Oleh ZAIDI ISMAIL  

Siapakah penender? Pihak yang mengeluarkan tender atau pihak yang mengambil tender? Siapakah pula petender?

Dari segi penggunaannya, kedua-dua istilah tersebut sememangnya sering digunakan. Walau bagaimanapun, yang menjadi persoalannya adakah istilah tersebut telah digunakan dengan tepat. Cuba perhatikan ayat yang mengandungi penggunaan kata tersebut yang diambil dalam ruangan iklan (khususnya iklan tender) dalam akhbar. Contohnya:

1. Penender yang berminat adalah diwajibkan menyertai lawatan tapak bina pada hari Isnin, pukul 9.30 pagi.

2. Penender dari Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) yang berdaftar di bawah Kontraktor Bumiputera Kelas D, Head 1, Subhead 1 dan juga berdaftar di ….

3. Para penender yang menarik balik permohonan sebelum tender ini dipertimbangkan atau sesiapa yang enggan menerima tawaran akan digantung dari ….

4. Penender hendaklah mempunyai pengalaman sebagaimana berikut: ….

5. Penender hendaklah mengemukakan tender mereka berserta ‘earnest money’ berjumlah sebagaimana yang dinyatakan di atas.

6. Penender yang berminat memasuki tawaran bolehlah membuat bayaran dengan Wang Pos/Kiriman Wang/Bank Draf sebagaimana yang dinyatakan di para 1 sebagai bayaran dokumen tender ….

7. Penender hendaklah memastikan Dokumen Tender diisi dengan lengkap dan sempurna.

8. Penender yang ingin memasuki tawaran di atas dikehendaki membayar harga dokumen (tidak dikembalikan) seperti yang tercatat di atas di Kaunter Bayaran, Jabatan Bendahari ….

9. Dokumen tender akan hanya dikeluarkan kepada wakil penender yang sah sahaja dan setelah sijil ASAL pendaftaran dengan Pusat Khidmat Kontraktor dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) ….

10. Dokumen tender akan dikeluarkan kepada wakil-wakil penender yang sah sahaja. Berdasarkan ayat (1) hingga (10), penulis mendapati makna kata penender yang digunakan dalam ayat-ayat tersebut ialah pihak (syarikat atau kontraktor) yang ingin mengambil atau mengemukakan tender.

Berdasarkan ayat (1) hingga (10), penulis mendapati makna kata penender yang digunakan dalam ayat-ayat tersebut ialah pihak (syarikat atau kontraktor) yang ingin mengambil atau mengemukakan tender.

Kata petender pula telah digunakan dalam ayat-ayat seperti yang berikut:

11. Petender dikehendaki menunjukkan sijil asal Akuan Pendaftaran dengan Kementerian Kewangan yang masih berkuat kuasa dan menyerahkan satu ….

12. Tender adalah juga terbuka kepada petender-petender yang berminat daripada negara-negara Bank Dunia.

13. Tender adalah terbuka kepada petender-petender yang berminat daripada negara-negara anggota Bank Pembangunan Asia.

14. Hanya petender yang mengemukakan sijil asal Kementerian Kewangan Asia dalam bidang berkenaan ….

15. Petender dikehendaki membawa bersama Sijil Pendaftaran Asal dan salinan dengan PKK, CIDB dan Kelas D JPP yang masih sah tempoh pendaftaran semasa membeli dokumen tender.

16. Petender hendaklah menunjukkan Sijil Pendaftaran Asal Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebelum dibenarkan membeli dokumen tawaran ….

17. … dimasukkan ke dalam PETI TENDER berserta Bon Tender sebanyak RM5,000.00 (akan dikembalikan kepada petender-petender yang tidak berjaya) tidak lewat dari pukul 12.00 tengah hari ….

18. … tidak akan bertanggungjawab ke atas segala kos perbelanjaan yang akan dikeluarkan oleh petender.

19. Yuran Dokumen Tender sejumlah RM250.00 (tidak dikembalikan) dan Yuran Dokumen Kontrak sejumlah RM2,500.00 (dikembalikan kepada petender-petender yang tidak berjaya) ….

Berdasarkan ayat (11) hingga (19), penulis juga mendapati makna kata petender yang digunakan dalam ayat-ayat tersebut ialah pihak (syarikat atau kontraktor) yang ingin mengambil atau mengemukakan tender. Hal ini bermakna kata penender telah disamakan maknanya dengan kata petender. Persoalannya, adakah kata tersebut benar-benar sama maknanya.

Untuk menjawab persoalan tersebut, pengguna bahasa perlulah merujuk kamus untuk mengetahui makna sebenar untuk kata tersebut. Dalam hal ini, kamus yang berwibawa dan boleh dijadikan rujukan untuk mengetahui makna kata tersebut (sebenar) ialah Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 1650), di bawah entri tender (I dan II), makna-makna kata tersebut adalah seperti yang berikut:

Kata Makna
tender (ténder) I IB gerabak kereta api (utk membawa minyak, air, arang, dll).
tender (ténder) II  tawaran untuk membuat sesuatu pekerjaan atau membekalkan barang dengan menyatakan sekali harga atau bayaran yang dikehendaki: syarikat kerjasama kilang kertas dan baja Malaya telah pun mengeluarkan ~ untuk membuat kilang itu;
penender orang (pihak dsb.) yang membuat atau memberi tender;
petender orang (syarikat dsb.) yang mendapat tender.

Jadual 1: Makna kata tender, penender dan petender.

Selain itu, pengguna bahasa juga dapat merujuk makna tersebut dalam Pusat Rujukan Persuratan Melayu atau PRPM, http://prpm.dbp.gov.my/. Maksud untuk kata tersebut adalah seperti yang berikut:

klik

Gambar 1: Makna kata tender, menender, petender dan penender dalam PRPM.

Berdasarkan makna tersebut, antara tender I dengan tender II, tender yang digunakan dalam bahasa Melayu, ialah tender II, manakalah tender I, adalah untuk maksud dalam bahasa Indonesia (ditandakan dengan tanda IB yang bermaksud Indonesia Belanda). Dengan demikian, berdasarkan makna-makna tersebut, dapatlah disimpulkan bahawa makna sebenar kata penender dan petender adalah tidak sama. Penender ialah orang atau pihak yang membuat atau memberi tender, manakala petender ialah orang atau syarikat yang mendapat tender. Kedua-dua kata tersebut merupakan kata terbitan yang diterbitkan daripada kata dasar tender.

Dengan demikian, kata penender yang digunakan dalam ayat (1) hingga (10) tidak tepat dan perlu digantikan dengan kata petender. Walau bagaimanapun, kata petender yang digunakan dalam ayat (11) hingga (19) adalah betul. Kata petender yang dirakamkan dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ini merupakan kata masukan baharu (subentri baharu). Kata ini juga sebenarnya mengambil alih makna yang terkandung dalam kata penender (makna lama kata penender yang terakam dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga).

klik1

Gambar 2: Makna penender dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga (1994)

Sebelum ini, dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga, terbitan tahun 1994, makna kata penender ialah orang (syarikat dsb.) yang mengemukakan tender, manakala dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, maknanya ialah orang (pihak dsb.) yang membuat atau memberi tender. Perubahan tersebut dapat dilihat dengan lebih jelas lagi dalam jadual 2 di bawah:

Kamus Dewan Edisi Ketiga Kamus Dewan Edisi Keempat
Kata Makna Kata Makna
penender(hlm. 1415) orang (syarikat dsb.) yang mengemukakan tender. penender (hlm. 1650) orang (pihak dsb.) yang membuat atau memberi tender.
  petender (hlm. 1650) orang (syarikat dsb.) yang mendapat tender.

Dengan demikian, dapatlah disimpulkan bahawa penender ialah pemberi tender, manakala petender ialah penerima tender atau orang yang mendapat tender. Kesilapan dalam penggunaan kata penender dan petender mungkin disebabkan oleh pengguna bahasa, terutamanya pembuat iklan tender tidak sedar tentang berlakunya perubahan makna dalam kata tersebut. Mereka masih lagi menggunakan kata penender yang membawa maksud seperti yang terakan dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga bukannya makna terkini atau makna baharu setelah terbitnya Kamus Dewan Edisi Keempat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1043374
    Visit Today : 1238
    This Month : 25973
    Total Visit : 1043374
    Hits Today : 4343
    Total Hits : 4283938
    Who's Online : 4
  • Kategori