OLEH ABDUL HAKAM JAMALUDDIN

PADA 13 Disember 2016, rakyat Malaysia telah menyaksikan satu peristiwa penting dan bersejarah apabila Sultan Kelantan iaitu Sultan Muhammad ke-V telah menduduki takhta persekutuan dengan bergelar Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ke-15. Baginda telah menggantikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang ke-14, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah yang telah tamat tempoh pemerintahan negara pada 12 Disember 2016. Sultan Muhammad ke-V telah dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan sekali gus menjadi Ketua Negara bagi Persekutuan Malaysia yang baru dan akan menjalankan tugas-tugas seperti mana yang telah termaktub dalam perlembagaan.

Sebelum itu, pemilihan Sultan Muhammad ke-V sebagai Yang di-Pertuan Agong telah dijalankan dalam Majlis Mesyuarat Raja-raja (Khas) kali ke-243 di Istana Negara pada hari Jumaat bersamaan 14 Oktober 2016. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail. Manakala bagi memegang jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong pula, Majlis Raja-raja telah memilih Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Sultan Perak untuk memegang jawatan itu.

Pelantikan Yang di-Pertuan Agong ini adalah untuk memenuhi kehendak peruntukkan dalam perlembagaan negara Bahagian 4 Perkara 32 (1) yang menyatakan:

Maka hendaklah ada seorang Kepala Utama Negara bagi Persekutuan digelarkan Yang di-Pertuan Agong, yang mengambil keutamaan mengatasi segala orang dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikena dakwa dalam apa-apa jua pembicaraan dalam mana-mana mahkamah kecuali dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian 15’.

Cara pemilihahan Yang di-Pertuan Agong juga telah dijelaskan oleh perlembagaan seperti berikut:

Yang di-Pertuan Agong hendaklah dipilih oleh Majlis Raja-raja selama tempoh jawatan lima tahun tetapi boleh pada bila-bila masa meletakkan jawatannya dengan mengutus surat yang ditandatangani olehnya kepada Majlis Raja-raja, atau dipecat dari jawatannya oleh Majlis Raja-raja dan hendaklah terhenti daripada memegang jawatan apabila terhenti daripada menjadi seorang Raja’.

Selain itu perlembagaan persekutuan juga memperuntukkan tentang pelantikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Hal ini turut dinyatakan di bawah Perkara 33 (1) perlembagaan negara:

Maka hendaklah ada seorang Timbalan Kepala Utama Negara bagi Persekutuan (digelarkan Timbalan Yang di-Pertuan Agong) dan ia hendaklah menjalankan tugas-tugas serta mempunyai keistimewaan-keistimewaan Yang di-Pertuan Agong dalam masa berlaku kekosongan dalam jawatan Yang di-Pertuan Agong dan dalam masa Yang di-Pertuan Agong tidak berupaya menjalankan tugas-tugas jawatannya oleh kerana sakit, tidak ada dalam Persekutuan ataupun oleh kerana apa-apa sebab lain, tetapi Timbalan Yang di-Pertuan Agong tidak boleh menjalankan tugas-tugas itu dalam masa Yang di-Pertuan Agong tidak berupaya atau tidak ada dalam Persekutuan selama yang dijangka kurang daripada lima belas hari, melainkan jika Timbalan Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa adalah perlu dan mustahak tugas-tugas itu dijalankan’.

Manakala dari segi pemilihan pula, jawatan Timbalan Yang di-Pertuan Agong dipilih adalah sama seperti Yang di-Pertuan Agong. Baginda juga boleh meletakkan jawatan dengan cara yang sama serta terlucut jawatan apabila terhenti menjadi Raja.

Apa yang menariknya pemilihan dan pelantikan Yang di-Pertuan Agong adalah tidak sama dengan corak pemilihan dan pelantikan raja seperti yang diamalkan dalam negeri-negeri beraja di Malaysia. Pelantikan raja di negeri adalah berdasarkan warisan dan dipilih oleh sebuah majlis diraja yang dianggotai oleh pembesar-pembesar negeri. Di negeri tidak semestinya Raja Muda atau Tengku Mahkota akan terus menaiki takhta tetapi boleh saja diketepikan oleh majlis diraja dengan melantik waris diraja lain yang dianggap layak untuk menaiki takhta. Apabila seseorang itu menjadi raja, maka jawatannya itu akan dipegang seumur hidup sekirannya raja itu tidak turun takhta atau tidak berkelayakan dan berkeupayaan berdasarkan syarat-syarat yang terkandung undang-undang tubuh negeri.

Berlainan pula dengan pemilihan Yang di-Pertuan Agong. Pertama, seseorang yang bakal menjadi Yang di-Pertuan Agong perlulah menjadi raja di negerinya sendiri. Memandangkan terdapat sembilan orang raja Melayu di Malaysia, maka pemilihan dibuat dalam kalangan sembilan orang raja tersebut. Yang di-Pertuan Agong akan dipilih oleh sebuah badan khas yang dinamakan Majlis Raja-raja. Jika dinegeri seorang raja dipilih dan dilantik oleh para pembesar tetapi Yang di-Pertuan Agong akan dipilih oleh sembilan orang Raja-raja Melayu. Jawatan Yang di-Pertuan Agong bukanlah jawatan warisan tetapi mempunyai had tempoh selama lima tahun. Jika seseorang Yang di-Pertuan Agong mangkat atau meletak jawatan ketika dalam tempoh pemerintahan, maka Majlis Raja-raja akan bermesyuarat sekali lagi untuk memilih dan melantik Yang di-Pertuan Agong yang baru.

Pemerintahan sistem beraja di negara ini merupakan satu kesinambungan unsur tradisional yang kekal diamalkan hingga ke hari ini. Zaman pemerintahan Kesultanan Melayu Melaka merupakan suatu zaman yang sentiasa menjadi rujukan bagi meneruskan amalan sistem pemerintahan beraja. Hal ini kerana zaman itu empayar Melaka telah pun mempunyai satu bentuk sistem peraturan yang lengkap dalam soal menentukan kuasa raja, susun lapis pembesar dan rakyat serta undang-undang bagi menjaga keselamatan dan keamanan dalam negeri.

Naskhah Sulalatus Salatin.

Naskhah Sulalatus Salatin.

Suatu unsur utama yang tidak boleh diketepikan dalam amalan pemerintahan beraja negara ini ialah ‘konsep kesetiaan’. Unsur ini telah menjadi tradisi sejak dahulu lagi dan diturunkan dari satu generasi ke satu generasi hingga kekal diwarisi hingga kini. Bagi menjalankan pemerintahan adalah penting bagi seorang raja mendapat kesetiaan daripada rakyat. Naskhah Sejarah Melayu ada mencatatkan beberapa perkara di antara Seri Teri Buana dan Demang Lebar Daun dalam menjalankan hubungan di antara raja dan rakyat. Hari ini kita boleh menganggap bahawa Seri Teri Buana mewakili golongan raja manakala Demang Lebar Daun mewakili golongan rakyat. Catatan itu menyatakan bahawa seorang raja tidak boleh memberi aib dengan mengeji atau menghina seseorang rakyat walau apa pun kesalahannya. Manakala rakyat pula tidak boleh menderhaka atau membunuh raja walaupun seseorang raja itu melakukan kezaliman. Berikut merupakan petikan perjanjian yang terakam dalam teks Sejarah Melayu:

Maka titah Seri Teri Buana, “Hendaklah oleh segala anak cucu hamba, jikalau ada salahnya sekalipun, atau zalim jahat pekertinya, jangan segala hamba Melayu itu derhaka dan menitikkan darahnya ke bumi, jikalau mereka itu akan cedera, berundur hingga takluk negerinya juga”.

Di samping itu tedapat catatan lain dalam naskhah Sejarah Melayu menyatakan bahawa perjanjian ini akan terbatal sekiranya salah seorang daripada kedua-dua pihak melanggar sumpah yang telah dibuat:

Kesimpulannya, mengambil iktibar daripada bentuk persetiaan ini adalah besar harapan rakyat kepada baginda Yang di-Pertuan Agong dapat menjalankan pemerintahan negara dengan adil dan saksama sesuai dengan sumpah dan ikrar yang dilafazkan. Hal ini kerana setiap rakyat menganggap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah ‘payung negara’ yang menaungi rakyat jelata tanpa mengira kaum dan agama walaupun baginda adalah seorang Raja Melayu.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1034122
    Visit Today : 338
    This Month : 16721
    Total Visit : 1034122
    Hits Today : 1201
    Total Hits : 4239535
    Who's Online : 10
  • Kategori