Oleh ABDUL HAKAM JAMALUDDIN

 

Pada tanggal 31 Ogos setiap tahun, negara ini akan menyambut ulang tahun kemerdekaan dengan penuh gilang-gemilang. Tahun ini merupakan ulang tahun yang ke-59 sambutan kemerdekaan sejak tahun 1957 di mana seluruh rakyat telah membebaskan diri mereka dari cengkaman penjajah yang silih ganti menjajah negara sebelum ini. Kemerdekaan negara telah memberi ruang kepada anak tempatan satu bentuk hala tuju baru untuk menjalankan pemerintahan sendiri bagi negara tanpa dipengaruhi mana-mana kuasa asing. Bagi rakyat negara ini terutamanya orang Melayu, mereka menganggap bahawa negara ini adalah tanah air mereka sendiri dan ketaatan tanpa berbelah bagi akan diberikan kepada negara dan terus-menerus akan mempertahankan kedaulatannya.

JAL 31082015 (81) HARI KEBANGSAAN

Sambutan Hari Kemerdekaan yang diadakan setiap tahun dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa.

Mengimbau sejarah kemerdekaan negara selepas tamat Perang Dunia Kedua, perjuangan orang Melayu tidak terhenti apabila terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu 1948 yang menggantikan Malayan Union. Corak perjuangan orang Melayu telah berubah ke arah untuk membebaskan tanah air ini dari terus dijajah oleh kuasa asing. Kini orang Melayu mahu negara ini mampu berdiri dengan berkerajaan sendiri oleh anak-anak tempatan. Oleh itu, usaha dalam proses perjuangan untuk menuntut kemerdekaan telah diambil alih oleh Tunku Abdul Rahman daripada Dato’ Onn sebagai Yang Dipertua UMNO yang baru. Langkah seterusnya sebagai usaha awal untuk menuntut kemerdekaan, rakyat negara ini meminta agar kerajaan British mengadakan pilihan raya umum. Pada tahun 1955, kerajaan British bersetuju untuk mengadakan pilihan raya umum persekutuan dan parti Perikatan telah memenangi majoriti kerusi sebanyak 51 buah dari 52 buah kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya ini. Parti Perikatan adalah hasil gabungan daripada tiga buah parti kaum yang utama di Tanah Melayu yang terdiri dari UMNO (Melayu), MCA (Cina) dan MIC (India). Kejayaan kerjasama parti yang berasaskan kaum ini dapat disatukan di bawah kepimpinan Tunku Abdul Rahman sehingga membolehkan terbentuknya sebuah Kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh anak tempatan sendiri.

Pada akhir Ogos tahun 1955, Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan yang baru iaitu Alan Lennox Boyd telah melakukan lawatan ke Kuala Lumpur. Kesempatan ini telah digunakan oleh Tunku Abdul Rahman bagi memulakan perbincangan mengenai pemerintahan sendiri dan kemerdekaan Tanah Melayu. Peluang untuk mendapatkan kemerdekaan negara daripada kerajaan British telah membolehkan satu rombongan dihantar ke London dengan menaiki kapal laut M. V. Asia yang bertolak dari pelabuhan Singapura. Rombongan kemerdekaan ini telah bertolak pada 1 Januari 1956 yang diwakili oleh parti Perikatan dan empat wakil Raja-raja Melayu. Mereka yang mewakili parti Perikatan ialah Tunku Abdul Rahman, Dato’ Abdul Razak Hussein, Dr. Ismail, H. S. Lee dan T. H. Tan. Manakala Raja-raja Melayu diwakili oleh Datuk Panglima Bukit Gantang (Perak), Datuk Nik Ahmad Kamel (Kelantan), Encik Abdul Aziz (Selangor) dan Datuk Seth (Johor). Rundingan ini telah berlangsung selama tiga minggu iaitu bermula 18 Januari hingga 8 Februari 1956.

Akhirnya, kerajaan British bersetuju untuk memberi kemerdekaan kepada Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 dan ini merupakan satu kejayaan besar bagi kerajaan Perikatan kerana kemerdekaan yang bakal diperoleh ini awal dua tahun seperti mana yang dijanjikan dalam manifesto parti Perikatan pada pilihan raya 1955. Apabila persetujuan telah dicapai untuk mendapatkan kemerdekaan, langkah berikut yang perlu diambil ialah dengan menubuhkan Suruhanjaya Reid bagi menyediakan asas perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Isu-isu berkaitan seperti bahasa rasmi, agama, kerakyatan dan kedudukan istimewa orang Melayu mesti dibincangkan dan suatu keputusan harus dicapai dan mesti diselesaikan oleh suruhanjaya ini.

Antara isu yang menjadi perselisihan ialah mengenai hak kerakyatan dan keistimewaan orang Melayu. Hal ini kerana orang Melayu masih menganggap bahawa negara ini adalah untuk orang Melayu dan sukar menerima kaum lain menjadi warganegara persekutuan ini. Bagi kaum bukan Melayu yang lahir di Tanah Melayu pula mereka mahukan taraf dan layanan diberikan secara sama rata kepada mereka dalam semua bidang. Oleh itu, suatu kompromi telah cuba dicapai di mana UMNO yang mewakili orang Melayu bersetuju untuk memberi hak kerakyatan kepada kaum lain di negara ini asalkan mereka sedia berikrar untuk taat setia kepada persekutuan dan mengiktiraf dan tidak mempersoalkan hak-hak istimewa orang Melayu.

Maka tibalah saat-saat yang dinantikan bagi rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Pada malam 30 Ogos 1957 iaitu bertepatan jam 12.00 tengah malam, bendera Union Jack akhirnya telah diturunkan dari terus berkibar di negara ini dan kemudian digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baharu sambil disambut dengan teriakan laungan ‘Merdeka’. Keesokan harinya pula pada tanggal 31 Ogos 1957, berlangsunglah satu lagi peristiwa bersejarah negara ini apabila lahirnya sebuah negara baru di mana pengisytiharan kemerdekaan Tanah Melayu dilaksanakan dengan penuh gilang-gemilang di Stadium Merdeka. Upacara ini diraikan oleh seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan bangsa. Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Pertama telah membaca kandungan pengisytiharan kemerdekaan seperti berikut:

MAKA DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA MURAH LAGI MAHA MENGASIHANI, saya TUNKU ABDUL RAHMAN PUTRA IBNI AL-MARHUM SULTAN ABDUL HAMID HALIM SHAH, PERDANA MENTERI BAGI PERSEKUTUAN TANAH MELAYU, dengan persetujuan dan perkenan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Negeri-negeri Melayu dengan ini memasyhur dan mengisytiharkan bagi pihak umat Persekutuan Tanah Melayu bahawa mulai daripada tiga puluh satu hari bulan Ogos tahun satu ribu sembilan ratus lima puluh tujuh maka Persekutuan Tanah Melayu yang mengandungi di dalamnya negeri-negeri Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, Perak, Melaka dan Pulau Pinang dengan limpah rahmat Allah Subhanahuwataala akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan di antara segala bangsa.”

Manakala sebagai tanda memberi pengiktirafan kemerdekaan Tanah Melayu, Baginda Ratu Elizabeth II telah menghantar bapa saudaranya Duke of Gloucester untuk mewakili baginda ke hari Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu. Ratu Elizabeth II telah menyampaikan pesanan seperti berikut tentang kemerdekaan negara ini:

Beta mengamanahkan kepada ayahanda saudara beta kewajipan menjadi wakil beta di perayaan Kemerdekaan negara tuan. Ini adalah suatu hari yang agung bagi tuan, yang akan sentiasa dikenang; ingatan dan salam sejahtera ada bersama tuan ketika menerima tanggungjawab Kemerdekaan yang besar dan mencabar; dan dengan kegembiraan yang mendalam dan ikhlas beta mengalu-alukan tuan ke lingkungan persaudaraan keluarga negara-negara Komanwel. Beta yakin Malaya akan mengendalikan dengan baik tugas-tugas Kemerdekaan yang mencabar, dan akan terus menunjukkan kepada dunia contoh tauladan kerjasama dan muhibah antara semua kaum yang telah menjadi sifat yang amat jelas dalam sejarahnya. Mudah-mudahan Tuhan memberkati tuan dan memberi panduan kepada negara tuan pada masa hadapan. – 31 Ogos 1957.”

Sambutan Hari Kemerdekaan yang diadakan setiap tahun dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa.

Bendera Malaysia gah dikibarkan tanda kebanggaan rakyat Malaysia.

Kesimpulannya, usaha untuk memperjuangkan kemerdekaan negara ini bukanlah satu proses yang mudah. Orang Melayu sentiasa memastikan kelangsungan politik mereka di negara ini akan terjamin dalam apa jua jenis keadaan dan tidak sanggup mana-mana pihak merampas hak ketuanan Melayu dalam tanah air mereka sendiri. Tidak dengan itu sahaja, matlamat untuk mencapai kemerdekaan juga turut menyemarakkan lagi perjuangan politik orang Melayu. Tuntutan ke arah kemerdekaan negara menyebabkan orang Melayu mengorbankan dasar perjuangan mereka yang bersifat kebangsaan untuk berkompromi dengan kaum bukan Melayu. Pengorbanan ini seharusnya dilihat penting apabila mereka sanggup berkongsi kuasa politik, tanah air dan peluang ekonomi kepada orang bukan Melayu sebagai syarat untuk memenuhi tuntutan kemerdekaan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042055
    Visit Today : 1370
    This Month : 24654
    Total Visit : 1042055
    Hits Today : 8655
    Total Hits : 4279199
    Who's Online : 14
  • Kategori