Oleh ALIAH ABDUL RAHIM


DALAM ucapan Amanat Tahun Baharu yang baru lalu, Ketua Pengarah menyarankan warga DBP agar berusaha meningkatkan ilmu, antaranya dengan rajin membaca.  Malahan untuk merealisasikan hasrat ini, Bahagian Sumber Manusia dikehendaki merangka latihan bagi  memastikan pegawai-pegawai DBP dilengkapi dengan kemahiran, pengetahuan dan penanaman nilai murni yang lain bagi meningkatkan kompetensi seseorang pegawai.

Peningkatan ilmu dan kemahiran dalam kalangan staf DBP memang wajar dan sepatutnya bermula dari dahulu lagi dan berterusan hinggalah pada masa akan datang. Warga DBP disaran memaksimumkan kekuatan diri dengan cara kerja yang lebih strategik dan proaktif. Perubahan dan pembaharuan yang lebih serius masih perlu dilakukan tanpa berlengah-lengah, dan pada masa yang sama perbelanjaan perlu berhemat dan harus memberikan pulangan yang maksimum.

Pernah suatu ketika, staf digalakkan menjadi pengurus, membina pakar di luar, mengurus dan mengendalikan mereka, sedangkan DBP  mempunyai pakar dan boleh membina pakar sendiri tanpa mengharapkan orang luar. Usaha sedemikian tidak akan sampai ke mana-mana pun. Sampai bilakah kita hendak mengharapkan pakar luar sedangkan kita boleh membina pakar dalam organisasi sendiri? Jika kita ingin membina pakar, kitalah yang perlu menjadi pakar terlebih dahulu. Kenyataan ini ternyata ada benarnya kini. Walaupun pembinaan pakar dalaman sepatutnya dibina dari dahulu lagi, hal ini belum terlambat untuk dimulakan atau digiatkan sekarang.

Mungkin juga disebabkan keadaan inilah maka timbulnya segelintir “orang lama” yang selalu membangkitkan nostalgia mereka, iaitu kerinduan mereka pada suatu keadaan masa dahulu yang pernah mereka alami, ketika ada dalam kalangan staf  yang pakar bahasa, pakar sastera, pakar penerbitan dan sebagainya. Sekadar menyebut beberapa nama seperti Sasterawan Negara (SN) Usman Awang, Datuk Kemala, Dr. Hassan Ahmad, Prof. Dr. Awang Sariyan dan beberapa nama lagi yang pada ketika itu bukan sahaja staf DBP malah tenaga pakar yang dapat dibanggakan dan dikenali umum. Mungkin sukar bagi mereka untuk menerima kenyataan yang golongan seperti itu tiada lagi, namun terdapat sebilangan staf yang boleh dibina kepakaran mereka dalam bidang bahasa, sastera dan penerbitan untuk era masa kini. Oleh itu, mereka disaran berubah.

Sikap mereka sedemikian mungkin kerana mereka tidak nampak sebarang situasi atau kejayaan yang dapat dibanggakan seperti pada zaman atau era mereka dahulu. Rasa kekecewaan dengan situasi perkembangan DBP masa kini  menyebabkan mereka sentiasa mengingati era kegemilangan masa lalu apa lagi membandingkannya dengan masa kini. Kekecewaan tersebut dilahirkan dengan sikap mereka yang masih membuat kerja mengikut cara lama, tidak mahu berubah, secara manual dan sebagainya walaupun dunia telah lama beralih kepada pelbagai aplikasi teknologi.

Pemikiran perlu diubah ke arah yang lebih positif. Kita perlu bersedia untuk berubah, berubah cara bekerja dan cara berfikir,  bermakna cara dan pendekatan bekerja perlu sentiasa berubah demi menghasilkan kerja yang terbaik.

Staf perlu peka dengan dunia internet dan dunia tanpa sempadan selain mengambil tahu sebarang perubahan serta cabaran baharu. Staf hendaklah bergaul sesama sendiri supaya tidak ada golongan yang terpinggir atau berasa disingkirkan disebabkan sikap dan pendirian mereka. Mereka perlu ditransformasikan seiring dengan program dan aktiviti  yang dijalankan demi hasil kerja berprestasi tinggi. Selamat berubah kepada yang lebih baik. aliah@dbp.gov.my

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014709
    Visit Today : 738
    This Month : 34054
    Total Visit : 1014709
    Hits Today : 2833
    Total Hits : 4139636
    Who's Online : 12
  • Kategori