phang

Judul Buku: Glosari Dialek Pahang

Penyelidik: Tengku Fauziah Ku Mat, Mohaini Mohd. Saffar, Haji Mutalib, Abd. Ghani, Haji Zainul Abidin Daud, Ahmad Nazri bin Md.Sham, Fauziah binti Abdul Rashid

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tahun: 2015

Pengulas: JUNAWATI AB HAMID

Glosari Dialek Pahang ini merupakan salah satu daripada sembilan gloseri dialek yang telah berjaya dihasilkan dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Lapan lagi gloseri yang telah diterbitkan ialah Gloseri Terengganu Edisi Kedua, Gloseri Kedah Edisi Kedua, Gloseri Kelantan, Gloseri Perak, Gloseri Pulau Pinang, Gloseri Melaka, Gloseri Negeri Sembilan dan Gloseri Johor.

Dengan terbitnya buku glosari dialek ini, dapatlah digunakan oleh pengguna bahasa untuk melihat perbezaan penggunaan dialek yang digunakan di setiap negeri. Usaha-usaha pengumpulan dan pendokumentasian kata-kata dialek Melayu ini dilakukan dengan suatu tekad, iaitu untuk memelihara khazanah tersebut daripada lupus. Antara tanda pelupusan kata dialek ini dapat dilihat dengan berkurangnya penggunaan kata-kata dialek berkenaan dalam kalangan pengguna yang berbahasa Melayu.

Setiap negeri mempunyai dialek mereka tersendiri dan dengan wujudnya dialek ini, akan dapat memperkaya perbendaharaan kata bahasa Melayu dan khazanah persuratan Melayu. Glosari Dialek Pahang ini juga disusun dan diterbitkan untuk mendokumentasikan kosa kata dialek yang pernah dan masih digunakan oleh masyarakat penutur dialek ini supaya dapat dimanfaatkan oleh para penyelidik dialek, pelajar dan pendidik serta pengguna bahasa. Selain itu, glosari yang diterbitkan ini boleh digunakan juga untuk tujuan penyusunan kamus dialek dan kamus umum yang lain. Pada dasarnya, tujuan utama penyusunan glosari dialek ini adalah untuk memperkaya istilah bahasa Melayu dalam pelbagai bidang.

Secara keseluruhannya glosari ini mengandungi sebahagian besar kosa kata dialek Pahang. Sebanyak lebih kurang 800 entri telah dapat dikumpulkan daripada dua sumber utama, iaitu kajian kepustakaan dan kajian lapangan. Antara sumber datanya merupakan perbendaharaan kata dialek Pahang yang dituturkan oleh orang-orang Melayu setempat di Jerantut, Maran, Temerloh, Kuantan, Chenor dan Pulau Tioman serta daerah-daerah sekitarnya. Data kepustakaan pula terdiri daripada entri di dalam Kamus Dewan yang ditandai sebagai Glosari Pahang dan kata-kata daripada bahan terbitan negeri Pahang yang jarang digunakan di tempat lain atau dalam bahasa Melayu baku. Data lapangan pula terdiri daripada kata-kata yang dikesan oleh penyelidik berdasarkan hasil komunikasi mereka dengan masyarakat di kebanyakan daerah dalam negeri Pahang.

Sebagai bahan bacaan dan rujukan umum, glosari ini dilengkapkan dengan maklumat asas yang diperlukan oleh pembaca atau penyelidik. Maklumat yang dimasukkan ialah kata masukan (entri), transkripsi sebutannya berdasarkan sistem transkripsi fonetik antarabangsa, kelas kata, makna, contoh ayat mengikut bentuk dan sebutan dialek tersebut serta maksudnya dalam bahasa Melayu baku. Dalam dialek Pahang, contoh dialek dimasukkan untuk memberikan gambaran kasar tentang pola dan bentuk ayat dialek yang mengandungi kata dialek yang dibicarakan. Bagi flora dan fauna serta dan makanan, tidak disertakan dengan ayat dialek. Kelas kata yang ditandakan bagi sesuatu entri dialek adalah berdasarkan penggolongan kelas kata dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu (1993).

Entri yang dipilih untuk buku Glosari Dialek Pahang terbahagi kepada empat bentuk utama, iaitu kata dialek yang belum tercatat dalam mana-mana edisi Kamus Dewan, sudah ada dalam Kamus Dewan tetapi berlainan makna dalam dialek Pahang, entri dalam Kamus Dewan yang ditandakan dialek Pahang (Ph), dan entri yang bersangkutan dengan adat resam dan budaya, serta diambil daripada nama haiwan, hidupan laut dan nama tumbuhan. Kata-kata dialek yang belum tercatat dalam mana-mana edisi Kamus Dewan contohnya, entri bedarang yang diberikan makna “perihal sesuatu yang berlubang-lubang akibat sesuatu seperti ditembusi peluru, dimakan anai-anai dan lain-lain”. Entri ini masih belum tercatat dalam Kamus Dewan.

Entri yang sudah ada dalam Kamus Dewan tetapi berlainan makna dalam dialek Pahang pula contohnya, kanyo dalam Kamus Dewan bermakna “malu”, tetapi dalam dialek Pahang terbahagi kepada dua, iaitu “sikap seseorang yang kurang sopan” dan “malu”. Sementara entri dalam Kamus Dewan yang ditandakan dialek Pahang (Ph) yang diambil untuk gloseri ini contohnya linyau (Ph) yang bermakna “licin dan berkilat”; manakala entri yang bersangkutan dengan adat resam dan budaya, seperti nama kuih dan nama lauk hanya diberikan makna yang jelas tanpa diberi ayat contoh. Begitu juga entri yang diambil daripada nama haiwan, hidupan laut (ikan, karangan) dan nama tumbuhan (pokok, bunga, buah) tidak diberikan ayat contoh tetapi dinyatakan nama saintifiknya jika dapat dikenal pasti.

Sebutan dialek yang dirakam dalam glosari ini menggunakan transkripsi fonetik antarabangsa, iaitu lambang rasmi bagi fonem dan bunyi konsonan. Transkripsi yang dibuat untuk glosari ini juga adalah transkripsi kasar (broad transcription). Terdapat beberapa ciri sebutan dialek Pahang yang agak ketara, seperti penggunaan vokal depan dan belakang separuh luas dan vokal belakang. Contohnya menggunakan keselarasan bunyi [ɛ-ɛ] bagi bentuk keselarasan vokal [e-e] dalam sebutan baku bahasa Melayu, seperti jehek [dʒɛ.hɛɁ] dan getek [gɛ.tɛɁ]. Perubahan huruf vokal, iaitu sebutan bagi vokal terbuka [a] dalam bahasa Melayu baku akan menjadi vokal separuh terbuka [ɔ] di akhir kata, seperti kata akan berubah menjadi [kɑ.tə] dan sama menjadi [sɑ.mə]. Bunyi-bunyi dalam dialek Pahang sama dengan bunyi-bunyi konsonan dalam bahasa Melayu baku. Dalam dialek Pahang juga, terdapat bentuk kata yang mempunyai satu suku kata sahaja berbanding dengan dua suku kata dalam bahasa Melayu baku, seperti pergi dilafazkan [gi] dan duduk dilafazkan [doɁ].

Glosari Dialek Pahang yang setebal 267 halaman ini amat sesuai dijadikan rujukan oleh pengguna bahasa Melayu, khususnya pengkaji bahasa dan budaya Melayu, pelajar dan pendidik. Usaha penerbitan ini perlulah diteruskan demi kelangsungan dialek Melayu agar tidak lupus ditelan zaman.

Ruangan Maklum Balas ditutup.

  • Arkib

  • Statistik

    1013318
    Visit Today : 581
    This Month : 32663
    Total Visit : 1013318
    Hits Today : 1872
    Total Hits : 4133977
    Who's Online : 14
  • Kategori