Oleh MARSLI N.O

NIZAR Parman atau nama sebenarnya Md. Nizar bin Parman dilahirkan pada 31 Ogos 1973 di Ayer Hitam, Batu Pahat, Johor. Pendidikan rendahnya di Sekolah Kebangsaan Seri Paya, Parit Raja, Batu Pahat, sementara peringkat menengahnya di Sekolah Menengah Datuk Menteri, Ayer Hitam, Batu Pahat. Beliau lulus Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada tahun 1992.

Nizar Parman gigih berkarya serta meraih pelbagai anugerah penulisan.

Nizar Parman gigih berkarya serta meraih pelbagai anugerah penulisan.

Dari tahun 1994 hingga 1996, beliau meneruskan pengajian di Maktab Perguruan Kinta (MPKI), Jalan Dairy, Ipoh, Perak. Pada tahun 2015, beliau berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Melayu Sekolah Rendah daripada Open University of Malaysia.

Nizar Parman mula menulis pada tahun 1995 semasa menuntut di MPKI. Beliau terdorong untuk menulis setelah membaca dan mengkaji karya yang ditulis oleh Sasterawan Negara dan penulis tersohor tanah air semasa menuntut di sana. Setiap minggu, beliau akan meminjam buku di perpustakaan.

Bermula dengan membaca karya hebat seperti Konserto Terakhir, Rimba Harapan, Seorang Tua di Kaki Gunung, Daerah Zeni, dan Senjakala, beliau mula terfikir, sampai bilakah harus membaca karya orang lain? Lantaran pertanyaan itu, beliau mula memberanikan diri menulis puisi dan kemudiannya cerpen. Karyanya berupa cerpen, puisi, dan rencana tersiar dalam pelbagai media, seperti Berita Harian, Mingguan Malaysia, Utusan Malaysia, Dewan Siswa, Dewan Pelajar, Pelita Bahasa, Mingguan Wanita dan URTV. Beliau juga menulis novel.

Isu dan tema yang ingin disampaikan dan menjadi keutamaan dalam karya beliau ialah kisah kehidupan masyarakat di luar bandar dan marhaen. Baginya, kelompok ini cukup penting untuk mengimbangi sosiobudaya masyarakat di negara kita.

Seperti kebanyakan penulis, ketika berkarya, Nizar Parman memilih untuk menulis dalam suasana yang cukup aman dan tenang. Lantaran itulah beliau memilih waktu menulis pada larut malam, iaitu dari jam 12.00 tengah malam hingga dinihari.

Sebelum berkarya, Nizar Parman lazimnya banyak melakukan perkara yang digemarinya, seperti bergaul dengan kelompok masyarakat sama ada dalam majlis keramaian seperti kenduri-kendara ataupun di warung. Baginya, cerita atau perbualan dengan rakan atau sesiapa sahaja yang dikenalinya banyak memberikan ilham dalam penulisan. Namun begitu, ada masanya juga Nizar Parman mengakui bahawa beliau lebih gemar menyendiri untuk mencari idea, terutama pada saat-saat yang kritikal sehingga tidak menghiraukan orang lain.

Ditanya mengenai konsep atau slogan penulisannya, Nizar Parman menyatakan, “Hidup sebagai pengarang atau penulis ialah perjuangan yang tidak akan berakhir. Malah, saya cukup terkesan dengan kata-kata seorang teman, iaitu ‘sastera itu berkeringat’.”

Nizar Parman juga mengaku bahawa bengkel penulisan yang disertainya pada peringkat awal hanyalah setelah beliau melanjutkan pengajian di MPKI. Di sana, dalam satu program Bahasa Melayu, beliau telah dibimbing secara peribadi oleh pensyarah yang juga dianggap mentor olehnya, iaitu Allahyarham Raja Sabaruddin Abdullah.

Bagi Nizar Parman, Raja Sabaruddin merupakan insan yang bertanggungjawab membuka ruang dan memberikan dorongan kepadanya untuk terlibat dalam bidang penulisan ini. Beliau mengaku bahawa Raja Sabaruddin, yang juga pensyarah Bahasa Melayu di MPKI, bertanggungjawab membuka ruang untuknya dalam bidang penulisan ini.

Kemudian, selepas bergelar pengarang, Nizar Parman berpeluang mengikuti beberapa bengkel penulisan yang lain. Setiap bengkel ini, menurut Nizar Parman, meninggalkan kesan yang positif kepadanya kerana setiap fasilitator yang dikenali melalui setiap bengkel itu membawa gaya atau cara penulisan yang tersendiri.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang penulisan sejak tahun 1995 sehingga kini, Nizar Parman telah menghasilkan puluhan puisi dan cerpen yang tersiar dalam pelbagai media cetak. Beliau juga telah menghasilkan dua buah novel, iaitu Silir Daksina (2009) terbitan Utusan Publication and Distributors, dan Jajahan Bonda (2014) terbitan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Di samping itu, antologi cerpennya, Rinduku ke Syurga diterbitkan oleh ITBM pada tahun 2015.

Hasil kegigihannya menulis dan berkarya. Nizar Parman telah meraih pelbagai anugerah. Pada tahun 1995, beliau meraih gelaran johan sayembara mengarang cerpen guru peringkat negeri Perak, tempat ketiga mengarang cerpen guru anjuran Bahagian Pendidikan Guru dan Dewan Bahasa dan Pustaka peringkat kebangsaan (1998), hadiah sagu hati Sayembara Jubli Emas Dewan Bahasa dan Pustaka kategori cerpen (2007), tempat kedua Hadiah Sastera Karya Utusan kategori novel remaja (2009), Anugerah Penulis Muda Johor PPJ (2010), Anugerah Khas Sasterawan Parlimen Ayer Hitam (2010), hadiah sagu hati Sayembara Penulisan ITBM-PENA-Berita Harian kategori novel (2014) dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Hari Guru Daerah Kluang (2014). Mulai tahun 2016, Silir Daksina terpilih menjadi teks sastera KOMSAS bagi negeri Johor, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Silir Daksina, telah terpilih menjadi teks sastera KOMSAS bagi negeri Johor, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Silir Daksina terpilih menjadi teks sastera KOMSAS bagi negeri Johor, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketika ditanya tentang harapan dan situasi sastera masa ini, Nizar Parman berpendapat betapa sastera kini sebenarnya agak mencabar kerana kelahiran penulis muda yang mempunyai potensi besar bagi meneruskan kesinambungan penulis karya sastera yang sedia ada. Nizar Parman berpendapat bahawa penulis sedia ada perlu cekal dan konsisten dalam berkarya.

Namun begitu, dalam kelompok penulis sendiri, masih ada yang keliru antara istilah karya sastera dengan karya popular. Ada pula golongan penulis yang mahu karya popular diangkat setaraf dengan karya sastera. Bagi Nizar Parman, jika tidak diimbangi dan ditangani dengan sewajarnya, hal ini pasti akan mencetuskan konflik besar dalam dunia kesusasteraan negara kita.

Di samping itu, Nizar Parman berpendapat bahawa kebanyakan penulis muda hari ini cuba untuk menghasilkan karya berbentuk eksperimen yang baginya seperti salah satu cara untuk cepat kelihatan menonjol dalam kalangan penulis. Harapannya, penulis muda perlulah rajin mengkaji dan menghayati karya penulis terdahulu (veteran) atau yang lebih berpengalaman sebelum mengorak langkah lebih jauh dalam arena ini.

Kini Nizar Parman bertugas di Sekolah Kebangsaan Seri Lalang, 86000 Kluang, Johor dan dapat dihubungi melalui e-mel: nizarparman@yahoo.com.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043673
    Visit Today : 94
    This Month : 26272
    Total Visit : 1043673
    Hits Today : 172
    Total Hits : 4285145
    Who's Online : 8
  • Kategori