buku kanak

Pengulas NOR ALIA FATIHAH BT NOR AZIM

Judul: Kumpulan Cerpen Kanak-kanak

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM13.00 – RM15.00

Tahun: 2014

 

Sastera kanak-kanak dalam bentuk buku bergambar dan buku cerita berilustrasi sangat penting dalam membina moral dan psikologi mereka. Ciri-ciri fizikal buku tersebut yang mengandungi banyak ilustrasi yang berwarna, saiz fon tulisan yang besar dan teks yang tidak padat, sangat menarik minat kanak-kanak membaca buku tersebut secara berulang kali. Sebab itulah di negara Barat, kebanyakan buku kanak-kanak diterbitkan dalam bentuk kertas tebal dan berkulit tebal.

Menulis buku kanak-kanak bukanlah satu kerja yang mudah, kerana penulis perlu tahu psikologi kanak-kanak, apakah perkara yang disukai dan dekat di hati kanak-kanak dan cerita bagaimanakah yang serasi dengan naluri kanak-kanak. Dari segi dialog pengucapan, perlakuan watak atau perwatakan dan laras bahasa merupakan perkara penting yang perlu dikuasai oleh penulis buku cerita kanak-kanak. Oleh sebab penulis buku cerita kanak-kanak biasanya daripada golongan orang dewasa, maka sangat sukar bagi mereka untuk menguasai perkara tersebut, terutama dalam menjiwai watak.

Namun begitu, buku cerita berilustrasi, Layang-layang itu Menerbangkan Iman Kerana Kasut Ajaib, Mahu Menjadi Doktor, Mari Berkasih sayang, Misteri Adik yang Hilang dan Anak Kampung ke Istana Negara, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka yang mengandungi 32 halaman, dengan ilustrasi yang sangat cantik mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Hal ini adalah kerana buku ini ditulis oleh kanak-kanak sendiri yang berusia 12 tahun ke bawah. Inilah terbitan pertama di Malaysia yang menerbitkan buku penulis cilik.

Layang-layang itu Menerbangkan Iman mengandungi empat cerita yang terdiri daripada, “Layang-layang itu Menerbangkan Iman” karya Nur Aliyah Aqilah Mohd Azri, yang dijadikan judul buku ini. Cerita kedua, berjudul “Sang Kelani yang Berani” karya Akmal Aminuddin, cerita ketiga, berjudul “Sang Arnab Jadian” karya Nur Anis Mat Dahari dan yang keempat cerita berjudul “Fatin Puteri yang Cantik” karya Erisya Alya Hezri. Buku Kerana Kasut Ajaib pula mengetengahkan empat cerita yang terdiri daripada “Kerana Kasut Ajaib” karya Abdul Halim Aiman, yang diangkat menjadi judul buku ini. Cerita kedua berjudul, “Inspirasi Anis” karya Nur Huda Adila Md Ridzwan, cerita ketiga, “Tragedi Bukit Sejuk” karya Nursyafiqa MD Shaiful Bahari dan cerita keempat, “Kucing untuk Wani” karya Aisyah Syafawani Firdaus.

Buku Mahu Menjadi Doktor pula mengetengahkan empat cerita, iaitu pertama, cerita berilustrasi “Mahu Menjadi Doktor” karya Sheikh Muhd Irfan al-Habshee b. Che Ibrahim. Kedua, “Rindu Kasih Ibu”, karya Aliff Daniel Normuzleady. Ketiga, cerita “Tuah Si Ina, karya Syasya Fatini M.Izan dan cerita keempat, cerita “Kerana Beg Kami Serupa” karya Nur Athirah Alias.

Dalam buku Mari Berkasih sayang pula terdapat empat cerita, iaitu “Mari Berkasih sayang”, karya Rashidah Khairiah Md. Raffae, “Kembalikan Kasih Ibu kepada Kami”, karya Zaiyusri Zainon, “Sepasang Kasut dan Sekotak Pastel” karya Nur Alleya Anas, dan “Nasihat Ratu Hati Syamin” karya Adeeba Maisarah Anuar.   Adik yang Hilang pula merupakan buku cerita berilustrasi yang ditulis oleh Wan Amirul Azib Wan Alias dengan ceritanya berjudul “Misteri Adik yang Hilang” yang menjadi judul buku ini. Mohamad Zulfarhan Ahmad Suplee menghasilkan cerita “Kereta Baharu Ayah”, Fadzilah Zakirah Mohd Ali dengan ceritanya “Dunia Coklat Yoona” dan Nur Aisyah Abdullah dengan ceritanya berjudul Alia ke Bandung.

Seorang penulis cilik berbakat besar, iaitu Siti Nur Balqis Syamsul Zaidi muncul dengan lapan cerita berilustrasinya yang berjudul, “Aku Anak Buruh Kasar”, “Anak Kampung ke Istana Negara”, “Pertemuan Ini”, “Aku Anak Kampung”, “Aku Mahu Berjaya”, “Kemenangan Milik Kita”, “Hanya kepada-Mu Aku Berserah”, dan “Indahnya Persahabatan”, yang kesemuanya dimuatkan dalam buku Anak Kampung ke Istana Negara.

Hasil tulisan daripada 17 orang penulis cilik yang menulis cerita kanak-kanak ini menampakkan keunikan yang luar biasa dari segi isi ceritanya, terutama dari segi imaginasi dan fantasinya. Kemampuan berimaginasi dan berfantasi orang dewasa tentulah tidak sehebat yang dialami oleh kanak-kanak. Maka kerana itu selesai membaca kesemua buku tersebut kita akan mendapat kesan katarsis: terhibur, pelajaran dan moral.

Contohnya dalam cerita “Kerana Kasut Ajaib” yang berkisar tentang seorang anak lelaki bernama Diego yang tinggal di rumah besar dan kaya-raya tetapi hidupnya tidak bahagia dan sunyi, kerana ibu bapa sentiasa sibuk dan tidak ada masa untuknya. Hinggakan kasut Diego koyak pun tidak dapat diganti oleh ibunya kerana kesibukan mereka bekerja. Beberapa kali Diego memujuk ibunya supaya menemaninya membeli kasut baharu, tetapi ibunya memberi alasan sibuk dan menyuruh Diego pergi membeli kasut baharu dengan Pak Abu, pemandu keluarganya.

Akhirnya Diego terpaksa akur. Ketika dia sampai di pasar raya yang besar lagi terkenal itu Diego meminta keizinan daripada Pak Abu untuk pergi sendiri dan Pak Abu menunggunya di kereta sahaja. Pak Abu yang alah dengan pujukan Diego akhirnya membenarkan. Ketika Diego berada dalam pasar raya tersebut dia ternampak sebuah kedai kasut yang besar. Diego terus masuk ke dalam kedai itu. Dia sungguh seronok kerana di dalam kedai kasut itu, semua kasut boleh berkata-kata dan tertawa. Diego sungguh gembira dan kesunyiannya selama ini terubat. Diego leka bermain dengan kasut-kasut itu yang semuanya mempunyai mata, telinga dan mulut sama seperti sifat manusia. Sedang asyik Diego bermain kejar-kejaran itu tiba-tiba datang kasut gergasi mengejarnya. Diego ketakutan dan berlari sekuat hati untuk menyelamatkan dirinya daripada diserang oleh kasut gergasi hingga dia terjatuh dan pengsan.

Pak Abu yang menunggu di luar pasar raya menjadi gelisah kerana sudah berjam-jam dia menunggu. Namun, Diego tidak muncul-muncul. Akhirnya Pak Abu masuk ke pasar raya mencari Diego. Alangkah risaunya Pak Abu kerana dia belum menemui Diago walaupun sudah puas dia mencari di dalam dua tiga buah kedai kasut yang berada di dalam pasar raya itu. Pak Abu yang cemas terpaksa melaporkan kehilangan Diego kepada tuan dan puannya, iaitu ayah dan emak Diego.

Emak Diegolah yang paling risau dan menyesal, kerana terlalu pentingkan kerja sehingga dia tidak menunaikan permintaan Diego untuk menemaninya ke pasar raya membeli kasut. Semua semakin cemas dan hampa apabila mereka tidak dapat menemui Diego walaupun mereka telah puas mencari. Mereka sudah membuat keputusan untuk melaporkan kehilangan Diego kepada polis. Tetapi, belum sempat mereka bertindak, akhirnya mereka menemui Diego yang sedang tertidur nyenyak di dalam sebuah kedai kasut di celah-celah kotak. Rupa-rupanya peristiwa Diego dikejar kasut gergasi itu hanyalah mimpinya sahaja.

Demikianlah uniknya cerita hasil nukilan penulis cilik, Abdul Halim yang memukau pembaca dengan teknik realiti dan fantasi yang mencampurbaurkan dalam ceritanya. Ini merupakan satu kehebatan yang dimiliki oleh kanak-kanak yang kaya dengan dunia kreativiti, berbanding dengan orang dewasa. Begitu jugalah dengan cerita-cerita lain dalam kedua-dua buku tersebut. Buku-buku ini bukan sahaja untuk pembacaan kanak-kanak tetapi sangat sesuai untuk pengkaji kesusasteraan kanak-kanak dan psikologi kanak-kanak, yang boleh dijadikan bahan kajian mereka. Inilah antara buku kanak-kanak yang mesti dibeli untuk anak-anak kita.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044537
    Visit Today : 958
    This Month : 27136
    Total Visit : 1044537
    Hits Today : 3303
    Total Hits : 4288276
    Who's Online : 15
  • Kategori