Oleh SITI NOORISA ABDUL KHLIL

Pada 22 September 2016, bertempat di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur telah diadakan majlis perasmian Syair Alam Melayu Nusantara 2016. Acara yang berlangsung selama dua hari, bermula pada 22 hingga 23 September 2016 dianjurkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Akademi ND Lala dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Bertemakan “Syair Rentas Benua”, program ini merupakan pengisian genre sastera dalam DiverseCity 2016: Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur.

Encik Azmi Ibrahim, Ketua Editor Bahagian Majalah, DBP yang mewakili Ketua Pengarah DBP dalam ucapannya berkata, DBP menyambut baik penganjuran Syair Alam Melayu Nusantara 2016. Hal ini dikatakan demikian kerana pengisian program yang menghimpunkan penyair dari Nusantara, seperti Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei bakal dijadikan rujukan kepada generasi pada masa akan datang. Beliau juga menunjukkan sokongan kepada rakan sinergi yang lain dalam usaha mengangkat syair untuk dipopularkan dalam kalangan generasi hari ini dan akan datang.

Dari kiri Roslan Madun, Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh, Encik Mohd Khair Ngadiron dan Encik Azmi Ibrahim.

Dari kiri Roslan Madun, Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh, Encik Mohd Khair Ngadiron dan Encik Azmi Ibrahim.

Pada majlis itu juga, turut berucap ialah Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan ITBM merangkap Kurator Sastera untuk DiverseCity 2016, Encik Mohd Khair Ngadiron. Katanya, acara kali ini mengangkat syair kerana genre ini kekal diminati dan memiliki penggiatnya tersendiri, antaranya seperti Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan dan penggiat seni Roslan Madun. Selain itu, beliau menyifatkan bahawa syair ini sudah berasimilasi di Nusantara hingga berjaya membentuk identiti yang tersendiri. Syair memerlukan pendedahan, maka acara begini perlu difikirkan untuk dijadikan sebagai acara tahunan dengan memberikan perincian yang lebih mendalam. Program ini telah dirasmikan oleh Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyambut baik usaha untuk menganjurkan acara ini kerana melalui seminar, teori dan konsep keindahan yang belum ditemukan sebelum ini dapat dikenal pasti.

Tetamu jemputan bergambar kenangan bersama-sama dengan enam pembentang kertas kerja untuk seminar Syair Alam Melayu Nusantara 2016.

Tetamu jemputan bergambar kenangan bersama-sama dengan enam pembentang kertas kerja untuk seminar Syair Alam Melayu Nusantara 2016.

Acara ini dibahagikan kepada tiga, iaitu seminar yang melibatkan tokoh dan sasterawan dari dalam dan luar negara, antaranya dari Malaysia melibatkan Sasterawan Negara Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Mohd Fauzi Abdullah. Manakala dari Indonesia pula melibatkan Drs. Sahril dan Idawati, dari Brunei, Pehin Dato’ Haji Abd Gahani Rahim dan dari Selatan Thailand, Saliha Musor. Selain seminar, turut diadakan bengkel yang dikendalikan oleh fasilitator dari Malaysia dan Indonesia, iaitu Syed Indera Syed Omar (Siso), Amir Atan, Roslan Madun, Aisyah Muda dan Idawati M. Kemuncak acara ini diadakan malam persembahan syair yang melibatkan beberapa orang peserta dari negara ASEAN, antaranya Haziq AF (Malaysia), Musliha Wardana (Kepulauan Riau), Nelly Alie (Kota Dumai, Sumatera), Noor Hawadah Ramle (Brunei), Hanafi Idrus (Singapura) dan Suraya Masenbangi (Selatan Thailand).

Sesi seminar yang dipengerusikan oleh Dr. Mohd Hanafi Ibrahim, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera.

Sesi seminar yang dipengerusikan oleh Dr. Mohd Hanafi Ibrahim, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044788
    Visit Today : 1209
    This Month : 27387
    Total Visit : 1044788
    Hits Today : 4461
    Total Hits : 4289434
    Who's Online : 7
  • Kategori