USAHA keras Nur Fatiha Abu Bakar, pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara sekali gus memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM3,000, Piala Pusingan, sijil penghargaan dan buku terbitan DBP di pertandingan akhir Akademi Sastera 2009. Pertandingan yang berlangsung di Dewan Seminar, DBP turut menyaksikan Hasni Jamali dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Nur Hafizah Muhd. Rusli dari Universiti Malaya (UM) memenangi tempat kedua dan ketiga dengan masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,500 dan RM2,000, sijil penghargaan dan buku terbitan DBP. Kesemua pemenang menerima hadiah yang disampaikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Saifuddin Abdullah.

Akademi Sastera membuka lembaran baharu dunia sastera tanah air apabila pertandingan berkonsepkan seperti rancangan realiti televisyen, yang menampilkan mentor, anak didik (protege), pengkritik dan juri profesional. Dengan matlamat menanam semangat mencintai dan menghargai khazanah bangsa, khususnya sastera kebangsaan dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dan melahirkan golongan karyawan pelapis yang berwibawa dalam bidang sastera pada masa depan, Akademi Sastera pada kali ini  turut menyaksikan penyertaan daripada pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Program Akademi Sastera 2009 bermula dengan bengkel latihan dan penyediaan kertas kerja dengan bimbingan mentor yang terdiri daripada Dr. Naffi Mat (UPM), Dr. Tengku Intan Marlina (UM), Che Abdullah Che Ya (UKM), Abdul Halim Ali (UPSI), dan Azman Ismail (ASWARA). Prof. Madya Dr. Hashim Ismail (UM) turut diundang memberikan panduan dan bimbingan sewaktu bengkel latihan diadakan. Hanya enam peserta terbaik layak bertanding di peringkat akhir.

Semua  peserta pertandingan perlu membentangkan kertas kajian kerana cara penyampaian seperti kelancaran, pertuturan, ekspresi wajah, bahasa tubuh dan keupayaan berkomunikasi dengan penonton merupakan antara aspek utama yang diambil kira oleh pengkritik. Penilaian markah dibahagi kepada dua aspek, iaitu 40% untuk teks dan 60% untuk pembentangan. Pada pertandingan akhir Dr. Norhayati Abdul Rahman diberi kepercayaan untuk menyandang tugas pengkritik jemputan bersama-sama Encik Mohamad Shahidan (DBP), manakala amanah besar untuk menentukan juara terletak di tangan Prof. Dr. Mohamad Moktar Abu Hassan sebagai ketua juri dengan dibantu oleh Dr. Mawar Shafie (UKM) dan  Mohamad Hanafi Ibrahim  (DBP).

Para juri sedang menilai peserta (Gambar kiri). Salah seorang peserta sedang  membentangkan kajian (Gambar kanan).

Program yang julung kalinya diadakan pada tahun 2008 berjaya menarik penyertaan seramai 12 orang mahasiswa daripada UM, UKM, dan UPM. Pertandingan yang mengambil masa hampir dua bulan ini menyaksikan para peserta mengikuti bengkel latihan dan penyediaan kertas kajian di bawah bimbingan mentor yang berpengalaman luas, iaitu Mohamad Saleeh Rahamad (UM), Naffi Mat (UKM), dan Che Abdullah Che Ya (UPM). Wakil tunggal UPM, Muhammad Zarif Hassan bergelar juara pertama Akademi Sastera, manakala Mohd. Zamzuri Mustapha (UM) di tempat kedua dan Rosnani Ibrahim (UKM) di tempat ketiga.

Akademi Sastera yang bakal memasuki tahun ketiga penganjurannya pada kali ini dapat  memberi impak besar kepada penjanaan ilmu dan pembinaan modal insan  dalam kalangan pelajar IPT. Keterlibatan semua pihak juga mampu memupuk tanggungjawab sosial dalam memartabatkan bidang kesusasteraan Melayu di negara ini.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035933
    Visit Today : 711
    This Month : 18532
    Total Visit : 1035933
    Hits Today : 2768
    Total Hits : 4248858
    Who's Online : 9
  • Kategori