampir kesemua kisah dan jalan cerita yang dipaparkan mengandungi kalimah yang mengutarakan tentang Islam. Pengarang turut menyelitkan kenyataan yang bersangkut paut dengan ajaran yang dituntut dalam agama.

Kesimpulannya, manifestasi hubungan manusia dengan Pencipta dan khalifah di bumi Allah jelas dipaparkan melalui kisah watak imam tua dalam novel Penenun Cinta melalui prinsip dalam teori takmilah. Perwatakan, kisah, watak dan plot lakaran Ibnu Ahmad Al-Kurauwi amat bertepatan dengan teori takmilah nukilan Shafie Abu Bakar dalam memastikan novel bercorak keislaman kekal mengukuhkan hubungan manusia dengan manusia dan hubungan insan dengan Pencipta.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035284
    Visit Today : 62
    This Month : 17883
    Total Visit : 1035284
    Hits Today : 270
    Total Hits : 4246360
    Who's Online : 18
  • Kategori