Oleh WAN NORASIKIN WAN ISMAIL

 

Menjejakkan kaki di bumi Mekah dan Madinah menjadi impian setiap umat Islam. Mekah bukan sahaja menjadi tumpuan umat Islam dari seluruh dunia ketika musim haji, malahan menjadi destinasi utama sepanjang tahun untuk mengerjakan umrah. Bagi seorang tetamu Allah yang hadir ke Tanah Suci biarpun untuk tujuan menunaikan umrah atau pun ibadah haji pasti tersemat harapan untuk datang lagi mengunjungi kedua-dua kota berkenaan. Kota ini terlalu istimewa bagi umat Islam kerana Mekah dan Madinah merupakan kota suci dan dikenali juga dengan panggilan Tanah Haram.

Orang Melayu dan bahasa Melayu bukan asing di kota Mekah dan Madinah. Orang Melayu telah bermastautin di Mekah, Jeddah dan Madinah sejak puluhan tahun yang lalu. Di pinggir kota Mekah, tidak berapa jauh daripada Masjidil haram terdapat perkampungan orang Melayu yang dikenali dengan nama kampung Kelantan. Kampung Kelantan ini terletak di atas bukit Ajyad dan menjadi kawasan penempatan orang Kelantan, Patani, Indonesia, Bangladesh dan Pakistan. Di sini juga terdapat sebuah masjid yang dikenali dengan nama masjid Kelantan. Hal ini menunjukkan orang Melayu telah lama bermastautin di Mekah dan Madinah sejak puluhan tahun yang lalu. Integrasi mereka dengan masyarakat Arab telah menyumbang kepada perkembangan bahasa Melayu. Apa yang membanggakan bukan sahaja Melayu wujud di bumi Arab, malah ia turut mengembangkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Arab dan seluruh penduduk Mekah dan Madinah. Integrasi orang Melayu dengan penduduk setempat menyebabkan bahasa Melayu berkembang menjadi bahasa perantaraan dalam dunia perniagaan.

IMG-20160629-WA0027

Gegantung dalam bahasa Melayu yang digantung di tiang-tiang sepanjang jalan ke masjid.

Jika ke Mekah dan Madinah, kita tidak perlu gusar tentang masalah berbahasa. Selain daripada berbahasa Inggeris kita boleh berbahasa Melayu. Rata-rata penduduk Mekah dan Madinah tahu berbahasa Melayu dan kita dilayan dengan mesra sekali malahan mereka begitu fasih berkomunikasi dalam bahasa Melayu seolah-olah berada di negara sendiri. Hampir ke semua peniaga yang menjual pelbagai perhiasan diri dan pakaian boleh berbahasa Melayu dengan baik. Perkataan yang selalu digunakan ialah bahasa yang mudah-mudah contohnya murah, tengok dulu, harga boleh kurang, cantik-cantik, tidak mahal dan lain-lain lagi yang berkaitan dengan istilah perniagaan. Peniaga Arab menggunakan perkataan halal merujuk kepada boleh dan haram pula merujuk kepada tidak boleh dalam proses tawar menawar harga barangan yang diperdagangkan. Urusan jual beli menjadi mudah dan senang kerana komunikasi dapat berjalan dengan lancar dan memuaskan hati kedua-dua pihak. Apa yang membanggakan, majoriti masyarakat Arab di Madinah dan Mekah menyanjung tinggi rakyat Malaysia kerana berperwatakan baik, lemah lembut dan bersopan santun. Malahan ungkapan ‘Malaysia boleh’ menjadi kata sapaan kepada rakyat Malaysia.

Bahasa Melayu bukan sahaja digunakan sebagai bahasa pengantar dalam urusan perniagaan, bahkan turut digunakan untuk maksud rasmi yang lain. Antaranya terdapat arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi dalam bahasa Melayu. Contohnya arahan yang dicetak pada gegantung untuk mengingatkan para jemaah umrah supaya tidak duduk di laluan orang ramai sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas jelas terpampang dalam bahasa Melayu yang digantung di tiang-tiang sepanjang jalan ke masjid. Begitu juga dengan tali pita yang digunakan untuk memastikan sempadan ruang solat tertentu bagi membendung kesesakan jemaah. Tindakan yang dilakukan oleh pihak pentadbiran Masjidil Haram mengingatkan jemaah supaya tidak berebut-rebut untuk mendapatkan ruang solat dan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Arahan ini dikeluarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Masjidil Haram Makkah dan Madinah dengan menggunakan bahasa Melayu Malaysia.

Perkuburan Syuhada Uhud di Madinah.

Papan tanda dalam bahasa Melayu yang terdapat di Perkuburan Syuhada Uhud, Madinah.

Pada hakikatnya, bahasa Melayu bukan sahaja digunakan dalam kalangan peniaga di Mekah, malahan turut digunakan di pelbagai tempat di Madinah. Hal ini termasuklah di tempat lain seperti perkuburan Baqi, yang terletak tidak jauh daripada masjid Nabawi (Jeniri Amir: 2012). Di perkuburan Baqi, terdapat papan kenyataan dalam bahasa Melayu yang memberitahu adab dan panduan serta bacaan salam kepada ahli kubur. Pada tahun 2014, khutbah sembahyang sunat hari Raya Aidilfitri di masjid Nabawi di Madinah diterjemahkan ke dalam empat bahasa termasuklah bahasa Melayu. Begitu juga khutbah Jumaat berbahasa Arab yang disampaikan oleh khatib Masjidil Haram turut diterjemahkan ke bahasa Melayu.

Terasa terlalu istimewa berada di bumi Mekah dan Madinah kerana rata-rata orang Arab menghormati kita sebagai rakyat Malaysia. Jika bersesak-sesak untuk mendapat tempat di dalam Masjid pengawal keselamatan Arab Saudi yang bertugas akan memberi keutamaan kepada jemaah Malaysia untuk masuk ke dalam masjid. Begitu juga dengan larangan membawa gajet seperti, telefon, tablet dan sebagainya. Apabila mengetahui jemaah dari Malaysia serta-merta dilepaskan daripada sekatan pengawal masjid.

Selain itu terdapat beberapa penerbitan buku dalam bahasa Melayu. Penghasilan buku-buku berkisarkan tentang rukun umrah, tafsir al-Quran, himpunan doa-doa dan buku-buku yang berkaitan haji sebagai panduan bagi mengerjakan ibadah haji dan umrah. Bahan terbitan ini diedarkan secara percuma kepada jemaah Malaysia. Perkembangan bahasa Melayu yang pesat ini telah mengangkat martabat bahasa Melayu ke tahap yang amat membanggakan. Keupayaan bahasa Melayu berperanan sebagai bahasa pentadbiran, bahasa perdagangan, bahasa perhubungan, bahasa persuratan, bahasa ilmu, bahasa agama dan seumpamanya telah menjadikan bahasa Melayu tersebar luas dan merentasi sempadan dunia. Tidak hairanlah bahasa Melayu kini diangkat sebagai bahasa kelima terbesar di dunia, dengan lebih 300 juta orang penutur.

Restoran makanan melayu yang terdapat di Mekah.

Restoran makanan melayu yang terdapat di Mekah.

Selain daripada bahasa Melayu, masakan Melayu juga boleh didapati dengan mudah di sini. Masakan Melayu mendapat sambutan yang menggalakkan dari seluruh dunia terutama ketika musim haji, umrah dan pada bulan Ramadan. Terdapat restoran yang menjual makanan Malaysia antaranya Felda D’Saji Mekah di tingkat dua, bangunan Al-Safwa Tower berhadapan dengan Masjidil haram dan restoran Cita rasa yang terletak di tingkat empat pusat membeli-belah Abraj Al Bait, Menara Zam Zam.

Antara menu Melayu yang terdapat di Mekah.

Antara menu masakan Melayu yang terdapat di Mekah.

Kedua-dua restoran ini menawarkan menu roti canai, nasi campur, nasi lemak, nasi ayam, mi, mihun sup dan pelbagai makanan dan minuman dari Malaysia. Sesungguhnya makanan dan bahasa Melayu telah menjadi pilihan utama di peringkat antarabangsa.

Sehingga kini bahasa Melayu digunakan secara meluas dalam kalangan orang Arab, masyarakat peribumi dan golongan peniaga. Malahan nama Melayu tercatat dalam sejarah apabila struktur menara jam yang tersergam indah di hadapan Masjidil Haram mendapat sentuhan anak Melayu. Sesungguhnya bahasa Melayu akan tetap bersemarak di mana sahaja selagi ada yang menuturkannya seperti kata-kata Laksamana Hang Tuah “takkan Melayu hilang di dunia” ternyata menjadi kenyataan.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013824
    Visit Today : 1087
    This Month : 33169
    Total Visit : 1013824
    Hits Today : 3886
    Total Hits : 4135991
    Who's Online : 8
  • Kategori