OLEH ATIQAH ABD RAHIM

Bahasa merupakan platform manusia menyampaikan mesej. Melalui bahasa, manusia memahami antara satu sama lain dengan kefahaman maksud bahasa yang digunakan. Begitu juga dalam berkomunikasi. Manusia menyampaikan apa yang bermain di fikiran dalam bentuk bahasa yang boleh difahami oleh si penerima. Bentuk bahasa ini mungkin berbeza mengikut latar belakang, umur, status dan kerapatan dalam perhubungan tersebut. Perbezaan ini muncullah kepelbagaian bahasa perbualan dan berbeza daripada bahasa baku yang sepatutnya digunakan dalam bahasa Melayu.

Penulis berpeluang melanjutkan pelajaran di bumi Kenyalang Sarawak dan perbezaan dalam penggunaan bahasa dalam berkomunikasi sangat ketara jika dibandingkan dengan tempat kelahiran penulis di Selangor. Sarawak terkenal dengan kepelbagaian etnik dan bahasa. Namun, sesetengahnya lebih senang berbahasa Melayu dalam perbualan menggunakan bahasa baku dan lenggok bahasa yang hanya temui di buku-buku! Agak kekok menggunakan bahasa baku dalam perbualan sementelahan bahasa singkatan atau dialek sering menjadi pilihan dalam perbualan harian di tempat kelahiran penulis. Apabila diajukan sebab mereka berbuat demikian, jawapannya hanyalah supaya terbiasa dengan penulisan dan kefasihan bahasa Melayu mereka. Sistem pendidikan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah menyebabkan mereka perlu membiasakan diri dengan penggunaan bahasa ibunda itu yang akhirnya terbiasa hingga ke peringkat universiti.

Walau bagaimanapun, seperti masyarakat di negeri-negeri Semenanjung Malaysia, orang Sarawak juga tidak dapat mengelak daripada menggunakan bahasa dialek masing-masing. Apabila terlalu lama menggunakan bahasa standard, timbul juga rasa rindu untuk bercakap dalam dialek sendiri. Menjadi lumrah manusia apabila berjumpa dengan orang yang mempunyai bahasa dialek yang sama, mereka lebih selesa bersosial sesama mereka dan membentuk komuniti sendiri.

Setiap etnik di Sarawak mempunyai dialek tersendiri dan juga berlainan mengikut daerah. Contohnya, bahasa Iban di Sarikei berbeza dengan bahasa Iban di Miri. Mereka dapat menentukan latar belakang seseorang yang baru dikenali berdasarkan dialek yang diguna. Ia diumpamakan seperti penggunaan dialek Melayu Kedah dan Kelantan. Perbezaan dialek ini merupakan salah satu sebab mereka lebih selesa menggunakan bahasa Melayu baku untuk mengelakkan ketidakfahaman semasa berbual.

Penggunaan bahasa Melayu baku juga dianggap sebagai mempunyai status pendidikan yang tinggi kerana mereka berpeluang belajar hingga ke peringkat sekolah menengah, walaupun bahasa Inggeris sering menjadi pilihan. Kebanyakan orang Sarawak lebih senang berbahasa Melayu sebagai bahasa utama kerana difahami oleh semua lapisan masyarakat.

Penulis sangat kagum dengan usaha orang Sarawak memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Mereka tidak banyak membezakan antara bahasa perbualan dan bahasa penulisan, dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan dalam berbahasa Melayu dengan penggunaan bahasa yang tepat. Penulis lebih senang berkomunikasi dengan orang Sarawak berbanding sesetengah masyarakat di Semenanjung terutamanya di bandar yang gemar berbahasa pasar yang kadangkala membawa maksud mengelirukan. Mungkin ada mengatakan bahasa pasar lebih mudah digunakan tetapi biarlah kena pada tempatnya sebagai tanda hormat kita kepada orang yang kita sedang berkomunikasi. Bahasa melambangkan bangsa.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042054
    Visit Today : 1369
    This Month : 24653
    Total Visit : 1042054
    Hits Today : 8646
    Total Hits : 4279189
    Who's Online : 14
  • Kategori