Oleh MARSLI N.O


chai3

CHAI LOON GUAN dilahirkan pada 9 Februari 1960 di Tanjong Malim, Perak Darul Ridzuan. Bermula tahun 1967 hingga 1972, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Methodist, Tanjong Malim dan seterusnya mendapat pendidikan menengahnya di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Methodist, Tanjong Malim dari tahun 1973 hingga 1977.

Anak seorang buruh di salah sebuah syarikat pemborong barang-barang runcit di Tanjong Malim ini telah melanjutkan pelajaran di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Cheras dari tahun 1980 hingga 1981. Selepas tamat pengajiannya, mulai tahun 1982 hingga 1988, Chai Loon Guan mengajar di Sekolah Menengah Dato’ Bendahara CM Yusuf, Tanjung Tualang, Perak Darul Ridzuan. Dari tahun 1989 hingga 1992 beliau mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungkai, Sungkai, Perak Darul Ridzuan.

Chai melanjutkan langkahnya untuk menambah ilmu dalam bidang akademiknya ke Institut Bahasa Kuala Lumpur pada tahun 1991 dan dua tahun kemudian ke Rancangan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Ketika mengajar di Sekolah Menengah Dato’ Bendahara CM Yusuf, Tanjung Tualang, sajak beliau berjudul “Sampan” telah disiarkan dalam majalah Dewan Sastera dan penyiaran ini semakin membarakan semangat Chai untuk terus menulis.

Penyair yang menggunakan nama pena Adichonan ini mengaku memilih atau ingin menjadi penulis sebagai kerjaya pertamanya kerana amat meminati bahasa dan sastera pada zaman persekolahan. Oleh sebab minatnya yang amat menebal itu, ketika di sekolah menengah pada tahun 1975, Chai telah menghasilkan tulisan berupa karya pendapat untuk ruangan “Forum Utusan Pelajar” dan mendapat hadiah berupa wang tunai RM20.00 sekali gus membakar semangat beliau untuk terus menulis.

Pada sisi yang lain, Chai berasa seronok dan terpanggil untuk menulis mengenai pelbagai sifat kemanusiaan dan kehaiwanan dalam diri manusia, yang merangkumi keindahan dan kebobrokan, perjuangan, kebenaran dan kepalsuannya. Tegas Chai, yang penting ialah beliau dapat meluahkan apa-apa yang terlintas dalam buana fikir dan buana kreatif beliau, selepas menyaksikan adegan demi adegan hidup di buana sarwajagat ini melalui bahasa dan sastera.

Bagi Chai, tokoh sasterawan besar tanah air seperti Allahyarham SN Datuk Dr.Usman Awang dan SN Datuk Dr. A. Samad Said merupakan idola dan pendorong semangat beliau dalam genre kebahasaan dan kesusasteraan tanah air.

Ketika di Institut Bahasa Kuala Lumpur pula, antara individu yang turut memberikan dorongan ialah Pak Kassim Ismail, Pak Alias dan Pak Kadir Ahmad dan paling tidak dapat dilupakan oleh Chai ialah guru Bahasa Melayu beliau, iaitu Allahyarham Cikgu Badri Soud.

Chai mengaku bahawa peristiwa tentang kemanusiaan manusia, kebobrokan manusia, semangat cinta akan tanah air, bahasa, alam, peperangan, pencabulan, perjuangan dan sebagainya turut menjadi tarikan kepada beliau untuk memilih dunia penulisan.

Karya Chai banyak disiarkan dalam majalah Dewan Sastera, Pelita Bahasa, akhbar Mingguan Malaysia dan Berita Minggu. Pada tahun 1980, karya beliau telah meraih Hadiah Puisi MAYC Perak, Hadiah Sajak Hari Guru Perak (1983 – 1990), Hadiah Sastera Utusan – Pubic Bank (1988 – 1995), Hadiah Sastera DBP – Maybank (1992 – 1993) dan cerpen beliau “Di Perantauan Impian” yang disiarkan dalam Mingguan Malaysia 20 Julai 2008 telah berjaya meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/ 2009 (Kategori B, iaitu karya eceran). Beliau juga memenangi Hadiah Sastera Darul Ridzuan (2014), Anugerah Penulis Tionghoa dalam Penulisan Bahasa Kebangsaan (2015), Anugerah Penggiat Bahasa dan Sastera Kebangsaan Negeri Perak (2016), Hadiah Karya Darul Ridzuan (2016) dan Anugerah Citra Sahabat Dewan Bahasa dan Pustaka (2016).

Pada tahun 2007, kumpulan sajak beliau “Di Padang Kehidupan” telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Karya Chai terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sebagai seorang penyair, Chai Loon Guan telah mula menghasilkan sajak sejak tahun 1977 dan sehingga kini beliau telah menghasilkan lebih 200 buah sajak. Hasil kegigihan beliau itu terbukti apabila pada tahun 2007, kumpulan sajak beliau Di Padang Kehidupan telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

Di Padang Kehidupan memuatkan sebanyak 100 buah puisi hasil karya Chai Loon Guan yang dihasilkan sejak mula pembabitan beliau dalam bidang penulisan puisi pada tahun 1980-an hingga kini. Kebanyakan puisi dalam kumpulan ini pernah tersiar dalam pelbagai majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan akhbar tempatan yang lain.

Secara garis besarnya, kumpulan puisi beliau ini memaparkan tema kemanusiaan, isu semasa, alam sekitar, semangat mencintai tanah air dan potret diri penulis. Malah ada pihak menobatkan kumpulan puisinya ini sebagai istimewa kerana Chai Loon Guan menggunakan bahasa yang tersendiri dalam menyampaikan perasaan dan pemikirannya yang begitu mendalam terhadap kehidupan. Keindahan kata-kata dalam setiap bait pula mampu memberikan kesegaran dan kesedaran kepada pembaca ketika menghayati puisi-puisi dalam kumpulan ini.

Pada tahun 2015 pula, kumpulan puisi perseorangan Chai Loon Guan yang kedua, yang memuatkan puisi hasil ciptaan beliau sekitar tahun 2008 hingga 2013,berjudul Akulah, Pelaut Hidup diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Di samping itu, karya beliau juga turut dimuatkan dalam antologi bersama seperti Potret (1983), Lapar (1986), Melodi Hidup (1989), Rahsia Hati (1990), Menara 5 (1993), Taman Bahasa Ibunda (1993), Di Dunia Permata (1993), Pasir Salak – Bumi Pahlawan Melayu (1993), Puyan Jelepek (1995), Menara 6 (1995), Sumpah Setia Bahasa (1999), Danau Hati (2000), Bacalah Dalam Bahasamu (2000), Istana Kasih II (2007), Antologi Puisi Pangkor 2 (2012), Suara Kita – Antologi Seribu Sajak Merdeka (2013), Antologi Puisi Pangkor 4 (2014), Antologi Puisi Pangkor 5 (2015), Antologi Puisi Pangkor 6 (2016), Pertemuan Teratai dan Bunga Raya (2016), Cakar Nanar (2016), dan Menata Zaman – Antologi Puisi Hari Sastera ke-17 (2017).

Chai tertarik akan sajak kerana keistimewaan yang dimiliki oleh genre ini. Bagi Chai, bahasa sajak terlalu puitis umpama sebuah lukisan yang memiliki warna-warni kehidupan. Tegas Chai, dengan sajak beliau mampu menyampaikan tema, persoalan dan mesej melalui keindahan dan menghadirkan kesan yang mendalam dalam kalbu dan buana fikir pembaca.

Ditanya mengenai persoalan yangmahu disampaikan oleh beliau dalam sajak, Chai secara tegas menyebut: “Kemanusiaan.” Sejajar dengan itu jugalah Chai memilih slogan yang selari dengan slogan Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) yang dianggotainya, iaitu “Selagi menulis terus menulis”.

Selain sajak, Chai Loon Guan juga menghasilkan rencana dan cerpen. Mengenai cerpen, Chai mengaku memilih untuk menyampaikan mesej dalam karyanya secara mudah dan tidak abstrak. Walaupun pada tahun 2008, sebuah kumpulan cerpen beliau Di Perantauan Impian telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Chai mengaku beliau masih banyak perlu membaca, meneroka dan bergaul dengan pelbagai golongan masyarakat untuk menghasilkan karya yang bermutu dari semasa ke semasa.

Turut terlibat dalam Deklamator 1Malaysia di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 di PWTC, Kuala Lumpur.

Chai (kanan) terlibat dalam Deklamator 1Malaysia di reruai Dewan Bahasa dan Pustaka sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017.

Sebagai penulis, Chai berasa puas dan bahagia dengan pilihannya. Kepuasan dan rasa bahagia itu tidak lain kerana melalui karyanya segala buah fikir beliau dapat diterjemahkan ke dalam karya secara puitis dan berkesan untuk tatapan khalayak. Walaupun sudah memiliki dua kumpulan sajak dan cerpen secara persendirian, dengan rendah diri Chai mengaku bahawa beliau masih lagi bertatih dan perlu terus belajar menghayati alam dan kemanusiaan melalui kata-kata/aksara/frasa/klausa sajak mahu pun sintaksis cerpen.

Selaku ahli seumur hidup Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk), Chai menjunjung tinggi slogan persatuan yang menyebutkan “Selagi menulis, terus menulis” dan membuktikan kegigihannya yang tidak pernah luntur dalam bidang penulisan. Kini, di samping kesibukan seharian sebagai seorang pesara pendidik, Chai juga sedang sibuk menekuni novel sulungnya, yang sudah pun dirampung sekitar enam bab.

Harapan Chai, melalui karya sastera yang dihayati dan diteladani, semoga lahir insan yang bernafas, berjiwa, berperikemanusiaan, saling menghormati, saling menegakkan kebenaran, saling membantu, adil dan saksama. Tegas Chai, yang penting, daripada susastera lahirlah buana kehidupan manusia sejagat yang indah dan bermakna.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014834
    Visit Today : 863
    This Month : 34179
    Total Visit : 1014834
    Hits Today : 3401
    Total Hits : 4140203
    Who's Online : 15
  • Kategori