OLEH SYED MAHADZIR SYED IBRAHIM

Mak Bidan, Puan Arit binti Kantau.

Mak Bidan, Puan Arit binti Kantau.

PUAN ARIT BINTI KANTAU tidak asing lagi bagi masyarakat suku kaum Temuan yang tinggal di Kampung Orang Asli Sungai Rasau Hilir, Puchong. Beliau seorang bidan bersalin yang masih mengamalkan kaedah tradisi Temuan sejak turun-temurun.

Papan tanda Kampung Orang Asli Sungai Rasau Hilir, Puchong, Selangor.

Papan tanda Kampung Orang Asli Sungai Rasau Hilir, Puchong, Selangor.

Menurut Puan Arit, wanita yang mengandung akan menempah Mak Bidan yang akan membantu wanita berkenaan ketika bersalin. Ketika kandungan berusia tujuh bulan, Mak Bidan perlu melakukan upacara melenggang perut. Upacara itu akan dijalankan oleh Mak Bidan yang akan menjampi wanita yang mengandung itu bertujuan untuk mengusir sebarang semangat jahat dan gangguan lain bagi menjamin keselamatan ibu serta bayi.

Di samping itu, adat ini juga penting untuk menentukan kandungan berada dalam kedudukan yang betul agar memudahkan proses bersalin kelak. Kelazimannya adat ini akan disertai dengan sedikit jamuan makan.

Rumput merian air.

Rumput merian air.

Sekiranya wanita yang mengandung itu mengalami rasa sakit dalam tempoh mengandung enam atau tujuh bulan, Mak Bidan akan datang untuk mengubatinya. Rumput merian air akan digunakan sebagai ubat utama. Tumbuhan ini akan direbus bersama dengan akarnya sekali dan diberi kepada wanita yang sakit tersebut. Air rebusan tumbuhan ini mampu menghilangkan rasa sakit yang ditanggung oleh wanita yang mengandung. Air rebusan rumput merian air juga baik untuk wanita yang mengalami masalah haid yang tidak teratur.

Semasa bersalin dan menyambut kelahiran bayi, Mak Bidan akan bertindak sebagai pembantu. Selepas proses kelahiran selesai, tali pusat bayi akan dipotong dan bayi akan diberi gelaran ‘nama pusat’ iaitu nama timangan. Menurut kepercayaan suku kaum Temuan, darah ibu yang jatuh ke bumi semasa bersalin akan ditimbus dengan tanah dan diletakkan mengkuang di atasnya bertujuan untuk melindungi ibu daripada diganggu oleh hantu.

Menurut Puan Arit, bagi suku kaum Temuan, adat resam semasa hamil amat dititikberatkan, seperti juga adat-adat berkaitan aspek kehidupan yang lain. Terdapat sedikit persamaan dengan adat resam masyarakat Melayu terutamanya dalam beberapa adat kelahiran tertentu dalam kalangan suku kaum Temuan di sini.

Pantang Larang

Bagi kaum Temuan, semasa isteri mengandung, suami juga dikehendaki berpantang. Mereka dilarang melakukan perkara-perkara yang boleh memberi kesan kepada bayi yang akan dilahirkan. Antaranya, mereka dilarang menggali tiang rumah, mengempang sungai, dan menyimen kerana dikhuatiri menyukarkan kelahiran bayi. Mereka juga dilarang membunuh binatang, memelihara binatang liar dan tidak boleh memegang atau memakan kura-kura kerana boleh menyebabkan bayi terkena seman atau sawan. Bayi juga akan berkudis jika suami membakar ladang.

Simpai pada penyapu dan peralatan  lain yang ada simpai tidak boleh dilangkah oleh suami kerana uri boleh tersangkut semasa bersalin.

Simpai pada penyapu dan peralatan lain yang ada simpai tidak boleh dilangkah oleh suami kerana uri boleh tersangkut semasa bersalin.

Si suami juga tidak boleh mengetuk paku pada kayu, mencangkul tanah, menyentuh mayat, melangkah jaring atau jala ikan, melangkah simpai pada penyapu dan sebagainya peralatan yang ada simpai. Kesemua pantang larang ini perlu diakuri untuk memudahkan proses bersalin berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan. Salah satu gangguan yang berlaku ialah uri tersangkut semasa bersalin.

Selain itu, terdapat beberapa perkara yang perlu dihindari oleh wanita mengandung dan berikut adalah beberapa pantang larang yang masih diamalkan oleh suku kaum Temuan iaitu:

1.Tidak boleh mentertawakan binatang seperti monyet kerana dikhuatiri muka dan perlakuan bayi akan menyamai haiwan berkenaan.

2.Dilarang memakan ikan yang berwarna merah kerana dikhuatiri berlakunya tumpah darah ketika melahirkan bayi.

3.Dilarang bekerja pada waktu subuh dan maghrib kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan kelihatan tidak bermaya kerana semangatnya telah terganggu.

4.Dilarang mengetuk paku pada kayu pada sebelah petang kerana dikhuatiri bayi atau ibu akan sakit atau mati.

5.Dilarang pergi memancing dan pulang waktu senja kerana pada waktu senja banyak makhluk halus berkeliaran yang boleh mengganggu proses bersalin.

6.Tidak dibolehkan berjalan-jalan pada waktu maghrib. Menurut kepercayaan suku kaum Temuan, pada waktu maghrib, makhluk halus suka berkeliaran. Makhluk-makhluk ini akan mengganggu kesihatan wanita yang bersalin.

Semasa Bersalin

Pokok bulai – daunnya akan digaul dengan uri sebelum ditanam.

Pokok bulai – daunnya akan digaul dengan uri sebelum ditanam.

Semasa bayi dilahirkan, tali pusatnya akan dipotong dengan menggunakan serpih buluh, kulit batang bertam atau kulit pokok serdang yang tajam dan bayi dimandikan dengan air suam. Seterusnya uri bayi ditanam berdekatan rumahnya. Uri tersebut akan dicuci, digaul dengan daun bulai, sebelum ditanam ke dalam lubang setinggi setengah atau satu kaki.

Lubang yang dikorek sedalam setengah atau satu kaki itu akan diletakkan abu terlebih dahulu. Kemudian uri akan dibungkus dengan tikar mengkuang sebelum ditanam. Selama tujuh hari unggun api akan dipasang di tempat uri tersebut ditanam. Ini dilakukan untuk menjamin supaya perut bayi tidak kembung. Bagi suku kaum Temuan, mereka menganggap uri tersebut sebagai abang atau kakak kepada bayi itu dan justeru ia hendaklah ditanam dengan sempurna.

Uri hendaklah ditanam oleh suami, ibu mertua atau adik beradik. Semasa menanam uri ini, mata penanamnya hendaklah tidak berkelintaran ke sana ke mari kerana bimbang mata bayi menjadi juling. Mata penanamnya hendaklah dalam keadaan tenang dan menunduk ke bawah. Jika juling juga, satu tindakan atau perbuatan menarik mata tersebut dengan sudu akan dilakukan. Sudu akan diletakkan atas mata, kemudian perlahan-lahan sudu tersebut akan ditarik ke arah yang berlawanan dengan juling. Jika juling ke kanan, sudu akan ditarik ke kiri. Jika juling ke kiri, sudu akan ditarik ke kanan. Tindakan atau perbuatan ini akan dilakukan selama 3 hari berturut-turut.

Selepas menanam uri dan pulang ke rumah, si penanamnya hendaklah rajin dan jangan malas. Sebelum naik ke atas rumah, dia hendaklah melakukan apa saja kerja seperti menyapu sampah, memotong kayu, membasuh kain baju dan lain-lain lagi. Selepas naik ke atas rumah, dia hendaklah membasuh pinggan mangkuk, melipat pakaian, mengemas rumah dan sebagainya. Semua perbuatan ini dilakukan supaya bayi akan membesar menjadi seorang yang rajin dan tidak malas melakukan apa juga pekerjaan.

Selepas bersalin juga wanita yang terlibat akan dimandikan oleh Mak Bidan selama tiga hari berturut-turut. Air mandian yang digunakan ialah air suam yang akan dicampurkan dengan daun bulai, daun selingan dan rumput merian air. Wanita bersalin harus berpantang selama satu bulan penuh kerana dibimbangkan masalah bentan akan berlaku.

Selepas Lahir

Selepas bayi dilahirkan, terdapat beberapa adat yang dijalankan, iaitu:

Memberi Nama

Menurut Puan Arit, bayi akan diberi nama dengan kebenaran daripada ibu bapanya selepas selamat dilahirkan. Biasanya nama bayi diberi berdasarkan nama pokok, tumbuh-tumbuhan, ikan atau tempat yang dekat dengan bayi ketika lahir atau juga menurut nama peristiwa yang berlaku ketika bayi dilahirkan. Namun begitu, adat ini tidak lagi menjadi ikutan kerana sudah ramai yang bersalin di hospital atau di rumah. Nama-nama yang diberikan kepada bayi juga sudah tidak lagi berunsurkan nama tumbuhan atau nama peristiwa yang berlaku ketika bayi dilahirkan.

Ada kalanya nama yang diberi tidak sesuai dan bayi akan jatuh sakit. Jika ini berlaku, ibu bapa tadi akan menukarkan nama tersebut kepada nama lain. Jamuan kecil-kecilan akan dibuat sempena pertukaran nama bayi tersebut. Dipercayai penyakit bayi adalah disebabkan ketidaksesuaian antara bayi dan ibunya.

Tanggal Tali Pusat

Biasanya tali pusat akan tertanggal dalam tempuh seminggu selepas bayi dilahirkan. Sama seperti adat yang dilakukan oleh masyarakat Melayu, suku kaum Temuan juga akan menguruskan tali pusat tersebut dengan sebaik-baiknya. Ini dengan cara mengikatnya dengan benang. Kemudian tali pusat itu digantung atas api bertujuan untuk memelihara kesihatan bayi berkenaan. Namun begitu adat ini sudah jarang dilakukan. Tujuan tali pusat digantung juga ialah supaya apabila besar nanti bayi tersebut tidak gayat sewaktu memanjat pokok yang tinggi.

Adat Potong Rambut

Majlis ini akan disempurnakan oleh Mak Bidan. Biasanya adat ini dilakukan pada hari antara tujuh hingga empat belas setelah dilahirkan. Ia juga disebut sebagai adat cukur rambut. Kepala bayi akan dilumur dengan minyak geliga dan jambul pada bahagian ubun-ubun bayi tidak dipotong kerana bimbang angin akan masuk ke dalam kepala. Untuk menjalankan upacara tersebut beberapa jenis bahan, peralatan atau kelengkapan disediakan iaitu:

1.Benang merah

2.Daun selingan

3.Daun sirih sebagai alat perenjis

4.Sebiji kelapa muda berwarna kuning: kelapa tersebut dibuang kulitnya

5.Tepung beras yang dicampurkan dengan daun selingan

6.Buah bertam (kadang-kadang digunakan sebagai hadiah untuk para tetamu)Pada hari itu, bayi akan dipakaikan dengan pakaian cantik dan didukung oleh ibunya. Si bayi seterusnya akan dibawa ke tengah majlis dan disambut oleh hadirin lelaki. Si bayi akan ditepung tawar dan selepas itu digunting rambutnya. Rambut ini akan dipotong oleh bapanya atau adik beradik yang lain. Hanya seorang saja yang akan memotong rambut ini.

7.Rambut yang dipotong akan diletakkan di celah-celah daun tebu. Tujuannya ialah supaya rambut yang bakal tumbuh nanti akan tumbuh subur macam daun tebu. Menurut kepercayaan suku kaum Temuan, selain dari rambut, gigi kanak-kanak yang gugur juga perlu diletakkan di celah-celah daun tebu supaya gigi yang bakal tumbuh nanti menjadi subur dan kuat seperti daun tebu.

Selepas semuanya selesai, kenduri secara kecil-kecilan akan diadakan. Tetamu yang dijemput ialah kaum keluarga terdekat atau adik-beradik yang terdekat. Sekiranya keluarga terlibat mempunyai sumber kewangan yang besar, sebuah majlis kenduri yang besar akan diadakan. Para jemputannya juga terdiri daripada jiran tetangga, kaum kerabat, sahabat-handai, dan orang-orang kampung yang berdekatan.

Majlis Basuh Tangan Mak Bidan

Selepas lebih kurang sebulan majlis potong rambut diadakan, satu lagi majlis akan diadakan iaitu Majlis Basuh Tangan Mak Bidan. Majlis ini diadakan sebagai ucapan rasa terima kasih kepada mak bidan yang telah berusaha bertungkus-lumus membidani wanita yang bersalin tersebut.

Dalam majlis ini Mak Bidan akan dihadiahkan baju, kain sarung, rokok (jika Mak Bidan merokok) dan sedikit wang sekadar yang mampu (jika anak pertama wangnya lebih banyak dari anak kedua, ketiga, keempat, kelima, keenam, ketujuh dan seterusnya. Jika anak bongsu mungkin hanya RM1.50 saja (bagi yang kurang berkemampuan). Sekiranya orang kaya atau berada, wang hadiah untuk Mak Bidan boleh diberi dalam jumlah yang banyak tetapi tidak ditetapkan. Semua hadiah ini akan dibungkus dalam sehelai tuala yang besar. Bungkusan ini akan diberikan kepada Mak Bidan setelah selesai mandi.

Pokok selingan.

Pokok selingan.

Semasa mandi, Mak Bidan akan mandi bersama-sama dengan bayi dan juga ibu yang bersalin tadi. Air mandian yang digunakan ialah air campuran daun selingan dan perahan limau (limau nipis atau limau kasturi). Selepas mandi, mereka akan memakai pakaian yang kering dan memulakan Majlis Basuh Tangan Mak Bidan.

Adat ini bermula dengan wanita yang bersalin tersebut akan menyerahkan buah kelapa yang sudah dibuang kulitnya dan dibiarkan bahagian atas seperti jambul. Di sekeliling jambul ini akan dililit dengan benang merah dan dicucuk dengan sebatang jarum di bahagian atas jambul. Selepas menyerahkan buah kelapa ini kepada Mak Bidan, bungkusan tuala yang mengandungi baju, kain sarung, rokok dan wang tadi pula akan diserahkan.

Sewaktu penyerahan ini, wanita berkenaan akan berkata, “Aku minta maaf, minta ampun pada Mak Bidan atas segala salah dan silap yang aku dah buat. Aku juga minta maaf dan ampun jika ada kesalahan aku pada Mak Bidan…”

Mak Bidan akan menjawab: “Dosa engkau aku sudah ampun dan maafkan daripada dunia sampai akhirat….”

Dengan kata-kata itu maka berakhirlah Majlis Basuh Tangan Mak Bidan. Sebuah majlis kenduri kecil-kecilan akan diadakan selepas itu. Sekiranya kurang berkemampuan majlis ini akan dihadiri oleh kaum keluarga terdekat sahaja. Jika berkemampuan, majlis kenduri yang lebih besar akan diadakan.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035942
    Visit Today : 720
    This Month : 18541
    Total Visit : 1035942
    Hits Today : 2783
    Total Hits : 4248873
    Who's Online : 10
  • Kategori