bahasa diraja baru

Judul:                         Bahasa Diraja Edisi Baharu

Penulis:                     Prof. Emeritus Dato’ Asamah Haji Omar

Penerbit:                    Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun Terbitan:        2016

Harga:                       RM8.00

Pengulas:                Zaidi Ismail

BAHASA DIRAJA adalah sejenis kelainan sosial antara berbagai-bagai kelainan sosial bahasa Melayu. Sungguhpun bahasa ini bukanlah kelainan asas yang dipelajari oleh penutur Melayu, tetapi merupakan kelainan yang perlu diketahui oleh semua rakyat Malaysia. Inilah kelainan yang paling halus dan digunakan dalam situasi khusus, iaitu apabila kita berhadapan dengan atau merujuk keluarga diraja.

Sebelum terbitnya buku Bahasa Diraja oleh Asmah Haji Omar pada tahun 1985 (cetakan pertama), belum ada satu pun buku kajian khusus tentang bahasa diraja di pasaran. Buku ini merupakan karya ilmiah pertama yang pernah ditulis dalam bahasa Melayu. Seterusnya, diterbitkan edisi baharunya, Bahasa Diraja Edisi Baharu pada tahun 2004 setelah dibuat penambahbaikan. Pada tahun ini pula, diterbitkan cetakan keduanya.

Walaupun ada serba sedikit pindaan untuk penambahbaikannya, pada dasarnya buku ini masih lagi mempertahan struktur dan kandungan asalnya. Buku setebal 58 halaman ini dibahagikan kepada lima bab utama, iaitu Pengenalan Bahasa Diraja, Ciri-ciri Khusus, Sebutan Diri, Fungsi Komunikasi Bahasa Diraja, dan Kesimpulan. Bab Pengenalan Bahasa Diraja merupakan bab pertama buku ini. Dalam bab ini dijelaskan tentang takrifan bahasa diraja serta bahasa bukan diraja dan bahasa halus.

Bahasa diraja yang juga dikenali sebagai bahasa istana ialah bahasa yang digunakan dalam perhubungan kebahasaan apabila sekurang-kurangnya salah satu pihak itu terdiri daripada keluarga diraja. Selain itu, bahasa diraja juga merupakan bahasa yang halus kerana bahasa ini digunakan dengan penuh sopan santun dan adab tertib walau dalam keadaan apa-apa sekalipun. Bahasa diraja merupakan warisan kebudayaan Melayu yang mencerminkan kehalusan, sopan santun, dan adab tertib yang tinggi dalam berbahasa.

Bahasa bukan diraja pula ialah bahasa yang digunakan dalam perhubungan yang tidak dihadapkan kepada sekatan-sekatan atau kendala-kendala diraja. Semasa menggunakan bahasa ini, tiada pihak yang berhubungan dengan keluarga diraja. Bahasa ini juga biasanya disebut bahasa biasa atau bahasa orang kebanyakan. Sementara bahasa halus, ialah bahasa yang digunakan dengan penuh sopan santun dan adab tertib walau dalam keadaan apa-apa sekalipun.

Dalam bab kedua, Ciri-ciri Khusus pula, dijelaskan tentang ciri-ciri khusus dan nahu bahasa diraja. Dalam buku ini, Asmah menjelaskan tentang perbezaan antara bahasa diraja dengan bahasa biasa. Dalam bahasa biasa, ungkapan dan perbendaharaan tertentu tidak digunakan dalam bahasa biasa, seperti daulat tuanku, ampun tuanku, dan menjunjung kasih tuanku.

Dari segi nahunya pula, nahu bahasa diraja sama dengan sistem dan struktur bahasa am. Namun, dalam bahasa diraja, ada kecenderungan penggunaan penambahan dan konteks tertentu, seperti penambahan awalan per- dan akhiran -nda. Kedua-dua penambahan ini digunakan secara meluas dalam bahasa diraja, seperti permuliakan, persembahkan, persila, ibunda, kakanda, dan nenda.

Takrif, konteks penggunaan, dan pembahagian sebutan diri pula dijelaskan dalam bab tiga, Sebutan Diri. Sebutan diri ialah perkataan-perkataan yang digunakan untuk merujuk diri, sebagai diri pertama, iaitu diri sendiri; atau sebagai diri kedua, iaitu orang yang diajak bercakap; atau sebagai diri ketiga, iaitu orang yang diperkatakan.

Dalam bahasa diraja, penggunaan sebutan diri mempunyai kendala atau sekatan konteks. Dalam bahasa diraja, pengguna bahasa atau pemeran hendaklah betul-betul fakam konteks yang dihadapinya. Pemilihan sebutan yang jitu adalah satu kemestian baginya. Jika tidak, akan menimbulkan salah faham atau anggapan yang pemeran kurang beradab. Untuk memudahkan pembaca memahami konteks penggunaan sebutan diri, Asmah turut menyertakan jadual penggunaan sebutan diri.

Seterusnya, dalam bab keempat, Fungsi Komunikasi Bahasa Diraja, dijelaskan tentang fungsi-fungsi penggunaan komunikasi bahasa diraja. Yang dimaksudkan dengan fungsi komunikasi bahasa diraja ialah fungsi yang dijalankan oleh bahasa dalam menimbulkan komunikasi atau perhubungan antara para pemeran bahasa, baik secara lisan mahupun tulisan. Penyampaian sesuatu komunikasi ada kalanya menimbulkan tindak balas, dan ada kalanya tidak.

Akhir sekali, bab kelima, Kesimpulan, merupakan penutup buku ini. Dalam bab ini, Asmah menegaskan bahawa satu ciri penting dalam komunikasi yang menggunakan bahasa diraja ialah penggunaan gelar-gelar diraja. Tiap-tiap Sultan, mulai dari Yang di-Pertuan Agong mempunyai gelaran tersendiri dan gelaran-gelaran itu telah pun dikanunkan oleh negeri masing-masing dan kerajaan persekutuan. Yang di-Pertuan Agong dirujuk sebagai Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Permaisuri Baginda membawa gelar Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Pada amnya, ada keseragaman dalam gelar yang diberikan kepada Sultan-sultan, iaitu pada asasnya Duli Yang Maha Mulia. Demikian juga halnya dengan permaisuri. Tengku Mahkota atau Raja Muda pada amnya dirujuk sebagai Duli Yang Teramat Mulia.

Untuk panduan pembaca, dalam buku ini turut disertakan tiga buah lampiran, iaitu lampiran senarai ungkapan bahasa diraja dan dua contoh teks ucapan yang menggunakan bahasa diraja. Walaupun buku ini merupakan sebuah buku ilmiah, selain pelajar dan pengkaji bahasa, pembaca umum juga boleh memanfaatkannya sebagai pedoman penggunaan bahasa diraja yang betul terutamanya dalam situasi dan urusan rasmi.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044967
    Visit Today : 1388
    This Month : 27566
    Total Visit : 1044967
    Hits Today : 5198
    Total Hits : 4290171
    Who's Online : 8
  • Kategori