OLEH NUR AINA ZAHAR

JIKA dilihat dari sudut ruang lingkup media sosial, terlalu banyak penggunaannya dalam kehidupan harian marcapada ini. Media sosial sering dijadikan perantaraan komunikasi dan perhubungan dua pihak. Media sosial turut dijadikan medium penghebahan sesuatu isu semasa atau pemberitahuan. Terdapat pelbagai contoh aplikasi media sosial yang kian mendominasi perisian telefon atau komputer masyarakat. Antaranya termasuklah Twitter, Youtube, Friendster, Wechat dan Whatsapp. Tidak menjadi isu yang besar apabila rangkaian media sosial ini digunakan untuk sesuatu yang bermanfaat. Yang menjadi isunya di sini ialah tatabahasa yang digunakan dalam wahana itu. Penggunaan tatabahasanya tidak selaras dengan penggunaan tatabahasa yang betul yang merujuk Tatabahasa Dewan.

Rentetan itu, isu tatabahasa yang ingin saya kupas dalam wahana ini lebih terarah kepada media sosial Facebook. Isu tatabahasanya ialah kesalahan penggunaan kata tanya dalam ayat penyata. Sebagai contoh, kesalahan penggunaan kata tanya “bila” dalam ayat penyata. Contoh ayatnya ialah “kita kena sedar bila kita susah, tiada orang yang mahu membantu”. Kata tanya “bila” tidak boleh digunakan dalam ayat ini kerana ayat ini bukan ayat tanya. Maka, perkataan yang sesuai untuk menggantikan perkataan “bila” dalam ayat ini ialah perkataan “apabila”. Sayu hati apabila melihat mereka yang melakukan kesalahan tatabahasa ini asalnya daripada orang Melayu sendiri, walhal mereka telah dididik untuk menggunakan bahasa Melayu yang betul sejak bangku sekolah lagi. Maka, sebelum “nasi menjadi bubur” dan “luka menjadi nanah”, sebaik-baiknya perkara ini segera ditelusuri secara mendalam dan dibendung daripada terus berlaku.

Persoalannya, pada bahu siapakah kesalahan ini harus digalaskan? Golongan manakah yang menjadi penyumbang kepada statistik berlakunya kesalahan penggunaan kata tanya dalam ayat penyata ini? Rasionalkah jika kita melabel satu-satu golongan tanpa membuat kajian terlebih dahulu? Maka, eloklah kiranya kita amati, kupas, dan jawab persoalan demi persoalan yang kian menerawang minda ini. Menurut pengamatan penulis dalam kajian pada laman sosial Facebook belakangan ini, generasi muda ialah golongan yang menjadi pendominasi kesalahan ini. Mengapakah penulis berpendapat sedemikian?

Hal ini dikatakan demikian kerana boleh dianggarkan hanya satu per sepuluh daripada generasi muda hari ini yang tidak mempunyai akaun Facebook. Penduduk luar bandar juga sudah mempunyai kemudahan internet walaupun tidak secanggih kawasan bandar. Maka, dapatlah penulis simpulkan bahawa pelaku dominan terhadap kesalahan penggunaan kata tanya dalam ayat penyata ini ialah generasi muda.

Akan tetapi, janganlah pula dikecam semua generasi muda ini kerana tidak semuanya menjadi penyumbang kepada dominannya mereka melakukan kesalahan ini. Rasional kepada kenyataan penulis ini ialah generasi belia juga tidak terlepas daripada melakukan kesalahan penggunaan kata tanya dalam ayat penyata. Perbezaannya ialah golongan manakah yang menjadi majoriti dan minoriti? Pencerahan yang telah diberikan oleh penulis sebelum ini telah menjawab persoalan ini.

Isu ini berlaku kerana para pengguna Facebook ini tidak cakna tentang penggunaan tatabahasa yang betul dalam media sosial dan ada segelintir yang tidak didedahkan kepadanya. Tambahan pula, para pengguna medium Facebook ini menyematkan mentaliti yang menganggap media sosial sebagai medium komunikasi yang tidak formal. Pada pengetahuan mereka, medium komunikasi yang formal dan memerlukan protokol bahasa yang betul hanyalah dalam pengucapan awam. Di sinilah silapnya! Penetapan mentaliti yang salah menyebabkan berlakunya fahaman yang salah. Bukankah bahasa yang betul itu perlu digunakan dalam apa-apa jua jenis komunikasi sama ada komunikasi secara formal ataupun tidak formal? Hal ini dikatakan demikian kerana bahasa itu melambangkan identiti para penuturnya. Maka, slogan “Bahasa Jiwa Bangsa” seharusnya sentiasa tersemat kukuh dalam diri setiap penutur bahasa Melayu.

Persoalan selanjutnya yang bermain dalam fikiran penulis ialah bilakah para pengguna Facebook melakukan kesalahan tatabahasa ini? Pada pengamatan penulis, mereka kerap melakukan kesalahan tatabahasa ketika memuat naik status mereka untuk dikongsi bersama-sama kenalan Facebook dan juga ketika mereka bersembang secara maya. Secara rasionalnya, mereka mungkin melakukan kesalahan penggunaan kata tanya “bila” dalam ayat penyata untuk menggambarkan perkataan “apabila” sebenarnya. Penulis merumuskan sedemikian berdasarkan kajian penulis terhadap beberapa orang pengguna Facebook. Ketika mereka bersembang secara maya pula, penulis berpendapat bahawa mereka mungkin tidak mempunyai masa untuk mengkaji penggunaan sesuatu perkataan lebih dahulu. Hal ini dikatakan demikian kerana bersembang secara maya ialah komunikasi tidak formal yang memerlukan tindak balas yang cepat, umpama sedang berkomunikasi secara berhadapan.

Usai sudah penulis membicarakan punca berlakunya kesalahan penggunaan kata tanya dalam ayat penyata. Maka, adakah kita hanya akan berpeluk tubuh dan berdiam diri sahaja tanpa mengambil sebarang tindakan walaupun sedikit? Sudah tentulah sekurang-kurangnya satu inisiatif perlu digerakkan untuk menyelesaikan isu ini. Antara inisiatif yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan isu ini termasuklah pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil langkah segera dengan menapis segala bahan yang dimuat naik ke media sosial agar mereka yang kurang arif tentang tatabahasa tidak terikut dengan kesalahan tatabahasa yang dilakukan. Di samping itu, para pengguna Facebook lain yang sudah sedia cakna akan penggunaan tatabahasa yang betul dalam ayat penyata sewajarnya membetulkan kesalahan mereka yang dikenal pasti melakukannya. Melalui inisiatif ini, kesalahan yang dilakukan dapat dibendung secara terus dan ilmu dapat dikongsi bersama.

Wahana penulisan penulis sebelum ini mengupas isu Facebook sahaja kerana penulis hendak mengecilkan skop kesalahan penggunaan kata tanya dalam ayat penyata hanya dalam medium itu sahaja. Sebenarnya, selain Facebook, isu kesalahan penggunaan kata tanya dalam ayat penyata ini sering berlaku dalam medium komunikasi sosial yang lain, seperti Whatsapp, Instagram dan Wechat, Hal ini dikatakan demikian kerana selagi medium komunikasinya berpusat pada media sosial, para penggunanya tidak akan terlepas daripada melakukan kesalahannya sama ada disengajakan ataupun tidak disengajakan.

Setiap permasalahan akan ada jalan penyelesaiannya. Begitulah halnya dengan isu kesalahan penggunaan kata tanya dalam ayat penyata ini. Punca yang menjadi penyumbang kepada berlakunya kesalahan ini telah diketahui dan ditelusuri. Inisiatif penyelesaian kepada permasalahan ini juga telah dirungkaikan. Maka, kita sebagai penutur bahasa Melayu perlu mengorak langkah ke hadapan untuk bersama-sama membendung isu ini daripada terus berleluasa lebih-lebih lagi dalam kalangan penutur bahasa ini sendiri. Tambahan pula, bukankah bahasa Melayu mahu diangkat tarafnya setaraf dengan bahasa antarabangsa yang lain? Maka, kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan haruslah diperkukuh untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan bahasa lain. Usaha sama daripada semua pihak sangatlah diperlukan, bak kata pepatah “bersekutu bertambah mutu”.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1037406
    Visit Today : 888
    This Month : 20005
    Total Visit : 1037406
    Hits Today : 2812
    Total Hits : 4255167
    Who's Online : 10
  • Kategori