Oleh ZA’ABAIE SHUAINI

BERSEMPENA dengan sambutan ulang tahun ke-12 bandar raya Miri, pelbagai acara kebudayaan diadakan pada bulan Mei. Satu daripadanya ialah Malam Pengucapan Puisi Bandar Raya Miri 2017. Acara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS), dengan dukungan Kerajaan Negeri Sarawak, merupakan acara tahunan yang mengisi salah satu program dalam kalendar Miri May Fest semenjak pertama kali diadakan pada tahun 2013. Kejayaan penganjurannya sebelum ini merangsang DBPCS untuk meneruskannya pada tahun ini.

Dari sebuah perkampungan kecil nelayan yang dihuni oleh suku kaum Miriek, penghuni asal, Miri mula membangun dengan penemuan telaga minyak oleh peneroka Syarikat Shell di Bukit Kanada pada tahun 1910. Telaga minyak tersebut yang dinamai Miri Well No. 1 merupakan yang pertama di rantau ini. Kerana kepesatan pembangunan, dari perkampungan kecil Miri menjadi bandar yang kemudiannya mendapat gelaran Bandar Minyak kerana hasil petroleumnya.

Zainal Abidin Suhaili, atau Abizai, Ketua Satu PUTERA, yang mempersembahkan dua buah lagu puisi gubahan sendiri, menambahkan kemeriahan pada malam tersebut.

Zainal Abidin Suhaili, atau Abizai, Ketua Satu PUTERA, turut mempersembahkan dua buah lagu puisi gubahan beliau sendiri.

Pada 20 Mei 2005, Miri dinaik taraf menjadi bandar raya dan mendapat jolokan Bandar Peranginan kerana adanya tempat pelancongan yang menarik, seperti Taman Negara Niah, Taman Negara Lambir, Taman Negara Loagan Bunut dan Taman Negara Mulu. Miri merupakan bandar pertama yang bukan ibu negeri mendapat taraf bandar raya. Dalam arus pembangunan, semenjak tahun 1910, Miri tidak menoleh ke belakang lagi dan terus pesat membangun sehingga kini. Pencarigalian minyak, yang merupakan salah satu pendapatan utama Miri, masih dijalankan sehingga kini tetapi hanya tertumpu di luar pesisir pantai.

Penduduk Miri kira-kira 350 ribu orang yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dan etnik, seperti Iban, Cina, Melayu, Melanau, Kedayan, Kayan, Kenyah, Kelabit, Bidayuh, Penan, Lun Bawang dan India, serta golongan pendatang. Suku kaum yang menghuni bandar raya Miri mengamalkan hidup bermasyarakat dengan kepercayaan dan kebudayaan masing-masing sama seperti suku kaum yang menghuni bandar lain di Sarawak.

Institut Pendidikan Guru, Kampus Sarawak, Miri (IPGKS), sekali lagi dipilih menjadi tuan rumah untuk acara Malam Pengucapan Puisi Bandaraya Miri 2017. Acara, yang diadakan dengan kerjasama Majlis Bandar Raya Miri (MBM), Pejabat Residen Bahagian Miri, Pustaka Negeri Sarawak Miri dan Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA), pada 5 Mei 2017 yang lalu dihadiri oleh pensyarah, pendidik, pelatih guru, pelajar Sekolah Menengah Sains Miri dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Miri, kakitangan MBM, Pejabat Residen Bahagian Miri dan Pustaka Negeri Sarawak Miri, ketua kaum, penghulu serta ahli PUTERA.

sdr

Tetamu kehormatan Malam Pengucapan Puisi Bandaraya Miri 2017. Dari kiri: Gumbang Pura (Timbalan Pengarah IPGKS), wakil Pejabat Residen, Dr. Hazami Jahari, Adam Yii Siew Sang, Jamiran Salam dan Zainal Abidin Suhaili.

Kehidupan yang serba mencabar di bandar raya yang diterjemahkan dalam bentuk puisi, sama ada puisi tradisional seperti syair dan gurindam ataupun puisi moden dan lagu puisi, dijadikan konsep persembahan Malam Pengucapan Puisi Bandar Raya Miri. Langkah mendeklamasikan puisi dan menyanyikan lagu puisi hasil karya penulis tempatan Sarawak yang sedia ada merupakan salah satu usaha mempromosikan karya mereka kepada khalayak masyarakat di Miri, khasnya, dan negara, amnya.

Kata Dr. Hazami Jahari, Pengarah DBPCS, “DBPCS, yang sedang meraikan sambutan 40 tahun penubuhannya di Sarawak, meraikan acara Malam Pengucapan Puisi Bandaraya Miri 2017 sebagai sambutan berkembar. Kesudian pihak bandar raya Miri untuk terus memberikan ruang dan peluang kepada DBPCS dan bekerjasama dengan IPGKS, Miri, untuk melaksanakan acara tersebut amatlah dihargai. Penganjuran acara Malam Pengucapan Puisi Bandar Raya Miri 2017 untuk kali keempat ini merupakan satu-satunya sumbangan DBPCS bersama-sama dengan IPGKS kepada bandar raya Miri.”

Menurut Dr. Hazami lagi, “Fungsi DBPCS bukan sekadar untuk mengembangkan bahasa kebangsaan di Sarawak, tetapi lebih jauh daripada itu, untuk meletakkan bahasa kebangsaan sebagai salah satu sarana atau wahana penting ke arah perpaduan masyarakat di Sarawak. DBPCS juga berfungsi untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi, bahasa pentadbiran dan bahasa keilmuan di negara kita ini.”

Tambah Dr. Hazami, “DBPCS dan IPGKS sentiasa berusaha untuk meletakkan dan membantu MBM menyejahterakan bandar raya Miri, khususnya dalam konteks bahasa, sastera dan budaya. Dengan sokongan penuh Datuk Bandar Miri dan Pejabat Residen, DBPCS bersedia untuk membangunkan kebahasaan, kesusasteraan, dan kebudayaan di bandar raya Miri untuk tahun-tahun akan datang. Sokongan dan kerjasama IPGKS dan Pejabat Residen menjadi bukti keprihatinan pihak yang terlibat untuk bersama-sama mendaulatkan bahasa kebangsaan di Sarawak. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada PUTERA sebagai badan bukan kerajaan yang senantiasa bersama-sama dengan DBPCS untuk membangunkan dan mengembangkan bahasa, sastera dan budaya di bandar raya Miri sejak begitu lama.”

Upacara perasmian Malam Pengucapan Puisi Bandaraya Miri 2017 yang disempurnakan oleh Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang.

Perasmian Malam Pengucapan Puisi Bandaraya Miri 2017 yang disempurnakan oleh Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang.

Acara Malam Pengucapan Puisi Bandar Raya Miri dirasmikan oleh Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, sebagai tanda sokongan beliau dalam usaha memartabatkan kesusasteraan di Sarawak, sekali gus dapat mempelbagaikan program dalam kalendar aktiviti sambutan ulang tahun bandar raya Miri ke-12 pada tahun ini.

Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Bandar menyatakan, “Usaha pembinaan dan pengembangan sastera kebangsaan seharusnya dilaksanakan dengan memanfaatkan pelbagai pendekatan, strategi, wahana, prasarana, dan sumber secara optimum, sekali gus memberikan impak yang tinggi kepada usaha melahirkan karyawan, ilmuwan, dan khalayak sastera, serta kerjasama kebahasaan dan persuratan yang lebih baik dari peringkat negeri, negara atau serata. Para sasterawan, penulis, budayawan, dan ilmuwan sastera dari Sarawak memainkan peranan yang signifikan untuk menyemarakkan dan memantapkan perkembangan sastera kebangsaan di Sarawak, sekali gus memberikan sumbangan yang besar dalam pembangunan sastera kebangsaan. Hal ini sesuai dengan objektif program ini, iaitu ke arah peluasan khalayak sastera dalam negara atau pada peringkat negeri yang juga diharapkan dapat merancakkan perkongsian dan peningkatan ilmu dalam gelanggang penggiat dan khalayak.”

Datuk Bandar berharap agar program ini dapat memperkenalkan serta mempromosikan karya penulis tempatan pada peringkat negeri dan terus-menerus menyemarakkan budaya mencintai dan menghargai ilmu sastera. Beliau menyeru agar semua pihak yang terlibat memperbaharu tekad dan terus melangkah ke hadapan dalam usaha mengembangkan dan memasyarakatkan bahasa kebangsaan di Bumi Kenyalang, khasnya, dan seluruh negara, amnya. Pelibatan segenap warga Malaysia, khususnya warga Miri, dalam pelbagai kegiatan kebangsaan yang dianjurkan dapat meningkatkan imej serta fungsi bahasa kebangsaan sebagai bahasa rasmi, bahasa perpaduan, dan bahasa ilmu yang unggul di negara yang tercinta ini. Sebagai Datuk Bandar Miri, beliau akan sentiasa memberikan sokongan dan dukungan dalam apa-apa jua program untuk meraikan kalendar aktiviti bandar raya Miri.

Poul Nanggang, Ketua Dua PUTERA turut mendeklamasikan puisi pada malam tersebut.

Poul Nanggang, Ketua Dua PUTERA turut mendeklamasikan puisi pada malam tersebut.

Persembahan khas yang berkisar tentang kehidupan di bandar raya oleh pelatih guru IPGKS membuka acara, disusuli persembahan lagu puisi oleh kakitangannya. Kemuncak persembahan pada malam tersebut ialah deklamasi puisi oleh tetamu kehormat, Dr. Hazami, Jamiran Salam (Pengarah IPGKS), wakil Pejabat Residen dan MBM, serta Poul Nanggang, Ketua Dua PUTERA. Zainal Abidin Suhaili, atau Abizai, Ketua Satu PUTERA, yang mempersembahkan dua buah lagu puisi gubahan sendiri, menambahkan kemeriahan pada malam itu.

Penulis (kanan) merakam kenangan bersama-sama ahli tertinggi PUTERA.

Penulis (kanan) merakam gambar kenangan bersama-sama ahli tertinggi PUTERA.

Malam Pengucapan Puisi Bandar Raya Miri merupakan program yang direncanakan untuk mengisi kalender aktiviti sambutan Hari Bandar Raya Miri pada setiap tahun. Program yang berobjektif untuk meluaskan khalayak sastera dalam negeri, amnya, dan negara, khasnya, diharapkan dapat merancakkan perkongsian dan peningkatan ilmu dalam gelanggang kesusasteraan. Dengan gandingan pihak yang terlibat, usaha memartabatkan bahasa kebangsaan untuk menjadi bahasa rasmi, bahasa pentadbiran, dan bahasa ilmuwan akan membuahkan hasil yang enak untuk dinikmati.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013791
    Visit Today : 1054
    This Month : 33136
    Total Visit : 1013791
    Hits Today : 3698
    Total Hits : 4135803
    Who's Online : 6
  • Kategori