Oleh NOOR HAFEDAH JAMIYIL

SENI persembahan bererti pertunjukan yang dipertontonkan kepada orang ramai. Ia bertujuan sebagai pengisian untuk keperluan agama dan kepercayaan, 1upacara dan perasmian, hiburan dan permainan, ritual, pengubatan atau kesukanan, bahkan juga untuk tujuan pengiklanan dan penjualan. Perlakuan mempersembahkan sesuatu merupakan daya usaha untuk berkomunikasi sesama kelompok mereka atau dengan kelompok yang lain. Ia akan menghasilkan kefahaman kepada para penonton. Selain itu, ia bertujuan untuk memperluaskan perasaan, pemikiran dan harapan iaitu daya untuk berkomunikasi dengan penonton. Seni persembahan sering dikaitkan dengan pengerjaan bersama-sama serta sambutannya. Sambutan yang diterima akan menitik tolak kejayaan sesuatu persembahan. Sesebuah hasil seni persembahan hanya dapat dinikmati semasa ia dipersembahkan sahaja. Walaupun terdapat sesetengah persembahan dipersembahkan berkali-kali boleh berubah atau bertukar oleh faktor yang menguasai pemain. Seni persembahan merupakan pengalaman yang dapat menguji pencapaian intelek, emosi dan nilai hidup para pemain mahupun penonton.

2Teater tradisional merupakan salah satu seni persembahan. Terdapat beberapa bentuk seni teater Melayu yang dianggap menjadi teras tradisi Melayu kerana selain ia dihasilkan oleh orang dahulu, ia juga mempunyai khazanah yang mempunyai daya tarikan semasa. Antaranya ialah Wayang Kulit, Mak Yong, Randai dan Bangsawan. Keempat-empat seni teater ini boleh dikategorikan sebagai seni teater yang menggabungkan pelbagai seni lain sehingga ia diletakkan sebagai seni persembahan yang bersifat teater total.

Berpegang pada falsafah seni iaitu mahu bertolak daripada tradisi dengan mengambil kira tuntutan semasa, maka kali ini kita akan melihat dengan lebih dekat lagi apa itu teater bangsawan.

Bangsawan merupakan salah satu seni persembahan atau juga dikenali sebagai seni pementasan. Bangsawan juga merupakan teater Melayu yang menggabungkan kedua-dua unsur teater tradisional dan moden. Selain itu, bangsawan dipanggil sebagai satu seni teater yang bercorak teater total. Hal ini disebabkan ia pernah diberi gelaran ‘Opera’ kerana pembawaan gaya lakonannya yang bernilai ‘operatik’.

Bangsawan mengutamakan sebuah cerita yang lengkap dengan adunan tarian, muzik, nyanyian, lakonan dan sokongan latar hias dalam bentuk tirai, set, prop dan3 seumpamanya. Persembahan bangsawan juga melibatkan konsep dramatik yang membangunkan cerita, mengembangkan watak dan perwatakan, mempunyai olahan plot, struktur pentas, gaya bahasa dan seumpamanya. Ia dikatakan bersifat dramatik berdasarkan beberapa faktor. Faktor utamanya ialah faktor dalam persembahan, seperti pilihan cerita, lakonan pemain, olahan pentas dan iringan muzik orkestranya. Faktor kedua ialah faktor luaran seperti binaan interaksi (pelakon dan penonton). Selain itu, faktor dalaman dan faktor luaran juga harus diambil kira. Faktor dalaman dikaitkan dengan nilai keindahan yang membentuk estetika persembahan bangsawan, manakala faktor luaran pula melibatkan sambutan penonton dan menjadi kaedah untuk memanjang atau memendekkan persembahan demi mengaut keuntungan melalui jualan tiket.

Konsep dramatik bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditakrifkan. Dalam bangsawan, konsep dramatik boleh menjadi satu pengalaman hidup manusia yang terhasil daripada hubungan perasaan dan kejiwaan antara penonton dengan watak-watak yang dihidupkan di atas pentas. Ciri-ciri dramatik dalam bangsawan bukanlah sesuatu yang terpisah antara satu sama lain, tetapi saling berkaitan. Proses dramatik dilihat daripada seluruh proses persembahannya.

4Nilai dramatik dalam persembahan bangsawan wajar diberi objektif. Hal ini disebabkan oleh keinginan mewujudkan pelbagai perasaan dalam jiwa penonton yang terjadi secara realiti dan tahap penerimaannya bergantung terhadap pengalaman individu. Oleh yang demikian, persembahan bangsawan harus dilihat dari konteks yang menyeluruh, sama ada dari segi jalan cerita, pentas, lakonan dan sebagainya.

Teater bangsawan merupakan salah satu teater yang kaya dengan nilai estetik yang merangkumi pelbagai corak kesenian dan ciri-ciri kebudayaan. Hampir seluruh aspek kesenian akan menghidupkan suasana tertentu. Cahaya lampu, kesan bunyi, lawak jenaka, sehingga resam hidup masyarakat tertentu terdapat dalam bangsawan. Teater bangsawan merupakan teater pertama yang memperkenalkan pentas proscenium untuk persembahan. Di bahagian pentas ini akan ditulis atau pun dihiasi dengan nama kumpulan dan ukiran-ukiran motif alam semula jadi di bahagian kanan dan kiri pentas sebagai daya penarik.

Tirai bergambar akan digunakan untuk menimbulkan nilai-nilai keindahan atau mewujudkan suasana yang berbeza. Secara umumnya, dalam persembahan bangsawan, terdapat enam tirai asas atau dasar yang digunakan, iaitu:

                             i.            Tirai pemandangan dalam istana

                             ii.           Tirai pemandangan di jalan

                             iii.          Tirai pemandangan di hutan

                             iv.          Tirai pemandangan di sebuah taman

                             v.           Tirai pemandangan di dalam bilik orang miskin

                             vi.         Tirai pemandangan darat (biasanya sawah)

Menurut Mustapha Kamal Yassin, tirai-tirai akan dipisahkan oleh satu set prop yang dipanggil ‘sebeng’. Setiap ‘sebeng’ yang digunakan akan dilukis dengan gambar
pokok atau rumah yang sesuai dengan pemandangan yang terdapat pada enam tirai asas tersebut. Bagi kumpulan melebihi 100 orang ahli, penggunaan tirai boleh menjangkau sehingga 20 tirai. Kumpulan bangsawan yang besar biasanya menyediakan beberapa tirai serba guna. Tirai-tirai serba guna ini diperbuat daripada kain sutera atau baldu pelbagai warna, serta ia berfungsi sebagai pembahagian cerita kepada sesuatu babak.

Setiap pertukaran babak, terdapat satu persembahan yang dipanggil extraturn yang diadakan secara selingan. Tirai penghabisan biasanya diperbuat daripada kain baldu hitam.

Di samping tirai, pencahayaan lampu yang pelbagai warna juga amat diperlukan untuk menimbulkan suasana yang lebih menarik kepada khalayak. Pada zaman5 dahulu, penggunaan lampu amat penting dalam setiap persembahan bangsawan. Hal ini adalah kerana persembahan bangsawan pada ketika itu dilakukan pada waktu malam. Penggunaan lampu juga penting bagi menimbulkan kesan siang dan malam di atas pentas. Selain itu, lampu juga amat penting dalam menimbulkan unsur dalam persembahan iaitu ‘tasmat’ atau ‘kasmat’. ‘Tasmat’ ialah satu keajaiban yang diperlihatkan melalui kemahiran teknikal secara ‘sebur’ di atas pentas. Dalam bangsawan, ‘tasmat’ diwujudkan adalah untuk membuatkan penonton dapat melihat seolah-olah perkara itu benar-benar wujud.

Bahasa yang digunakan dalam persembahan bangsawan ialah stail romantisme formal iaitu bahasa yang mengandungi idiom-idiom yang mempunyai kandungan melankolik dan melodramatik serta menguatkan laras bahasa. Oleh itu, dialog yang diucapkan haruslah mempunyai bunga-bunga bahasa dan berkias. Namun begitu, bagi watak pelawak, bahasa yang digunakan tidaklah terlalu ketat. Pelawak dibenarkan melanggar etika sosial feudalisme.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043373
    Visit Today : 1237
    This Month : 25972
    Total Visit : 1043373
    Hits Today : 4342
    Total Hits : 4283937
    Who's Online : 3
  • Kategori