OLEH ATIQAH ABD RAHIM

BUKU-BUKU fiksyen adalah antara bahan bacaan yang paling digemari oleh anak muda seperti novel, komik dan cerita-cerita rakyat. Buku-buku ini dibaca untuk mengisi masa lapang mahupun sebagai hiburan setelah penat belajar atau bekerja. Buku fiksyen menjadi pilihan golongan muda disebabkan jalan cerita yang menyeronokkan dan bersifat santai disertakan dengan gambar-gambar ilustrasi yang menarik minat mereka berbanding buku-buku akademik yang sangat pudar dan membosankan bagi mereka.

Genre buku-buku popular ini selalunya mengisahkan kisah-kisah bersifat universal seperti kisah cinta, pengembaraan ke alam fantasi, misteri, seram, kekeluargaan dan persahabatan. Sebahagian jalan ceritanya terlalu tipikal dan pengakhiran cerita selalunya menggembirakan dan berpihak kepada watak utama. Sebahagian juga menyerahkan kesudahan cerita kepada imaginasi dan fikiran pembaca. Walau apapun jalan cerita dan kesudahan plot cerita, anak-anak muda lebih suka membaca genre sebegini yang menekankan kegembiraan, keseronokan dan fantasi.

Sudah sampai masanya untuk golongan muda menerokai genre cerita fiksyen yang baru dan lebih segar. Penulis bukanlah penggemar novel-novel apatah lagi novel-novel popular dan lebih banyak menghabiskan masa dengan membaca buku-buku akademik kerana tuntutan pelajaran. Antara buku-buku akademik yang dibaca, penulis menjumpai dan membaca beberapa buku akademik yang seakan-akan sebuah novel yang penuh emosi, debaran dan tawa. Namun, jalan ceritanya bukanlah bersifat fantasi dan angan-angan yang dicipta. Sebaliknya, buku-buku tersebut mengisahkan kehidupan sebenar manusia yang dipinggirkan oleh sebahagian masyarakat. Suara-suara kumpulan manusia ini lebih realistik daripada watak-watak dalam novel-novel.

Penulis-penulis buku ini terdiri daripada ahli-ahli akademik dunia dalam beberapa bidang seperti sosiologi, antropologi, feminis dan psikologi. Daripada membukukan hasil kerja lapangan mereka dalam bentuk akademik yang biasa, mereka mengambil pendekatan menulis dalam bentuk penceritaan dengan beberapa dialog antara watak-watak dan penerangan suasana dan persekitaran latar tempat dengan begitu teliti. Suara pengarang juga menguasai penceritaan dengan beberapa peristiwa melucukan dan memalukan kerana pengarang bukanlah berasal dari komuniti tersebut. Hal ini membuatkan pembaca lebih memahami dan menghayati mesej yang ingin disampaikan.

Bagi pelajar-pelajar sosiologi dan antropologi tentu pembacaan ini tidak begitu asing bagi mereka. Etnografi. Salah satu cabang pembelajaran bagi pelajar-pelajar ini dengan memberi kebebasan kepada mereka untuk memilih gaya penulisan yang mudah difahami oleh pembaca. Kebanyakan kerja lapangan mereka adalah untuk mempelajari dan memahami kehidupan golongan-golongan yang dipinggirkan oleh umum. Justeru, amat mustahil untuk menulis hasil kerja mereka dalam bentuk statistik atau ayat-ayat berbentuk objektif walaupun hal ini begitu sinonim dalam sosial sains.

Antara contoh-contoh penulisan ini ditulis oleh Anna Tsing dan Lila Abu-Lughod yang menceritakan suara-suara wanita di sebalik kapitalis dan pemerintahan di Kalimantan, dan kisah-kisah wanita Bedouin yang tinggal dalam kem yang menekankan sistem patriak dan hasrat mereka untuk mempunyai kedudukan yang sama seperti lelaki. Di Malaysia, penulisan beberapa akademik seperti Tania Li dan Zawawi Ibrahim adalah contoh terbaik etnografi berbentuk penceritaan.

Penulisan etnografi dapat memberikan nafas baru dalam penerbitan buku yang menyelitkan tawa, persahabatan, konflik dan sifat-sifat kemanusiaan yang mungkin lebih mencerminkan realiti kehidupan sebenar. Oleh itu, usaha untuk menghasilkan buku-buku ini perlu dipertingkatkan supaya golongan muda memahami sisi lain kehidupan manusia di Malaysia mahupun di dunia di samping elemen mencuitkan tidak diketepikan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013802
    Visit Today : 1065
    This Month : 33147
    Total Visit : 1013802
    Hits Today : 3777
    Total Hits : 4135882
    Who's Online : 11
  • Kategori