Manikam kalbu

Tajuk Buku : “Manikam Kalbu”

Tahun Terbit : 2009

Penulis : Faisal Tehrani

Pengulas : Atiqah Abd Rahim

 

FESYEN merupakan satu gaya hidup yang melambangkan peribadi seseorang. Peribadi dan status seseorang dinilai berdasarkan pakaian yang dipakainya walaupun kenyataan ini tidak boleh digeneralisasikan kepada semua orang. Kadangkala orang yang berstatus tinggi lebih gemar bersederhana dalam berpakaian dan begitulah sebaliknya. Novel ini membuktikan sesetengah pemimpin masih memandang tinggi kesederhanaan dalam berpakaian kerana tidak mahu melebarkan jurang darjat antara pakaian rakyat biasa dengan golongan bangsawan.

Novel ini sesuai untuk bacaan pelajar-pelajar mahupun orang dewasa kerana laras bahasanya mudah difahami dan menyeronokkan. Pembaca tidak akan berasa bosan kerana plotnya mempunyai dua latar zaman yang berbeza dan salah satu latarnya diceritakan oleh seekor kucing diraja yang montel. Penceritaan novel “Manikam Kalbu” ini mengambil tempat pada zaman pemerintahan kerajaan Melayu Melaka dan pada zaman kini. Bab-bab dalam novel ini diselang-selikan antara dua latar zaman membuatkan pembaca tertanya-tanya adakah penceritaan ini mempunyai konsep ‘penjelmaan semula’ antara zaman pemerintahan kerajaan Melayu Melaka dengan zaman kini. Kucing diraja dari rantau Madura itu dipelihara oleh Seri Bija Diraja negeri Melaka dan memiliki deria keenam. Kucing itu membahaskan dirinya sebagai Manira mengetahui segala hal yang berlaku di istana kerana suka merayau-rayau dek tuannya alah pada bulu kucing. Manira cuba mendekati orang-orang di istana untuk mengalihkan kasih sayang kepada yang mahu melayan manjanya. Manira menjadi narator untuk kisah pada zaman pemerintahan kerajaan Melayu Melaka manakala latar untuk zaman kini menggunakan perbualan biasa antara watak-wataknya.

Diceritakan kegelisahan pemerintah Melaka kedua yang beragama Islam, Sultan Muhammad Syah akan mimpi mengenai puterinya, Puteri Kecil Cempaka Lana memakai pakaian mencolok mata lantas diperintahkan untuk membuka pertandingan mereka busana orang Melayu yang meletak iman dan agama dalam pakaiannya. Pakaian tersebut juga mestilah sesuai dipakai oleh semua golongan rakyat Baginda termasuklah golongan hamba.

Seorang anak hamba bernama Manikam Kalbu tertarik untuk menyertai pertandingan itu. Maka Manikam Kalbu pun bekerja keras siang dan malam memahami gaya hidup rakyat di Melaka dan dilakar serta dijahitnya untuk dihantar ke pertandingan yang menarik perhatian bukan sahaja rakyat Melaka tetapi rakyat di negeri-negeri jiran. Ketika Manikam Kalbu ingin menghantar hasil kerjanya, jawatankuasa penganjur pertandingan menolak penyertaannya kerana syaratnya mestilah orang merdeka, bukannya hamba atau anak hamba. Seorang rakannya bernama Tun Matin daripada golongan bangsawan berasa kasihan dengan kesugulan Manikam Kalbu dan menawarkan diri untuk menghantar penyertaan itu atas namanya. Gembiralah Manikam Kalbu kerana kerja kerasnya diterima.

Seorang rakan baik Puteri Kecil Cempaka Lana bernama Dang Nurhalijah yang terkenal dengan seni jahitan mewah juga menyertai pertandingan tersebut. Dang Nurhalijah yakin penyertaannya akan menarik hati Sultan, ditambah dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada Tuan Puteri membuatkannya berangan-angan hasil rekaan bajunya nanti akan menjadikannya kaya-raya.

Apabila keputusan pertandingan diumumkan, Dang Nurhalijah sangat terperanjat kerana Sultan memilih rekaan Manikam Kalbu sebagai pemenang. Rekaan baju kurung Manikam Kalbu mempunyai prinsip “dikurung oleh syarak dan adat” dan pemakainya “terkurung daripada sifat angkuh dan sombong”. Itulah baju kurung yang dipakai oleh orang Melayu sekarang iaitu bagi lelaki baju teluk belanga dan baju cekak musang, manakala bagi perempuan baju kurung dengan lehernya serupa mulut belanga dipadankan dengan kain dagang dan skaf untuk menutup kepala; dan baju kurung dengan lehernya seperti dicekak musang dengan berpesak tepi dan skaf untuk menutup kepala.

Pemilihan Manikam Kalbu sebagai pemenang membolehkannya merantau dan menuntut ilmu seni jahitan di seluruh pelosok Nusantara. Kebijaksanaan Manikam Kalbu juga menyelamatkan negeri Melaka daripada ditolak oleh Maharaja China untuk menjalin hubungan persahabatan dengan kerajaan China. Manikam Kalbu berjaya memberikan jawapan yang lucu akan teka-teki mengenai ikan yang diberikan oleh Maharaja China yang aneh itu.

Bagi latar pada zaman kini menceritakan Ziryab, satu-satunya pelajar lelaki mengambil kelas jahitan dan fesyen dan sering disindir kerana tidak mengikuti norma dunia lelaki yang seharusnya mengambil kelas pertukangan atau kimpalan. Ziryab tinggal bersama neneknya yang mengalami penyakit Alzheimer dan kehidupan Ziryab dibantu oleh jirannya, Dr Basri dan Dr Faizah yang sudah menganggap Ziryab dan neneknya sebagai ahli keluarga sendiri sementelahan pasangan itu tidak mempunyai anak.

Di sebalik diuji dengan kepayahan menjaga neneknya yang kadangkala menganggap Ziryab sebagai pencuri pecah rumah dan juga konflik dengan rakan-rakannya, Ziryab tekun mempelajari dunia seni jahitan yang digemari dengan galakan daripada guru-guru sekolah. Suatu hari, nenek Ziryab hilang dari rumah dan dijumpai di stesen bas ketika sedang membelai kucing yang dinamakan Manikam Kalbu. Kucing itu dibawa pulang dan menjadi penemannya. Nenek Ziryab gemar berkata-kata mengenai kain-kain sulaman dan cara membuatnya secara terperinci. Nenek Ziryab melakonkan cara pembuatannya bersama Dr Faizah yang sedia melayan kerenah orang tua itu.

Pada suatu hari, Ziryab terpilih untuk menyertai pertandingan fesyen antarabangsa yang membolehkannya mengikuti kursus khas seni fesyen selama tiga bulan di Jabatan Fashion Design and Industrial Tailoring di Ecole Gurre-Lavigne Paris dan tiga bulan lagi di British Institute of Tailoring di London. Pada pusingan akhir, para panel akan ke Kuala Lumpur untuk menemu ramah tentang rekaannya. Oleh sebab buntu akan rekaan yang boleh memaut hati juri, Ziryab berguru dengan Pak Ated bersama guru sekolahnya, Cikgu Natasya dan rakannya, Nurul Haliza. Pertemuan dengan Pak Ated meleraikan misteri sejarah silam nenek Ziryab yang rupa-rupanya seorang tukang busana diraja di Istana Maziah, Istana Bukit Chandan dan di Istana Bukit Serene. Selesai berguru dengan Pak Ated, Ziryab tekun mengangkat kembali martabat busana Nusantara dalam rekaannya sehingga berjaya dipilih untuk mengikuti kursus di Paris dan London.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042379
    Visit Today : 243
    This Month : 24978
    Total Visit : 1042379
    Hits Today : 569
    Total Hits : 4280164
    Who's Online : 14
  • Kategori