Thanusya Shanmuganathan

Thanusya Shanmuganathan

ANAK jati Selangor dan anak bongsu daripada enam orang adik-beradik, Meera Natasya atau nama sebenarnya, Thanusya Shanmuganathan, merupakan graduan lepasan Sarjana Muda Sastera, Universiti Malaya. Bekas wartawan akhbar ekonomi The Malaysian Reserve ini mula bergiat secara aktif dalam bidang sastera sejak di bangku sekolah rendah lagi. Karya-karyanya ketika itu hanya dicoretkan untuk tatapan rakan-rakan sekelas.

Pertama kali dia membaca novel Melayu ketika menuntut di Sekolah Menengah (P) Sri Aman di Petaling Jaya. Novel pertama yang dibacanya ialah novel wajib Komponen Sastera (KOMSAS) Tingkatan Empat, Bukit Kepong, novel sejarah nukilan Ismail Johari. Kemudian dia diperkenalkan kepada novel bertemakan perjuangan hidup melalui novel KOMSAS Tingkatan Lima, Konserto Terakhir nukilan Abdullah Hussain.

Selepas itu, minatnya terhadap sastera mula berkembang dan dia giat menghasilkan novel berantai dan skrip untuk bacaan kawan-kawannya. Berkat sokongan kawan-kawan, dia serius menimba ilmu dalam bidang penulisan ketika menjadi pelajar di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. Dia mula mengumpul dan membaca novel Melayu dan kini sudah mempunyai lebih 200 buah novel dalam koleksinya.

Setelah tamat belajar di Universiti Malaya, dia mencuba pelbagai pekerjaan yang semuanya tergolong dalam bidang media dengan tujuan untuk mencari pengalaman. Namun, minatnya terhadap sastera Melayu semakin membara dalam hati. Dia mula menghadiri bengkel penulisan dan menjadi ahli aktif dalam Kumpulan Mari Menulis di laman sosial Facebook. Grup yang diasaskan oleh beberapa orang penulis senior dalam bidang penulisan tanah air itu menjadi sumber rujukan buat Thanusya kerana setiap hari dia didedahkan dengan ilmu baharu penulisan dan penghasilan karya yang bermutu.

Sedikit demi sedikit dia mula menulis dan karya-karyanya mula tersiar untuk tatapan kawan-kawan di laman Facebook dan laman Ilham Karangkraf. Pada awal penulisan, genre yang menjadi pilihannya adalah cinta. Namun, setelah banyak membaca dan menganalisis karya penulis lain, dia mula menghasilkan karya yang lain daripada yang lain.

Oleh itu, maka terhasillah karya sulungnya, Tak Sengaja Cinta, yang telah diterbitkan oleh Penerbitan Fajar Pakeer pada bulan Oktober 2014. Novel tersebut berkisar tentang Sanjana yang diburu oleh seorang lelaki yang meminati dirinya. Karya itu sudah dijual di semua kedai buku di seluruh negara.

Thanusya dan novel sulungnya.

Thanusya dan novel sulungnya.

Novel itu bukan sekadar cerita malah menyentuh adat dan budaya masyarakat Hindu di Malaysia. Ini salah satu matlamat dia menulis novel dalam bahasa Melayu, iaitu menggambarkan kepada mereka yang berlainan kaum daripadanya tentang adat dan budaya Hindu.

“Hal ini penting bagi masyarakat majmuk berlainan budaya dan kepercayaan agar saling faham-memahami dan hidup dalam suasana harmoni,” katanya yang berjanji untuk terus menghasilkan karya yang menitipkan mesej yang bermanfaat buat pembaca.

Dia juga merupakan salah seorang penulis yang terlibat dalam projek Kompilasi Cerpen Kumpulan Mari Menulis yang dinamakan Komplot Menulis. Kompilasi itu telah diterbitkan pada bulan Julai 2015.  Antologi itu memuatkan 51 karya yang ditulis oleh 49 orang penulis. Dia menulis menggunakan nama pena Thanusya PS Nathan. Karya-karyanya yang terpilih ialah “Hamba Dadah” dan “Hajat Tak Sampai”.

Antologi cerpen keduanya yang berjudul Sedegup Cinta pula terbit pada bulan Oktober 2015 dan boleh dipesan melalui penulisnya sendiri. Antologi itu memuatkan sebanyak 20 buah cerpen karya 20 orang penulis. Tajuk cerpennya ialah “Cinta Shakespeare”, iaitu cinta antara pasangan kekasih menerusi nukilan penulis terkenal, William Shakespeare.

Thanusya bukan sahaja menghasilkan karya dalam bahasa Melayu malah dalam bahasa Inggeris. Karya pertamanya, The Eagle’s First Flight akan menemui pembaca dalam bentuk e-buku melalui Amazon Kindle Publishing.

Thanusya bersama-sama teman penulis yang banyak memberikan dorongan kepadanya.

Thanusya bersama-sama teman penulis yang banyak memberikan dorongan kepadanya.

Pengarang idola Thanusya ialah Sharifah Abu Salem. Dia tergerak hati untuk menghasilkan karya sendiri setelah membaca novel pengarang terkenal itu, Gerimis di Hati.

Thanusya memilih untuk memasarkan sendiri karyanya selaras dengan perkembangan terkini teknologi maklumat, apabila banyak orang memasarkan produk sendiri secara dalam talian.

“Memasarkan karya sendiri penting kerana tanpa promosi, pembaca di luar sana takkan tahu akan kewujudan karya saya,” katanya bersemangat.

Kini Thanusya bertugas sebagai Pelatih Pengurusan di Kedai Buku MPH. Dia yang  tinggal bersama-sama keluarganya di Petaling Jaya berhasrat untuk menjadi seorang penulis yang menghasilkan karya yang bermutu tinggi dan diterima ramai suatu hari kelak.

Thanusya boleh dihubungi melalui:

1: MEERANATASYANOVELIST@gmail.com

2: https://www.facebook.com/thanusyashanmuganathan

3: https://www.facebook.com/meeranatasyanovelist

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1031715
    Visit Today : 674
    This Month : 14314
    Total Visit : 1031715
    Hits Today : 2056
    Total Hits : 4224328
    Who's Online : 12
  • Kategori