SEBELUM kemunculan radio swasta, pendengar mempunyai pilihan saluran radio yang terhad yang dikendalikan oleh badan penyiaran kerajaan. Ketika itu radio lebih merupakan saluran maklumat semasa yang diselangselikan dengan hiburan. Antara saluran yang popular ketika itu ialah Radio Malaysia Kuala Lumpur (RMKL) yang dikendalikan oleh penyiar terkenal, Zainal Din Zainal dan Noramin.

Warga kota, baik yang di dalam kenderaan, di rumah atau di pejabat memberikan tumpuan kepada celoteh mereka yang sarat dengan maklumat dan disulami senda gurau sederhana dan lagu popular semasa. Aksi mereka terkawal, nada suara sederhana dan bersopan-santun manakala bahasa yang digunakan baik. Tiada percampuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Masa berubah. Kemunculan banyak saluran radio swasta membawa budaya yang benar-benar berbeza. Radio bukan lagi saluran maklumat bermanfaat untuk pendengar sebaliknya saluran untuk menarik pendengar dan penaja sebanyak mungkin dengan cara menampilkan artis popular.

Konti radio hari ini umpama pasar malam dengan penyiar terjerit-jerit memanggil pelanggan. Mereka tertawa terbahak-bahak tidak tahu hujung pangkal. Mendengar radio hari ini umpama menonton program Raja Lawak di kaca televisyen!

Penyiar mempunyai pengaruh yang besar kepada pendengar.

Penyiar mempunyai pengaruh yang besar kepada pendengar.

Penyiar radio hari ini bukan setakat membawa budaya baharu malah turut merosakkan bahasa Melayu. Bahasa Melayu yang digunakan caca-marba dan tidak terkawal. Sesetengah penyiar radio menggunakan bahasa pasar dan kasar dalam percakapannya. Bahasa rojak sudah pasti, seolah-olah menjadi identiti penyiar kebanyakan radio swasta.

Antara bahasa pasar yang paling banyak digunakan oleh penyiar radio ialah kata “korang”, iaitu kependekan bahasa percakapan, “kau orang”.  Kata ini boleh sahaja digunakan dalam perbualan biasa tetapi kedengaran “buruk” apabila digunakan dalam media rasmi, seperti radio dan televisyen.

Penyiar radio mungkin beranggapan bahawa cara ini akan memesrakan mereka dengan pendengar. Anggapan itu mungkin benar tetapi sedarkah bahawa mereka menggalakkan penggunaan bahasa pasar dalam kalangan generasi muda yang tipis semangat mencintai bahasa Melayu. Mereka terikut-ikut dan natijahnya menggunakan kata “korang” dan “kau” dalam majlis rasmi di hadapan khalayak yang lebih tua atau berkedudukan.

Bahasa Melayu mempunyai banyak pilihan untuk menggantikan kata “korang” dan “kau”, iaitu seperti “anda”, “awak”, “saudara” dan “kamu”. Jika kata-kata ini dibiasakan, tidak mustahil generasi muda akan mengikut sama. Bak kata pepatah, alah bisa, tegal biasa.

Radio milik kerajaan masih menggunakan kata sopan sebagai kata ganti nama tetapi saluran-saluran ini tidak didengar oleh kebanyakan generasi muda. Jadi, mereka beranggapan, yang dituturkan oleh penyiar radio swasta itulah yang baku dan betul.

Hal tentang kerancuan penggunaan bahasa Melayu di radio bukan perkara baharu tetapi umpama mencurahkan air di daun keladi, nasihat, pandangan dan cadangan pihak yang tertentu tidak diendahkan. Pengendali radio swasta tidak sedar bahawa mereka berperanan untuk memartabatkan bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa yang baik dan sopan. Sepatutnya mereka menggunakan pengaruh yang besar itu untuk kebaikan bangsa dan negara.

Penyiar radio swasta tidak mungkin akan mengikut gaya penyiar dekad-dekad yang lalu, cuma diharapkan, bersama-samalah kita memelihara keindahan bahasa Melayu. Cintailah bahasa kebangsaan kita. Jika bukan kita, siapa lagi yang akan melakukannya?

-Hassan Alias

  1. Lukis Kalsium says:

    Saya bersetuju dengan pandangan yang diutarakan oleh penulis artikel ini. Sememangnya penggunaan bahasa pasar oleh penyiar dan juruhebah radio amat ketara sekali. Hal ini dikhuatiri boleh mempengaruhi penggunaan bahasa di kalangan pendengar, tanpa mengira latar belakang mahupun generasi.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014997
    Visit Today : 1026
    This Month : 34342
    Total Visit : 1014997
    Hits Today : 5533
    Total Hits : 4142335
    Who's Online : 8
  • Kategori