1

Tajuk Buku      :           Rujukan Pantas Asas Kejuruteraan Awam

Penulis            :             Mohd Effendi Bin Jamlos

Penerbit           :           Dewan Bahasa Dan Pustaka

Terbit                :           2016

PENGULAS  :          MOHD EFFENDI JAMLOS

 

Buku berjudul Rujukan Pantas Asas Kejuruteraan Awam ditulis oleh Mohd Effendi Jamlos, iaitu Guru Cemerlang Mata Pelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam, Sekolah Menengah Teknik Kuantan, Pahang Darul Makmur. Buku ini secara ringkasnya berkisar tentang konsep-konsep utama berkaitan projek kejuruteraan awam di tapak pembinaan.

Buku ini merupakan buku yang pertama seumpamanya yang boleh dijadikan bahan rujukan di pasaran bagi kegunaan guru dan pelajar peringkat sekolah menengah terutama bagi pelajar – pelajar yang mengambil mata pelajaran Pengajian Kejuruteraan Awam Di Sekolah Menengah Teknik (SMT) dan pelajar yang mengambil mata pelajaran Teknologi Kejuruteraan di Sekolah Menengah Harian (SMK) dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI). Buku ini memenuhi sukatan pelajaran terkini oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Selain itu, buku ini sesuai digunakan sebagai bahan bacaan tambahan bagi pelajar yang mengikuti jurusan Kejuruteraan Awam di Institut Pengajian Tinggi seperti Politeknik dan Matrikulasi Teknikal. Buku ini juga boleh dijadikan sebagai bahan bacaan umum yang dapat meningkatkan pengetahuan dan menyemai minat terhadap Kejuruteraan Awam terutamanya bagi pelajar-pelajar peringkat menengah rendah dan masyarakat umum.

Buku ini mengandungi tujuh (7) bab iaitu Pengenalan Kejuruteraan Awam, Keselamatan Di Tapak Pembinaan, Kejuruteraan Di Tapak Pembinaan, Bahan Binaan, Ukur Kejuruteraan, Geoteknik, dan Sistem Pengangkutan, Kejuruteraan Jalan dan Isyarat Lalu Lintas. Buku ini dipersembahkan dalam bentuk isi penting berserta dengan gambar dan grafik yang dapat membantu meningkatkan pemahaman pembaca. Selain itu, para pembaca akan merasa seolah-olah berada di tapak pembinaan yang sebenar semasa membaca buku ini.

Pengenalan Kejuruteraan Awam membincangkan berkenaan dengan bidang-bidang yang terdapat dalam Kejuruteraan Awam mencakupi aspek kejuruteraan, bahan binaan yang digunakan, aspek tanah, sistem perhubungan, bekalan air terawat dan rawatan kumbahan. Selain itu, kesan daripada pembangunan yang dijalankan ke atas alam sekitar dan sosioekonomi masyarakat juga dibincangkan.

Dalam bab kedua, keselamatan di tapak pembinaan menitikberatkan tentang risiko keselamatan yang dihadapi oleh pekerja-pekerja yang berada di tapak pembinaan terutamanya daripada aspek punca kemalangan dan akibat kemalangan. Selain itu, bab ini juga menekankan peranan yang perlu dimainkan oleh pekerja dan majikan dalam memastikan keselamatan semasa bekerja. Dalam erti kata lain, sasarannya ialah sifar kemalangan di tapak pembinaan.

Bab ketiga pula menjurus kepada aspek kejuruteraan di tapak pembinaan. Penerangan yang mendalam berkenaan aspek pembinaan bermula daripada peringkat perancangan sehingga pembinaan siap sepenuhnya seterusnya diserahkan kepada klien/pemilik. Dalam bab ini juga menerangkan peranan yang dimainkan oleh pihak berkuasa tempatan dan kakitangan teknikal dalam memastikan projek pembinaan mengikut spesifikasi dan dapat disiapkan dalam jangka masa ditetapkan.

Seterusnya, bab keempat menerangkan secara mendalam berkenaan bahan-bahan binaan yang digunakan dalam sesuatu projek pembinaan kejuruteraan awam. Ia juga menerangkan ujian-ujian yang perlu dijalankan berserta prosedur dalam memastikan bahan-bahan yang digunakan dalam pembinaan mengikut spesifikasi piawaian yang telah ditetapkan.

Bab kelima iaitu Ukur Kejuruteraan pula membincangkan berkenaan kaedah-kaedah kerja ukur yang digunakan di dalam sesebuah projek pembinaan. Selain itu, bab ini juga membincangkan berkenaan kepentingan kerja ukur yang perlu dijalankan. Prosedur menjalankan kerja ukur aras sebagaimana yang berlaku di tapak pembinaan yang sebenar juga diterangkan secara mendalam dengan bantuan gambar.

Bab yang seterusnya membincangkan tentang geoteknik. Geoteknik merupakan kajian terhadap sifat-sifat dan ciri-ciri tanah yang penting untuk diambil kira sebelum projek pembinaan dijalankan. Melalui kajian terhadap sifat-sifat dan ciri-ciri tanah inilah yang akan menentukan jenis asas yang akan digunakan bersesuaian dengan beban bangunan yang akan dibina. Dalam bab ini, terdapat ujian-ujian yang dijalankan di makmal dan di lapangan bagi mengetahui jenis tanah, kekuatan tanah dan kelembapan tanah. Selain itu, prosedur membaiki dan menstabilkan cerun turut dibincangkan dalam bab ini dengan bantuan gambar.

Bab yang terakhir iaitu bab ketujuh, membincangkan berkenaan dengan sistem pengangkutan, proses pembinaan jalan raya dan sistem isyarat lalu lintas. Penerangan berkenaan dengan pengelasan jalan, ciri-ciri lebuh raya dan jalan raya juga turut disentuh. Proses pembinaan jalan raya juga diterangkan secara mendalam dengan bantuan gambar. Selain itu, ia juga membincangkan tentang sistem saliran yang digunakan bagi menyalirkan air terutamanya semasa hujan dalam memastikan permukaan jalan raya sentiasa kering.

Buku ini juga dilengkapkan dengan latihan di akhir setiap bab bagi menguji kefahaman para pelajar dan pembaca. Setiap latihan yang disediakan dibekalkan dengan set jawapan yang boleh dirujuk.

Akhir sekali, buku yang berjudul Rujukan Pantas Asas Kejuruteraan Awam ini sememangnya dapat memberi pendedahan dan manfaat kepada pelajar-pelajar, guru-guru dan masyarakat dalam mengenali dan seterusnya memahami konsep-konsep yang ada dalam bidang kejuruteraan awam.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1034758
    Visit Today : 974
    This Month : 17357
    Total Visit : 1034758
    Hits Today : 4794
    Total Hits : 4243128
    Who's Online : 14
  • Kategori