Oleh HASSAN ALIAS

MALAYSIA mungkin satu-satunya negara di dunia yang menyediakan banyak gelar kurniaan istana. Antara gelar tersebut ialah datuk, datuk seri, tan sri dan tun. Gelar ini biasanya dikurniakan kepada individu yang banyak menaburkan jasa kepada negara, orang kenamaan dan golongan atasan.

Pemilik gelar dipandang tinggi oleh masyarakat. Mereka meletakkan gelar sebelum nama ditulis. Ada sesetengahnya menyebut sendiri gelar tersebut walaupun tampaknya tidak berapa kena. Ada yang marah-marah jika orang lain tidak menyebut gelar yang dimilikinya walaupun ketika berbual-bual di warung.

Begitu tingginya status gelar tersebut menyebabkan sesetengah orang ‘memburu’nya. Biasa terdengar berita orang tertipu kerana mengeluarkan wang yang banyak untuk ‘membeli’ gelar walhal pihak pemberi gelar tidak mengenakan sebarang bayaran. Ada juga yang menerima gelar daripada pihak-pihak yang tidak diiktiraf oleh kerajaan dan tidak malu menggunakannya.

Encik Khairy Jamaluddin

Encik Khairy Jamaluddin

Adakah gelar-gelar tersebut simbol penghormatan tunggal hingga menafikan penghormatan kepada insan yang layak tetapi tidak memilikinya? Hal ini demikian kerana wujud kecenderungan media massa hari ini untuk tidak menghormati golongan kenamaan seperti menteri yang tidak memiliki gelar daripada istana.

Dalam bahasa Melayu terdapat deretan senarai gelar bukan kurniaan yang telah lama digunakan. Antaranya encik, puan, tuan, saudara dan saudari. Walaupun begitu, media massa tidak mahu menggunakannya seolah-olah gelar tersebut tidak bermakna.

Akibatnya ada sesetengah orang kenamaan tidak mendapat penghormatan yang sewajarnya. Antara yang paling kerap menjadi ‘mangsa’ ialah Menteri Belia dan Sukan yang ditulis atau disebut Khairy Jamaluddin Abu Bakar sahaja. Beliau antara segelintir menteri kabinet yang belum mendapat gelar daripada pihak istana. Tetapi itu bukan alasan beliau tidak perlu dihormati.

Suatu ketika dahulu semasa menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abd. Ghafar Baba tidak memiliki gelar daripada istana lalu dipanggil Encik Abd. Ghafar Baba sahaja. Media massa pun meletakkan gelar ‘encik’ di depan nama Abd. Ghafar Baba. Hanya akhir-akhir ini trend menggunakan perkataan ‘encik’ untuk kenamaan seolah-olah terhenti. Mungkin orang media terikut-ikut gaya penulisan media Barat yang tidak meletakkan gelar mister untuk orang kenamaan.

Gelar yang paling sesuai untuk Khairy Jamaluddin ialah ‘encik’ juga. Menurut Kamus Pelajar, ‘encik’ bermaksud panggilan atau gelar kepada seseorang yg dihormati. Menurut Kamus Dewan pula, ‘encik’ bermaksud gelaran yang digunakan sebelum nama orang lelaki (yang tidak mempunyai sebarang gelaran seperti Datuk, Tengku, dan sebagainya).

Encik Khairy Jamaluddin merupakan seorang yang terhormat dan beliau wajar dihormati. Mana mungkin beliau sama taraf dengan Kassim bin Selamat yang dijatuhi hukuman penjara kerana merompak!

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1041961
    Visit Today : 1276
    This Month : 24560
    Total Visit : 1041961
    Hits Today : 5651
    Total Hits : 4276194
    Who's Online : 9
  • Kategori