Oleh ATIQAH ABD RAHIM

DEWASA ini, generasi muda disajikan dengan lambakan rancangan hiburan berbahasa asing sebagai medium utama untuk mengisi masa lapang mahupun mendapatkan maklumat terkini. Rancangan hiburan di sini bukanlah bermaksud kisah artis semata-mata tetapi rancangan berbentuk santai dan boleh ditonton bersama keluarga.

Trend terkini rancangan hiburan adalah menyelitkan ilmu pengetahuan dan maklumat berguna kepada penonton tanpa meminggirkan unsur-unsur hiburan. Rancangan begini menjadi pilihan penonton kerana diibaratkan sambil menyelam minum air. Penonton bukan sahaja dapat merehatkan minda malah memperoleh pengetahuan dan panduan berguna.

Melalui rancangan hiburan yang bermanfaat, penonton secara tidak langsung akan mempelajari perkataan-perkataan baharu dan memperbaiki tatabahasa. Hal ini disebabkan terdapat laras bahasa yang perlu diikuti dalam rancangan tersebut dan kebiasaannya mereka menggunakan laras bahasa formal. Peluang inilah yang tidak disedari oleh kebanyakan pejuang bahasa. Kita umpama pahlawan di medan perang yang kehilangan busarnya, lantas diambil pisau yang diselitkan di poket seluar bagi meneruskan perjuangan.

Kita tidak boleh lagi memberikan omongan kosong mengatakan bahawa kita perlu memartabatkan bahasa ibunda tetapi tiada inisiatif yang kreatif dan di luar kotak. Kita tidak boleh lagi memerapkan bahasa ibunda hanya dalam kalangan pencinta bahasa sebaliknya disebarkan untuk manfaat umum.

Tidak dinafikan bahawa rancangan hiburan menjadi lubuk pemuda dan pemudi mempelajari perkara baharu. Mengapakah tidak digunakan landasan ini untuk memartabatkan bahasa? Peranan pejuang bahasa di dunia media amat penting terutamanya di kaca televisyen kerana hampir semua lapisan masyarakat menggunakan medium ini. Melalui kerjasama ini, perkembangan ilmu dan bahasa dalam masyarakat mampu dipertingkatkan. Sementelahan pula, dunia sastera tidak mendapat perhatian generasi baharu; mengapa tidak dipopularkan karya-karya sastera di kaca televisyen.

Membaca karya-karya penulis sastera dan Sasterawan Negara di atas kertas tidak cukup untuk mengembangkan kritikal sosial di dalamnya. Pelaburan ini perlu dipandang serius oleh pihak korporat media dalam menghasilkan skrip dan program berkualiti. Keuntungan dalam pelaburan ini pasti berhasil. Masyarakat Malaysia masih mengidamkan sesuatu yang berkualiti daripada produksi negaranya sendiri.

Penulis tertarik dengan usaha negara Korea Selatan mengembangkan dan memartabatkan bahasa mereka melalui rancangan hiburan termasuk drama dan dokumentari berbentuk hiburan. Banyak fakta, isu, sejarah dan kritikan sosial digunakan sebagai tema walaupun elemen hiburan dan fantasi menjadi tunjang utama. Mengambil contoh sebuah program televisyen, Abnormal Summit, mereka memperdebatkan pelbagai isu semasa dan budaya Korea melalui kaca mata masyarakat luar. Ahli-ahli panelnya dari pelbagai negara dan perbincangan tersebut menggunakan bahasa Korea, bukan bahasa Inggeris. Program ini menjadi contoh yang baik kerana memperlihatkan bahawa usaha memartabatkan bahasa ibunda boleh disemai melalui rancangan hiburan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044873
    Visit Today : 1294
    This Month : 27472
    Total Visit : 1044873
    Hits Today : 4860
    Total Hits : 4289834
    Who's Online : 9
  • Kategori