Oleh MARIAM RASID

 

pidato

Salah seorang peserta pertandingan pidato.

KOLEJ Kediaman Kinabalu, Universiti Malaya dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengadakan Karnival Citra Bahasa dari 20 hingga 23 April 2017 yang lalu. Karnival ini terbuka kepada mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh Malaysia dan juga para pelajar sekolah menengah.

Pelbagai pertandingan telah diadakan dalam karnival ini, iaitu Pertandingan Pidato, Pertandingan Dendangan Syair dan Pertandingan Deklamasi Puisi Artistik, di samping persembahan Malam Teratak Puisi yang menampilkan penyair terkenal tanah air.

Pertandingan Pidato Piala Kinabalu terbuka kepada mahasiswa Universiti Malaya yang belum pernah mewakili universiti dalam mana-mana pertandingan pidato. Peserta diberi masa lapan minit untuk menyampaikan pidato kategori teks dan memilih tema sendiri.

Malam Teratak Puisi Malaya menampilkan penghibur seperti Roslan Madun dan Amran Ibrahim Rashidi. Persembahan mereka terdiri daripada nyanyian, dendangan seloka dan deklamasi sajak.

artistik

Peserta Pertandingan Deklamasi Puisi Artistik sedang membuat persembahan.

Pertandingan Pidato Bertemakan Dunia Tanpa Konflik terbuka kepada mahasiswa IPT di seluruh Malaysia, seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu dan Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam.

Pertandingan ini dilangsungkan dalam dua kategori, iaitu teks dan spontan. Pertandingan ini bertujuan membina keyakinan diri dan kemampuan berucap di hadapan khalayak sekali gus memantapkan kemahiran berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Melayu baku. Johan pertandingan ini ialah peserta dari Universiti Malaya, manakala peserta dari Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai naib johan.

Peserta pertandingan syair membuat persembahan dengan penuh penghayatan.

Pertandingan Deklamasi Puisi Artistik bermaksud deklamasi sajak diiringi oleh muzik latar yang ringan, mempunyai jalan cerita dan peserta mentafsirkan simbol atau makna sajak melalui gerak kreatif atau bahasa tubuh. Johan pertandingan ini disandang oleh kumpulan A dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Pendidikan Islam yang membawakan konsep Jepun dengan sajak bertajuk “Aduhai Anak” karya Awang Abdullah dan naib johan kumpulan B daripada IPG berkonsepkan “Pirates of The Caribbean” dengan sajak, “Tanah Ini Akan Mencintai Aku” karya A. Latif Mohiddin.

Pertandingan Dendangan Syair menggunakan teks syair tradisional dan disampaikan dalam satu irama sahaja. Johan dan naib johan pertandingan ini ialah IPG Kampus Pendidikan Islam yang membawakan irama perindu serta irama narasi.

Karnival Citra Bahasa 2017 ini diakhiri dengan majlis penutupan dan penyampaian hadiah kepada para pemenang. Selain itu, persembahan oleh johan pertandingan pidato menutup tirai karnival tersebut.

Barisan pemenang bergambar bersama-sama urus setia karnival.

Barisan pemenang bergambar bersama-sama urus setia karnival.

Usaha DBP mengadakan Karnival Citra Bahasa ini merupakan langkah yang baik kerana dapat memartabatkan puisi Melayu tradisional agar kekal diwarisi generasi hari ini dan akan datang. Pertandingan-pertandingan yang diadakan mampu memupuk dan menanamkan minat serta bakat remaja dalam bidang kesusasteraan, kebahasaan dan kebudayaan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035884
    Visit Today : 662
    This Month : 18483
    Total Visit : 1035884
    Hits Today : 2594
    Total Hits : 4248684
    Who's Online : 13
  • Kategori