Oleh NUR ELIYANA MOHD REDHUAN

Tuan Hasanuddin Md Isa.

Tuan Hasanuddin Md Isa.

Mereka yang Tertewas merupakan novel yang tidak asing dalam kalangan pelajar sastera suatu ketika dahulu. Novel yang menjadi teks sastera SPM ini telah memberi impak dalam kehidupan ramai pembaca sehingga ada pembaca yang ternanti-nanti kemunculan novel seterusnya daripada penulis yang sama.

Tuan Hasanuddin Md Isa dilahirkan di kampung Kuala  Atok, Raub, Pahang Darul Makmur pada 1 Januari 1961. Dilahirkan dalam keluarga sederhana, ternyata ayahnya memberi pengaruh besar dalam kehidupan sehariannya. Penulisan beliau menzahirkan kekuatan jiwa yang tersemai hasil didikan ibu bapanya. Karya beliau disusun dengan penggunaan Bahasa Melayu yang elok dan tinggi. Maka tidak hairanlah hasil penulisan beliau mendapat tempat di hati pembaca serta terpilih untuk beberapa anugerah pencapaian.

Tuan Hasanuddin di hadapan rumah beliau.

Tuan Hasanuddin di hadapan rumah beliau.

Pengetua Sekolah Menengah Agama Batu Talam, Raub, Pahang ini mula mencebur diri dalam bidang penulisan dengan berjinak-jinak menghasilkan karya untuk tujuan penerbitan di majalah sekolah. Pada tahun 1984, beliau berjaya menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia dan kegiatan penulisan beliau mula rancak. Beliau menajamkan penanya dengan menulis rencana untuk penerbitan majalah dan akhbar. Dua tahun kemudian, beliau mula melebarkan sayap dalam penulisan novel.

Tuan Hasanuddin selain menjadi jurubicara ahli keluarga, turut aktif membentangkan perihal adat resam perkahwinan Melayu.

Tuan Hasanuddin selain menjadi jurubicara ahli keluarga, turut aktif membentangkan perihal adat resam perkahwinan Melayu.

Kerjayanya sebagai guru tidak menyempitkan masanya untuk menulis. Ada sahaja buah tangan darinya. Setelah lebih 36 tahun berkecimpung dalam bidang penulisan, beliau telah menghasilkan 41 buah karya penulisan yang terdiri daripada 25 buah novel, 6 buah novel sejarah Islam, 3 karya kritikan sastera, 3 buah buku motivasi, 2 antologi puisi dan 1 karya peribahasa. Beliau juga aktif membentangkan kertas kerja hasil karya kesusasteraan. Karya beliau turut menjadi rujukan ahli akademik.

 

 Bil. Kategori Karya Jumlah
1. Novel 25
2. Kritikan Sastera 3
3. Novel Sejarah Islam 6
4. Antologi Puisi 2
5. Buku Sejarah Islam 1
6. Buku Motivasi 3
7. Peribahasa 1
Jumlah 41
Pelancaran novel Cebisan Mantera Terakhir.

Pelancaran novel Cebisan Mantera Terakhir.

Usaha murni beliau dalam memartabatkan Bahasa Melayu membuka mata masyarakat. Walaupun beliau tidak mengharap sebarang anugerah, usaha beliau telah melayakkan beliau untuk mengungguli beberapa anugerah dan hadiah. Antara pencapaian beliau dalam bidang penulisan termasuklah penerima Anugerah Budaya negeri Pahang pada tahun1986, (Bahagian Penulisan Rencana), Anugerah Hadiah Sastera berunsur Islam pada tahun 1988 (novel Mereka Yang Tertewas) dan 1990 (novel Halangan dan Rintangan) dan Anugerah Pengkaryawan Sastera  oleh Dewan Persuratan Melayu Pahang pada tahun 2004.

Puisi syair beliau yang bertajuk Masyarakat Madani Mengharung Zaman telah memenangi hadiah utama dalam pertandingan penulisan puisi tradisional anjuran Permodalan Nasional Berhad pada tahun 1999. Beliau turut memenangi hadiah sagu hati pertandingan Penulisan Al-Manak anjuran Nett Space Sdn. Bhd. pada tahun 2001 melalui cerita rakyat yang bertajuk Puteri Indung Gunung Tahan. Terbaru, pada tahun 2015, novel beliau berjudul Sarjana Bangsa memenangi tempat kedua penulisan novel Sayembara Penulisan ITBM, PENA, BH.

Pada usia 55 tahun ini, beliau masih giat menyumbang dalam bidang penulisan. Malah, hasil penulisan yang dihasilkannya suatu ketika dahulu masih relevan. Karya beliau seperti Gelora Kehidupan, Pulangnya Camar, Al-Abrar, Mereka yang Tertewas masih tidak jemu dibaca berulang kali. Ada sahaja pengajaran yang dapat dikutip setiap kali membacanya.

Tuan Hasanuddin bersama penerima Hadiah Sastera Darul Makmur ketika menjadi penerima hadiah dalam kategori  Sastera Islam melalui novel ‘ Cebisan Mantera Terakhir.

Tuan Hasanuddin bersama penerima Hadiah Sastera Darul Makmur ketika menjadi penerima hadiah dalam kategori Sastera Islam melalui novel ‘ Cebisan Mantera Terakhir.

Sempena Majlis Penganugerahan Sastera Pahang, novel beliau berjudul Cebisan Mantera Terakhir telah diangkat sebagai karya yang diberi Anugerah Novel Berunsur Islam. Kupasan novel itu boleh dilayari di saluran blog beliau http://piathangtuah.blogspot.my/2015/08/novel-berjudul-cebisan-mantera-terakhir.html. Novel yang mengisahkan ilmu kebatinan khususnya dunia kepawangan ini disokong dengan kajian yang panjang. Karya ini berjaya menjawab persoalan besar yang dilontarkan pada permulaan cerita.

Pada tahun 2015, Tuan Hasanuddin menjadi penerima Anugerah Inovasi Kakitangan Kerajaan Swasta, NGO, Badan Berkanun, IPT bersempena dengan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang. Penanya masih belum diangkat malah terus ligat menari. Catatan peribadi beliau terpamer di laman sesawang http://piathangtuah.blogspot.my/. Karya beliau akan sentiasa dinanti oleh penggemar novel sastera di samping menjadi rujukan bagi generasi kini.

Menerima Anugerah Inovasi Kakitangan Kerajaan Swasta, NGO, Badan Berkanun, IPT bersempena dengan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang 2015.

Menerima Anugerah Inovasi Kakitangan Kerajaan Swasta, NGO, Badan Berkanun, IPT bersempena dengan Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang 2015.

Masa lapang 2016 dipenuhi dengan menulis kisah-kisah pembukaan kampung di Raub. Ini dapat dilihat dalam blog tulisan beliau. Antaranya ialah Riwayat Awal Kampung Kuala Atok seperti yang terkandung di http://piathangtuah.blogspot.my/2015/02/riwayat-awal-kampung-kuala-atok.html.

Selain itu, beliau juga seupayanya membuat penyelidikan sejarah lisan Warisan Laksamana Hang Tuah di Lembahan Lipis. Sesekali terus menulis novel berjudul Semangat Lembah Marhaen dengan harapan Jabatan Bahasa Tamil Universiti Malaya dengan kerjasama Universiti Chennai India dapat menerbitkan karya tersebut. Slogan beliau, ‘menulis itu ibadah’ ternyata menzahirkan tujuan utama beliau menulis apabila hasil karyanya mampu menyentuh hati dan menguatkan rohani pembaca.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013279
    Visit Today : 542
    This Month : 32624
    Total Visit : 1013279
    Hits Today : 1762
    Total Hits : 4133867
    Who's Online : 11
  • Kategori