helang terbang rendah

Tajuk Buku: Helang Terbang Rendah

Penulis: Masitah Mohammad Yusof dan Mohamed Khaidir Alias

Harga: RM16.00

Tahun Terbit: 2016

Pengulas: SITI NOORISA BINTI ABDUL KHLIL

Helang Terbang Rendah mengisahkan, pada suatu pagi ketika Helang bangun daripada tidur dan menjengah keluar sarang, dia mendapati pandangannya kabur. Helang terkejut dengan keadaan itu. Lalu, Helang memberitahu isterinya, Tutu dan anaknya, Kiki tentang kedua-dua matanya yang semakin kabur. Namun begitu, Tutu dan Kiki juga mengalami masalah yang sama dengan Helang. Kata Kiki, penglihatan kabur bukan disebabkan masalah mata, tetapi pandangan di luar yang sebelum ini cerah dan indah bertukar menjadi kelam. Selain itu juga, udara yang bersih dan nyaman sudah dipenuhi dengan habuk, debu dan asap.

Sehubungan dengan itu, untuk mencari punca kepada masalah ini Helang keluar mencari unggas yang tinggal di dalam hutan. Setelah jauh terbang, unggas belum diketemui. Helang berasa penat lalu dia singgah berehat di dahan pokok Tualang. Sambil berehat, Helang bertanya kepada Tualang sekiranya dia tahu apa yang terjadi dengan alam. Tapi jawab Tualang dia tidak nampak apa-apa. Tiba-tiba Lebah yang membuat sarang di dahan pokok Tualang muncul. Lebah memberitahu Helang dan Tualang, dia dan koloninya berasa terancam kerana tidak dapat mengangkut nektar daripada bunga. Hal ini dikatakan demikian kerana, keadaan persekitaran yang penuh dengan asap membuatkan dia sukar bernafas. Selain itu juga, Lebah memberitahu bahawa kebanyakan bunga sudah layu, kering dan mati.

Setelah mendengar luahan Lebah, Helang meneruskan misinya lagi walaupun dalam suasana alam yang kabur. Namun begitu, apabila memikirkan janjinya kepada Tutu, Kiki, Tualang dan Lebah, dia gagahkan juga. Ketika dia meluncur terbang ke arah permukaan bumi, dia berasa bahang. Lama-kelamaan badannya panas. Dia melihat banyak asap di kawasan itu. Apabila berjaya keluar dari kawasan itu, dia sedar bahawa dia telah melalui kawasan hutan yang sedang terbakar. Dia melihat banyak manusia yang berpakaian merah sedang memegang paip air untuk memadamkan api.

Kemudian dia terbang lebih tinggi daripada tadi. Tujuannya untuk mengelak daripada bahang kepanasan. Setelah agak lama terbang, dia melalui kawasan ladang kelapa sawit. Tiba-tiba, dia terhidu bau asap sekali lagi. Dia melihat asap tersebut keluar melalui corong bangunan yang ada di kawasan ladang tersebut. Kepulan asap yang berwarna kelabu kehitaman itu menyebabkan hidungnya tersumbat dan tekaknya berasa perit. Lalu dia berlalu dari kawasan itu tanpa mengetahui apakah bangunan itu.

Setelah itu, dia terbang melalui kawasan kampung. Dia melihat segelintir manusia sedang melakukan pembakaran secara terbuka. Kemudian dia melintasi kawasan sekolah pula, dilihatnya kebanyakan murid memakai penutup hidung dan mulut semasa berada di luar kawasan bilik darjah. Pelbagai persoalan bermain dalam fikiran Helang. Disebabkan hari makin senja, dia mengambil keputusan untuk pulang dan berjumpa dengan Tualang dan Lebah untuk menceritakan apa yang dilihatnya ini.

Buku cerita kanak-kanak, Helang Terbang Rendah ini jelas menceritakan tentang alam, manusia, dunia haiwan, pokok hutan, pemanasan global dan bencana alam. Alam adalah bahagian yang paling hampir dengan manusia. Maka itu, tidak dapat dinafikan bahawa pemilihan tema tentang alam semula jadi dan kehidupan rimba sering dimuatkan dalam karya penulis sebagai ingatan kepada pembaca dalam menjaga anugerah yang diberikan oleh Allah SWT kepada hambanya. Alam adalah sesuatu yang hidup. Alam merupakan kehidupan, dan kehidupan adalah alam. Maka itu, mesej yang cuba disampaikan oleh penulis dalam cerita ini dilihat sebagai “amanat” dan nasihat yang tegas dalam menimbulkan kesedaran tentang pemuliharaan alam dalam kalangan masyarakat.

Namun begitu, dari sisi lain, pengulas melihat pemilihan tema berkait dengan alam oleh penulis sebagai tanggungjawab penulis dalam mencetuskan semangat cinta akan alam sekitar dalam kalangan pembaca. Hal ini dikatakan demikian kerana, di dalam buku ini penulis turut memasukkan informasi tentang unsur pencemaran alam dan langkah mengatasi masalah pencemaran alam seperti jerebu. Hal ini jelas menunjukkan bahawa, penulis menyeru dan mengajak pembaca dari semua lapisan supaya menghargai dan menjaga alam sekitar supaya kekal indah untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035648
    Visit Today : 426
    This Month : 18247
    Total Visit : 1035648
    Hits Today : 2017
    Total Hits : 4248107
    Who's Online : 8
  • Kategori