Oleh AZAH NAHFUZAH MOHD SHUKOR

Bahasa Melayu merupakan bahasa yang indah dan sinonim dengan masyarakat Timur yang cukup dikenali dengan sopan santun dan tatatertib. Keindahan tutur katanya membuatkan Bahasa Melayu begitu dikagumi dan turut dipelajari oleh sebilangan penduduk yang tinggal di luar negara. Dalam kelembutannya, apa-apa yang salah masih ditegur. Maka tidak hairanlah jika ada begitu banyak peribahasa, bidalan, dan pepatah untuk menegur sikap manusia itu sendiri. Tidak cukup dengan itu, bahasa Melayu turut kaya dengan cerita rakyat sebagai pengajaran dan teladan dalam kehidupan.

10-media-sosial-paling-popular-2013

Adapun begitu, belakangan ini dapat dilihat keindahan bahasa Melayu semakin terhakis dicemari kata-kata carutan, kejian, dan pelbagai lagi yang semakin menghakis nilai keindahan bahasa Melayu. Tambahan lagi, penggunaan media sosial masa ini yang memudahkan capaian sesuatu maklumat merancakkan lagi penggunaan bahasa yang kurang sopan  untuk didengar dan digunakan secara meluas.

Terdapat pelbagai kesan buruk sekiranya bahasa yang tidak sopan ini terus digunakan secara meluas dan tanpa kawalan, terutama dalam kalangan kanak-kanak dan remaja. Antaranya termasuklah menampakkan sikap dan peribadi yang tidak elok bagi penutur yang menggunakan bahasa yang tidak sopan semasa berkata-kata. Bagi orang yang mendengar, akan terdapat perasaan sakit hati dan tersinggung yang akhirnya akan menjejaskan hubungan antara dua pihak.

Salah siapa? Dalam hal ini, tiada pihak yang patut dipersalahkan, malahan semua orang harus bersatu padu mengembalikan semula keindahan bahasa Melayu dan terus mengikis penggunaan bahasa yang tidak elok dan tidak sopan. Semua pihak, seperti ibu bapa terutamanya, guru, masyarakat, dan media, harus bekerjasama untuk mengatasi hal ini jika kita benar-benar mahu anak menggunakan bahasa dengan sebaik-baiknya.

download (2)

Peranan ibu bapa sangat penting, terutama dalam mendidik anak untuk menggunakan bahasa yang sopan sewaktu berkomunikasi. Teguran dan disiplin yang tegas harus diberikan kerana sikap kanak-kanak yang semula jadi suka mencuba benda baharu tanpa mengetahui natijah buruknya. Yang dibimbangkan ialah sekiranya dibiarkan sejak kecil, sikap ini terbawa-bawa sehingga dewasa. Ibarat melentur buluh biarlah daripada rebungnya sepatutnya dipraktikkan oleh ibu bapa sedari awal lagi.

Seterusnya, sikap orang dewasa yang sering menggunakan bahasa yang tidak sopan ketika bercakap dan sewaktu menulis di laman sosial, terutamanya, turut memberikan kesan yang negatif kepada pendengar dan pembaca. Sebagai orang dewasa, bahasa yang tidak sopan haruslah dielakkan dan digantikan dengan yang lebih sesuai supaya mereka dapat menunjukkan tahap kematangan pemikiran yang padu. Kita juga harus terus melebarluaskan penggunaan bahasa Melayu yang indah dan penuh bertatasusila ini.

Sebagai penutup, jika bukan kita yang menggalakkan lagi penggunaan bahasa Melayu dengan betul, siapa lagi? Kata-kata carutan, kejian, dan makian harus dielakkan supaya suasana yang harmoni dapat dibina dalam komunikasi dan mewujudkan talian perhubungan antara manusia yang baik. Akhir kata, yang merah itu saga, yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036231
    Visit Today : 1009
    This Month : 18830
    Total Visit : 1036231
    Hits Today : 3837
    Total Hits : 4249927
    Who's Online : 7
  • Kategori