Nama sebenar Norjannah MA ialah Johana Leo Augustine @ Norjannah Mohd Adnan.

OLEH MARSLI N.O

NORJANNAH MA merupakan penyair wanita kelahiran Sabah. Nama sebenar Norjannah MA ialah Johana Leo Augustine @ Norjannah Mohd Adnan. Beliau dilahirkan di kampung  Batangan/Barus, Tuaran, Sabah. Beliau mendapat pendidikan awal dan menengah di kampung kelahirannya di Tuaran, Sabah.

Beliau mulai terlibat dengan penulisan sejak tahun 1989. Walau pun beliau juga menulis cerpen, tetapi puisilah yang lebih diberikan fokus perhatian penciptaannya. Karya-karya di peringkat awal pernah termuat dalam kumpulan puisi Islam “Jalan ke Hujung Taman” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka  (1991), antologi cerpen Penulis wanita Sabah ”Hikmah” terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (1995) dan antologi cerpen “Titian Permata” (1993) terbitan Dewan bahasa dan Pustaka. Namun setelah berkeluarga dan menumpukan perhatian kepada kerjayanya, beliau hampir dua puluh tahun menyepikan diri.

Namun sekitar akhir tahun 2010 beliau kembali aktif menulis secara lebih bersungguh-sungguh. Hasil kesungguhannya berkarya, beliau berjaya menghasilkan kumpulan puisi pertamanya “Setia Mengalir” yang diterbitkan oleh PERWILA (2010). Ini diikuti pula dengan penerbitan kumpulan puisi keduanya “Mahagar” yang diterbitkan oleh ITBM/ Institut Terjemahan Buku Malaysia (2013).

Kumpulan puisi “Mahagar” dapatlah dianggap sebagai sebuah koleksi pernyataan perasaan penyair yang pelbagai sifat, bentuk dan nadanya. Dengan kata-kata puitis dan bernuansa Arab, Norjannah MA menyatakan perasaan kasih, rindu, sayang dan juga sesal di dalam puisi-puisi yang dimuatkan di dalam kumpulan ini.

Misalnya, dalam puisinya “Menterjemah Rasa”, pembaca dapat mengesan suara merendah dan pasrah penyairnya apabila antara lain menyebut: betapa jiwa dahaga/ mengharapkan nur syifa/ berselawat atas sejadah/ memintal tasbih/ merafak kasih dalm jihad/ menggapai arasy.

Sifat dan perasaan kewanitaan penyair juga sangat jelas terkesan di dalam kebanyakan puisinya yang dimuatkan di dalam kumpulan ini. Kadang-kala terkesan Norjannah MA meletakkan dirinya pada posisi romantis yang sangat mendambakan, seperti misalnya dalam puisi “Istiqamah Cinta”: Senja menghanyut mega/ berkurun duka gerhana di Sahara/ suara lolongan bergetaran di udara/ menganyam mimpi nestapa.

Atau dalam puisinya yang lain, berjudul “Sajak Kepada Awan Indah”, Norjannah MA seakan tidak berselindung lagi menyatakan perasaan rindu dan sekaligus harapannya: Kupinjam bahasamu awan indah/ kerana aku merinduimu/ pada alur liku diksi puisimu/ adalah roh akrab menyatu/ menyeberangi rindu.

Kumpulan puisi kedua Norjannah MA “Mahagar”.

Kumpulan puisi kedua Norjannah MA “Mahagar”.

Ternyata penerbitan kumpulan puisi keduanya “Mahagar” ini kian memacu kegigihan dan kesungguhan Norjannah MA untuk terus aktif berkarya. Hasil kegigihan berkreatif, karya beliau telah dimuat dan diterbitkan dalam sejumlah antologi puisi bersama-sama beberapa penyair nusantara. Antaranya, Antologi “Lantera Sastera” yang menggabungkan penyair 5 negara ( 2013). Antologi puisi 3 negara “Bebas Melata” (2013). Antologi “Bisikan 8” (2014) bersama seniman dan penulis Kelantan /PUSPA.  Antologi “Sinar Siddiq” (2012) terbitan Bahasa Sabah. Antologi “Gema Membelah Gema 17” terbitan GAPENA (2013).

Selain itu, karya beliau turut diterbitkan dalam kumpulan cerpen dan puisi “Raudhah Cinta” (2014), Antologi MH370 “Segugus Pasrah Buatmu” (2013) dan antologi puisi “Hitam dan Putih” (2013) terbitan Bahasa Sabah. Antologi Puisi “Kembali MH370” (2014) dan antologi puisi “Mengenang R.Hamzah Dua” (2014) adalah terbitan PERWILA. Antologi puisi “Lata Kinjang”  (2014),  antologi  puisi “Taman Fikir” (2014) adalah terbitan Ikatan  Penulis Sabah. Antologi cerpen 11 penulis sabah “Nyiur Gading Tinggi Menjulang” (2014), antologi puisi/cerpen “Segenggam Tasbih” (2014) dan Antologi Cerpen “Di Pintu Kasih’ (2015) adalah  terbitan ASASI.  Manakala antologi puisi penyair 5 negara “Lantera 2” (2015) dan Antologi puisi “Anak Kanang“ (2016) adalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Selain itu sejumlah karya puisi dan cerpen beliau turut tersiar di akhbar Sabah Times, Utusan Borneo, Daily Express, Warta Perdana, akhbar Mingguan Malaysia dan Berita Harian.

Ketika ditanya kenapa beliau memilih atau ingin  menjadi penulis, Norjannah MA mengakui betapa dia mengharapkan melalui penulisan beliau boleh mencetuskan beberapa idea, buah fikir atau mencurahkan apa saja yang terbuku di dalam mindanya. Bagi Norjannah, penulis adalah seorang pemikir yang mampu juga mengajak pembaca penjadi pemikir.

Jika sebahagian penulis menjadikan tokoh-tokoh penulis terkenal sebagai pendorong atau idola mereka namun Norjannah MA pula memilih ibunya sendiri sebagai idola. Menurut Norjannah, ibu beliau merupakan idola terdekat dan insan yang banyak memberikan sokongan serta dorongan. Cinta dan kasih sayang ibunya bersatu dalam kebanyakan karya beliau. Namun begitu, Norjannah tidak menafikan betapa rakan-rakan juga banyak memberikan dorongan kepada beliau agar terus berkarya.

Mengenai proses pengkaryaannya, bagi Norjannah beliau merancang masanya dengan bijak. Ketika berkarya pula, beliau berpandangan bahawa seni itu sesuatu yang indah dan harus mementingkan makna dan estetika. Selain bertolak dari bentuk seni visual, Norjannah juga mengakui betapa beliau lebih selesa berkarya pada waktu malam dan di samping itu sentiasa berusaha memilih istilah yang indah dan tepat untuk karyanya.

Sebagai penulis, ada sebabnya kenapa Norjannah MA lebih memberikan fokus dan perhatiannya terhadap genre puisi berbanding cerpen. Bagi Norjannah, puisi adalah ungkapan kata yang sangat padu dan amat santai. Sebagai perantara komunikasi pula, mesej yang ingin dinyatakan oleh penyair mestilah sesuai dengan ketepatan baitnya, tanpa mengabaikan aspek pemilihan kata atau diksi.

Berbanding dengan prosa atau cerpen, Norjannah mengaku kurang sabar bertahan untuk bergulat dengan fiksi dan merangkai peristiwa demi peristiwa menjadi sebuah karya naratif yang agak panjang.

Penyair wanita yang memilih penulisan berkonsepkan ke arah agama dan sebagai suatu ibadah ini mempercayai betapa motif seni mestilah berlandaskan kepada perkara maaruf dan kebaikan. Bagi Norjannah MA, slogan seninya adalah seni kerana Allah.

Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia kepenulisan ini, Norjannah MA pernah memenangi Hadiah Sastera Sabah 2012//2013 bagi genre puisi dengan puisinya “Istiqamah Cinta”. Kini beliau aktif bersama persatuan penulis ASASI, Kedah dan Karyawan Pulau Pinang. Di samping menguruskan perniagaannya sendiri dan kini menetap di Pulau Pinang.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044658
    Visit Today : 1079
    This Month : 27257
    Total Visit : 1044658
    Hits Today : 4000
    Total Hits : 4288973
    Who's Online : 8
  • Kategori