Oleh ALI BUKHARI BIN AMIR

Bahasa pertuturan yang kita gunakan sehari-hari terbit daripada pemikiran. Jadi, penjajahan bahasa pun ada kaitan juga dengan penjajahan pemikiran. Orang yang masih hidup terbelenggu dalam wilayah penjajahan pemikiran selalunya masih ada masalah terjajah bahasa pertuturannya sendiri.

Hal ini boleh dikesan dengan cara percakapan harian. Namun demikian, untunglah kalau orang yang masih terjajah pemikiran itu buruh kasar. Bagaimana kalau yang terjajah pemikiran dan bahasanya itu orang yang berjawatan tinggi dalam kerajaan?

Kesan buruknya akan menjalar kepada orang di bawah pengurusannya. Namun begitu, kita tidak boleh lekas berputus asa. Masih ada peluang untuk kita merawat gejala penjajahan bahasa dan pemikiran ini dari semasa ke semasa.

Kesedaran awal mengenai gerakan kemerdekaan bahasa ini haruslah dipupuk dan disemai melalui orang awam yang punya kesedaran yang tinggi dan pengetahuan yang mendalam tentang gerakan kemerdekaan bahasa ini. Kesedaran dan pengetahuan boleh ditajamkan dan ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Acara untuk membahaskan perkara memerdekakan bahasa dan pemikiran ini mestilah bersifat berkala (mingguan, bulanan), disokong oleh penjawat awam yang terlibat dalam lembaga, persatuan, dan badan berkanun yang memperjuangkan kemurnian bahasa kita.

Ketika sudah wujudnya perkumpulan kecil seperti ini (gabungan orang awam dan penjawat awam yang ada kesedaran mengenai bahasa dan perjuangannya), maka makin mudah kita membahaskan hal besar (tentang penjajahan bahasa-pemikiran) untuk disesuaikan dengan tahap pemikiran ahli masyarakat yang belum punya kesedaran lagi.

RANCANGAN MASA DEPAN BERHUBUNG KEMAJUAN BAHASA 

Apakah sebenarnya yang perlu kita lakukan dengan bahasa kebangsaan ini? Pertama, bahasa yang baik itu penting bagi memajukan fikiran. Maka dialog tidak rasmi dan pertemuan santai di luar waktu pejabat amat perlu untuk mewujudkan sikap saling memahami antara orang awam dengan penjawat awam yang hidup bergelumang dengan gerakan memajukan bahasa ini.

Pegawai bahasa dalam kerajaan memerlukan sokongan dan dukungan orang awam yang ada kesedaran tentang kepentingan bahasa ini. Orang awam pula memerlukan imbuhan ilmu dan maklumat mengenai dasar bahasa di negara kita.

Agar perbahasan ini lebih tertumpu, apa kata kita mulakan tajuk merawat gejala penjajahan bahasa ini dengan membuat tinjauan terhadap kesilapan ejaan yang bertaburan di seluruh negara kita? Bagaimanakah kita mahu memadamkan kesalahan ini?

Jangan kita lupakan satu lagi usaha yang jauh lebih besar daripada itu, iaitu, usaha merenung dan memikirkan semula nama tempat, pekan, bandar, dan kota yang mempunyai unsur kebaratan dan penjajahan. Nama aslinya ada sebelum penjajah datang ke Malaya untuk mengaut hasil bumi kita ini.

Sehingga kini, kita ada senarai panjang mengenai nama tempat yang masih mengekalkan nama penjajah Inggeris seperti Port Dickson di Negeri Sembilan, Butterworth (Bagan) dan Georgetown (Tanjong, Tanjong Penaga atau Tanjong Penegeri).

Orang muda mungkin tidak mengetahui bahawa nama Bagan ditukar menjadi Butterworth apabila William John Butterworth menjadi Gabenor Negeri Selat (1843–1855). Jadi, kenangan bersejarah perlu dihidupkan semula.

Jika kita tidak menghidupkan kenangan sejarah untuk tatapan, iktibar dan pengajaran orang muda, maka sejarah bangsa tenggelam dalam arus zaman. Dengan menukarkan nama tempat dan mengembalikan semula nama tempat kepada namanya yang asal, maka bangsa akan bebas pemikiran dan jiwa merdeka akan menggantikan jiwa hamba yang asyik berkiblatkan Barat dalam segenap perkara.

Sebagai contoh, ahli masyarakat mungkin akan tertanya-tanya alasan nama Butterworth mahu ditukar semula kepada Bagan. Jadi, pada saat soalan ini ditanya, maka pada saat itulah gabungan masyarakat awam dan penjawat awam yang hidup bergelumang dengan perjuangan bahasa ini boleh mara dan tampil ke hadapan bagi menjawab persoalan ini.

Dengan menukar nama, kita meletakkan semula sejarah pada kedudukannya yang lebih tepat dan adil, dan orang pun akan memahami sejarah dengan sendiri nanti. Masyarakat akan tahu bahawa bukan tiada usaha sultan Kedah untuk mempertahankan dan mengambil semula Tanjong Penaga (Georgetown) itu.

Penulis Zakry Abadi lewat buku Pembangunan Pulau Pinang (1994) menulis catatan darihal jihad sultan Kedah sebagai yang berikut:-

“Kapten Andrew Glass pada 12 April 1791 kira-kira jam 4.00 pagi, empat kapal perang bernama Dolphin, Princess Augusta dan Valient bersama 3 kompeni askar sipahi / sepoi telah menyerang Kuala Prai. Satu pepeperangan yang hebat antara tentera Kedah dengan askar-asakar sipahi telah berlaku selama empat hari.

“Malangnya oleh kerana Syarikat Hindia Timur mempunyai kelengkapan senjata moden dan askar-askar yang terlatih telah menewaskan askar-askar Sultan Kedah. Kebanyakan kubu-kubu yang dibina di Kuala Prai telah musnah dibom oleh kapal perang British…”

Demikianlah cara kita boleh merawat semula gejala penjajahan fikiran rakyat dengan menukar nama tempat bersejarah. Secara tidak langsung, pengetahuan sejarah akan mengambil tempat dan peranannya dalam urusan menyucikan pemikiran rakyat yang terjajah sejak sekian lama itu.

Senarai panjang nama tempat berunsurkan penjajahan ini akan berterusan digunakan zaman-berzaman kalau tiada usaha hendak mengubahnya dari sekarang. Senarai ini akan kekal sebagai senarai jika tiada watak pejuang bahasa yang berani tampil hadir untuk menukar nama berunsurkan penjajahan ini kepada nama yang lebih bercirikan kemelayuan dan keislaman.

Nelson Mandela, pejuang bangsa kulit hitam yang melawan dasar Apartheid, telah berkata, “If you talk to a man in a language he understands, that goes to his head. If you talk to him in his own language, that goes to his heart.

Sebagai kesimpulannya, ketika kita mula membangkitkan kesedaran dengan menggunakan bahasa ibunda dan menggunakan bahasa yang difahami rakyat, maka kita akan berhasil melawan penjajah dan penjajahan dengan 100 peratus kejayaan sudah kemas dalam genggaman kita.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042854
    Visit Today : 718
    This Month : 25453
    Total Visit : 1042854
    Hits Today : 2021
    Total Hits : 4281616
    Who's Online : 10
  • Kategori