OLEH SITI MARIAM ABDUL RASID

SUDAH terang lagi bersuluh, semakin hari semakin kita mendekati ambang 2020. Dasawarsa ini, penggunaan bahasa Melayu di mana-mana institusi pengajian tinggi awam pasti akan mengutamakan bahasa Inggeris sebagai bahasa akademik kerana bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa yang diguna pakai di seluruh dunia. Namun, masyarakat sering lupa bahawa bahasa Melayu merupakan lingua franca yang menjadi bahasa perantaraan, bahasa perhubungan, dan bahasa pergaulan antara masyarakat atau orang yang berlainan bahasa di seluruh dunia juga.

Fokus utama yang akan dibincangkan adalah berkenaan penggunaan Bahasa Melayu dalam kalangan mahasiswa di universiti-universiti tempatan. Beberapa buah universiti tempatan telah menempatkan mahasiswa yang mengikuti program pengkhususan Bahasa Melayu. Sehubungan itu, senario yang dapat dilihat ialah para pelajar Bahasa Melayu pasti akan menjadi pusat rujukan para pelajar daripada pengkhususan lain dalam penggunaan bahasa Melayu semasa membuat tugasan, pembentangan dan sebagainya. Kebanyakan masyarakat beranggapan bahawa para pelajar pengkhususan Bahasa Melayu paling pakar dalam bahasa Melayu terutama dari aspek penggunaan kosa kata dan mampu menggunakan bahasa Melayu yang lebih baik dalam apa-apa sahaja perkara. Contoh lain yang jelas dapat dilihat, kebiasaannya para pelajar Bahasa Melayu pasti akan diminta menjadi pengacara majlis dalam program yang dijalankan di universiti. Hal ini demikian kerana kononnya mereka ini dikatakan mampu mencipta pantun, menyebut bahasa Melayu dengan lebih fasih serta mahir menyelitkan unsur-unsur kecindan dalam sesuatu majlis.

Selain itu, tidak ketinggalan juga para pensyarah di fakulti lain turut merujuk kepada para pensyarah di Jabatan Pengajian Melayu bagi menyemak penggunaan ayat yang betul dan sebagainya. Contoh yang dapat dilihat ialah mereka sering meminta bantuan daripada para pensyarah Jabatan Pengajian Melayu untuk menyemak dan menyunting pelbagai tugasan mereka terutama yang menyambung pelajaran dalam Master atau PhD. Senario ini menunjukkan bahawa seolah-olah hanya kami yang perlu lebih arif dalam bahasa Melayu sedangkan mereka juga turut mempelajari bahasa Melayu sejak di peringkat sekolah rendah lagi.

Dalam kehidupan harian mereka juga menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan kerana majoriti mahasiswa di universiti tempatan adalah berbangsa Melayu.Di negara kita Malaysia, majoriti rakyatnya berbangsa Melayu dan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan semenjak kecil. Bangsa-bangsa lain seperti Cina, India dan lain-lain di Malaysia wajib mempelajari dan menguasai bahasa Melayu kerana bahasa ini merupakan bahasa kebangsaan yang telah termaktub dalam perlembagaan. Rata-rata, bangsa lain selain bangsa Melayu dapat memahami bahasa Melayu kerana inilah bahasa yang telah digunakan sebagai alat perpaduan semenjak merdeka dahulu.

Maka, tidak mustahil bahawa mereka juga boleh bertutur fasih dalam bahasa Melayu dan mampu mempelajari lebih banyak kosa kata bahasa Melayu serta tidak hanya mengharap kepada para pelajar pengkhususan Bahasa Melayu dalam apa-apa program yang dijalankan di universiti. Hal ini demikian kerana tidak mustahil masyarakat Melayu akan menjadi jurubicara kepada masyarakat daripada pelbagai negara untuk mengajar mereka agar mampu bertutur fasih dalam bahasa Melayu supaya bahasa ini tidak akan hilang ditelan arus kemodenan, persis peribahasa, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Namun, Jabatan Pengajian Melayu telah sebulat suara bersetuju mewujudkan Persatuan Bahasa Melayu bagi menggalakkan mahasiswa mengasah bakat mereka dalam aktiviti bahasa Melayu dan bersama-sama mengadakan program bagi memartabatkan lagi bahasa Melayu dalam kalangan mahasiswa universiti. Objektif persatuan ini ditubuhkan adalah bertujuan untuk mendidik mahasiswa agar menjadi warga berjaya dan bermaruah serta memperkasakan bahasa dan sastera kebangsaan. Selain itu, mereka tidak lagi hanya menjadi masyarakat yang menadah tangan memohon ihsan dalam pembinaan korpus bahasa.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1034818
    Visit Today : 1034
    This Month : 17417
    Total Visit : 1034818
    Hits Today : 4996
    Total Hits : 4243330
    Who's Online : 17
  • Kategori