anakwwsn

Judul: Anak Wawasan
Pengarang: Muhammad Irfan Nyia Abdullah
Terbitan: Dewan Bahasa Dan Pustaka
Tahun: 2016
Pengulas: Dr. Nazariyah Sani
 

ANAK WAWASAN merupakan kumpulan cerpen kanak-kanak karya terkini Dr Muhammad Irfan Nyia Abdullah yang diterbitkan pada tahun 2016. Buku setebal 105 muka surat ini mengandungi lima buah cerpen yang mengutarakan tema persaingan sihat pelajar, nilai-nilai murni, perpaduan, jati diri dan semangat kebangsaan. Judul lima buah cerpen tersebut ialah “Anak Wawasan”, “Muafakat ke Puncak Jaya”, “Seteguh Persahabatan”, “Terima Kasih, Cikgu” dan “Tupai”.

Grafik yang menarik dan sesuai pada kulit antologi menggugah rasa ingin tahu pembaca akan kandungannya. Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas dan imej manusia dilukis dengan berwarna-warni mengundang keceriaan dan simbolik kepada wawasan negara.  Pemilihan warna kuning dan merah ibarat semangat wawasan yang semarak membara dalam diri pengarang dan tempiasnya juga sampai kepada khalayak pembaca.

Muhammad Irfan menitipkan pengalaman beliau sebagai guru sambil membaurkan unsur-unsur persekitaran yang mempengaruhi remaja hari ini. Melalui kumpulan cerpen ini, beliau cuba menggapai hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara, iaitu melahirkan insan yang seimbang dari sudut jasmani, emosi, rohani, intelek, dan sosial (JERIS) melalui perpaduan watak dan perwatakan, plot dan latar cerpen.

Setelah membaca kesemua lima buah cerpen dalam antologi ini, saya mendapat jawapan mengapa Muhammad Irfan dapat menulis dengan baik. Hal ini disebabkan penglibatannya yang lama dalam profesion keguruan. Sebagai pembaca saya dapat membayangkan perjalanan hidup pengarang sepanjang berada dalam profesion keguruan yang berhadapan dengan peristiwa pahit manis tingkah laku murid-murid beliau.

Pemerhatian terhadap kehidupan seharian murid-murid memudahkan beliau menulis dengan baik lagi difahami. Beliau memaparkan data yang cukup hasil penelitian yang teliti sepanjang menggalas tanggungjawab sebagai guru. Aspek-aspek positif yang diharapkan oleh para guru daripada murid-murid di sekolah dipaparkan dengan baik. Sebagai contoh, perubahan sikap Hamzah daripada negatif kepada positif dalam cerpen “Terima Kasih, Cikgu” digarapkan dengan baik.

Cerpen yang termuat dalam antologi ini kebanyakannya disampaikan menerusi sudut pandangan orang ketiga dalam latar yang pelbagai. Penulis menyajikan latar yang dekat dengan kehidupan beliau walaupun sedikit berbeza. Sebagai contoh, cerpen “Anak Wawasan” menggunakan latar sekolah dan bilik darjah. Latar kampung, gelanggang silat, rumah, masjid, digunakan untuk cerpen-cerpen yang lain.

Bahasa yang dipilih sesuai untuk semua golongan dan dapat menimbulkan perasaan ingin tahu dalam hati pembaca. Gaya bahasa digunakan untuk menarik hati pembaca agar tidak bosan dan selalu memperoleh kesegaran dalam membaca karya sastera. Gaya bahasa penulis kumpulan cerpen ini sebagai unsur pembangun wacana dalam karya sastera mempunyai peranan sangat penting kerana di situlah terletak salah satu daya penarik cerpen beliau agar tidak menjemukan.

Pengarang menyerlahkan karya beliau sebagai karangan yang menyiratkan hal-hal yang baik atau yang indah dalam kehidupan guru dan murid-murid di sekolah. Dalam hal ini, cerpen beliau mencakupi segala aspek kehidupan seperti hal-hal tentang kebenaran, keharmonian, nilai-nilai kemanusiaan, kearifan dan sebagainya. Kebenaran dan keindahan yang terkandung dalam cerpen beliau sesuai dengan nilai-nilai yang disampaikannya, sehingga mampu mengajarkan kearifan menghadapi realiti hidup murid-murid.

Dalam batasan pengertian bahawa cerpen sebagai hasil sastera yang merupakan karangan atau susunan bahasa, maka lima buah cerpen tersebut diolah dengan menarik dan mampu mewujudkan daya pikat terhadap pembaca. Pengarang mampu mengungkapkan tema berserta unsur didaktik, selain menyajikan nilai-nilai keindahan serta paparan peristiwa yang mampu memberikan kepuasan batin pembaca.

Selain itu, cerpen beliau juga mengandung pandangan yang berhubungan dengan renungan atau hubungan batin, baik berhubungan dengan masalah keagamaan, falsafah, politik mahupun berbagai-bagai isu dalam ranah kehidupan murid-murid sekolah rendah. Sebagai contoh, falsafah dalam pertarungan “bukanlah jaguh andai tidak dapat menahan sakit dalam arena persilatan” yang terdapat dalam cerpen “Muafakat ke Puncak Jaya”.

Gaya penulisan pengarang amat sesuai dengan khalayak sasaran antologi tersebut. Beliau menggunakan bahasa sehari-hari yang mudah difahami. Muhammad Irfan menulis dengan kalimat yang pendek dan kadangkala deskriptif yang digabungkan dengan koma dan titik koma. Kadangkala beliau juga menggunakan pilihan kata dan deskripsi kuno yang berakar daripada era klasik kerana mungkin beliau terinspirasi oleh Sejarah Melayu.

Tokoh yang menjadi pusat perhatian dalam cerpen ialah murid-murid. Pengarang memilih pencuri durian sebagai protagonis, dan menempatkan anak-anak yang diberi nama mengikut nama pahlawan Melayu Melaka iaitu Hang Tuah lima bersaudara sebagai peranan antagonis dalam cerpen “Muafakat ke Puncak Jaya”.  Bagi pengarang, keluarga merupakan lembaga sosial yang paling besar peranannya untuk membentuk kesejahteraan dan kelestarian anggota-anggotanya. Keluarga menjadi lingkungan sosial terpenting bagi perkembangan dan pembentukan peribadi anak. Oleh itu peranan keluarga ini banyak diberikan penekanan dalam cerpen beliau.

Pengarang mengambil pedoman daripada masalah realiti sekitar latar persekolahan murid. Beliau mengangkat masalah kepincangan hidup murid-murid secara kritis. Kadangkala beliau berpihak, mengkritik atau memberikan pandangan. Kemampuan jelajah imaginasi Muhamad Irfan dipengaruhi oleh pembacaan, pergaulan, dan profesion keguruan yang diceburi sekian lama.

Pengarang berjaya mengembangkan isu-isu dalam bidang pendidikan dan tema utama, iaitu mendidik. Plot setiap cerpen dapat dikembangkan secara menarik dan bersahaja namun mengundang rasa ingin tahu pembaca. Watak protagonis murid-murid seperti Syafiq dalam “Anak Wawasan”, Hang Tuah Lima Bersaudara dalam “Muafakat ke Puncak Jaya”, Roslan dalam “Seteguh Persahabatan” dan Ramin dalam “Tupai” diadunkan dengan baik bersama-sama latar dan dijalinkan secara baik dengan tema.

Antologi ini agak unik kerana dapat menambahkan maklumat baharu terhadap isu persekolahan murid-murid. Sebagai kesimpulan, pengarang berjaya mendidik pembaca dan memacu kepuasan pembaca setelah selesai membaca kesemua cerpen. Sebagai pembaca, saya akan mencadangkan buku ini kepada orang lain sebagai bahan bacaan kerana terdapat unsur didaktik yang boleh dicontohi. Kumpulan cerpen Anak Wawasan ini mempunyai banyak kekuatan dan amat menyenangkan di samping mendidik.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044962
    Visit Today : 1383
    This Month : 27561
    Total Visit : 1044962
    Hits Today : 5191
    Total Hits : 4290164
    Who's Online : 8
  • Kategori