Oleh HASSAN ALIAS

RESIDENSI?

Akhir-akhir ini kata residensi popular digunakan bagi menamakan perumahan elit di negara kita. Betulkah kata residensi merujuk kepada perumahan?

Mari kita rujuk kamus yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP):

Dalam bahasa Melayu tidak ada kata residensi, sebaliknya yang ada dalam Kamus Dewan ialah residen (daripada kata pinjaman resident) yang bermaksud “wakil kerajaan British di tanah jajahan atau negeri naungan British”. Kata residence dalam Kamus Dwibahasa bermaksud “tinggal” atau “kediaman”. Mungkin kata residensi yang diperkatakan ini dipadankan daripada residency dalam bahasa Inggeris, tetapi menurut Kamus Dwibahasa, residency bermaksud “kediaman Residen”.

Residensi Kerinchi yang dirasmikan baru-baru ini.

Residensi Kerinchi yang dirasmikan baru-baru ini.

Mari kita rujuk Kamus Oxford dalam talian untuk mendapatkan maksud kata residency/residensi:

1. The fact of living in a place.

“A government ruling confirmed the returning refugees’ right to residency”

2. A residential post held by a writer, musician, or artist, typically for teaching purposes.

“The photographs were taken in East London during an artist-in-school residency”

3. The official residence of the Governor General’s representative or other government agent, especially at the court of an Indian state (historical).

Bangsar South asalnya Kerinchi.

Jelaslah bahawa berdasarkan rujukan pada tiga kamus muktabar di atas, kata residensi tidak merujuk kawasan perumahan atau tempat tinggal.

Adakah pemaju perumahan sedar tentang perkara ini?

Di sinilah peranan pihak berkuasa tempatan yang meluluskan penamaan bangunan. Jika mereka tidak meluluskannya, maka nama berbau bahasa Inggeris ­– walaupun salah – tidak akan berleluasa. Tetapi realitinya pihak berkuasa tempatan tidak serius mendaulatkan bahasa Melayu walaupun banyak teguran dan desakan dikemukakan.

Yang terbaharu ialah Residensi Kerinchi yang baru dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak. Ironinya Kerinchi ialah kawasan tipikal Melayu yang dikelilingi oleh perbandaran elit.

Antara langkah awal yang memalapkan citra Melayu di kawasan itu apabila Kerinchi ditukarkan namanya kepada Bangsar South. Bangunan baharu yang dibina di sini juga menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Ini merupakan fasa tragik kepada citra Melayu Kampung Kerinchi yang sudah bertapak sejak puluhan tahun dahulu.

Kini kemunculan Residensi Kerinchi – yang dihuni oleh seratus peratus Melayu bukan elit yang asalnya tinggal di flat Bukit Kerinchi – memadamkan terus sisa citra Melayu di kawasan berkenaan. Pihak berkuasa tempatan – dalam hal ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur – yang turut berperanan membangunkan perumahan tersebut seolah-olah tutup mata dengan tindakan pemaju menyebarkan “bau” Inggeris di kawasan berkenaan. Sesungguhnya kita tidak boleh berharap agar pemaju mendaulatkan bahasa Melayu kerana bagi mereka bahasa berkenaan tiada nilai ekonomi.

Di mana citra Melayu di sini?

Di mana citra Melayu di sini?

Ada banyak perkataan dalam bahasa Melayu yang boleh dicantumkan dengan kata Kerinchi untuk mengekalkan citra Melayu. Kamus Dewan adalah lubuk kata yang dapat memberikan pilihan kata yang tepat dan indah. Pihak-pihak yang berkenaan boleh juga mendapatkan Khidmat Nasihat DBP secara percuma jika ingin menamakan bangunan mengikut sistem bahasa Melayu yang betul.

Nasi sudah menjadi bubur. Kita hanya mampu memerhatikan bahasa Melayu disisihkan sedikit demi sedikit dari negara sendiri. Tidak mustahil akhirnya semua bangunan di Kuala Lumpur akan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Yang mungkin “terselamat” ialah  bangunan-bangunan lama yang tiada nilai komersial.

Kita harus berasa bimbang membaca kenyataan Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim  baru-baru ini bahawa bahasa Melayu akan pupus 20 tahun lagi jika usaha untuk memperkasakan penggunaannya tidak dilakukan hari ini. Sesungguhnya tugas mendaulatkan bahasa Melayu tidak terletak di tangan DBP sahaja, malah pihak berwewenang yang lain.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044707
    Visit Today : 1128
    This Month : 27306
    Total Visit : 1044707
    Hits Today : 4185
    Total Hits : 4289158
    Who's Online : 5
  • Kategori