Oleh ZAIDI ISMAIL

Yang mana satukah yang betul? Yang Dipertuan atau Yang di-Pertuan, dan Yang Dipertua atau Yang di-Pertua? Pengguna bahasa masih keliru dalam mengeja frasa tersebut, terutamanya dari segi penggunaan huruf besar dan penggunaan tanda sempang. Kekeliruan ini dapat dilihat secara tidak langsung, terutamanya dalam media cetak, seperti akhbar dan majalah.

Disebabkan oleh ketidakselarasan penggunaan frasa tersebut, pengguna bahasa, terutamanya dalam kalangan pelajar, menjadi semakin keliru. Untuk itu, mulai tahun 2000, Dewan Bahasa dan Pustaka telah memutuskan untuk menyelaraskan dan menetapkan ejaan bagi frasa tersebut.

Tiga bentuk penulisan yang betul telah diputuskan, iaitu: Yang Dipertua, Yang di-Pertua, dan Yang di-Pertuan. Penggunaan ketiga-tiga frasa tersebut adalah khusus untuk jawatan atau pangkat tertentu. Frasa Yang Dipertua digunakan khusus untuk ketua organisasi atau pertubuhan, seperti:

    • Yang Dipertua Majlis Ampang Jaya
    • Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia
    • Yang Dipertua Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia

Frasa Yang di-Pertua pula digunakan khusus untuk ketua negeri serta ketua dalam Dewan Negara, Dewan Rakyat, dan Dewan Negeri, contohnya:

    • Yang di-Pertua Negeri (Melaka, Pulau Pinang, Sabah, dan Sarawak)
    • Yang di-Pertua Dewan Negara
    • Yang di-Pertua Dewan Rakyat
    • Yang di-Pertua Dewan Negeri

Sementara itu, khusus untuk ketua negara dan ketua negeri pula, frasa yang digunakan ialah Yang di-Pertuan, contohnya:

    • Yang di-Pertuan Agong
    • Yang di-Pertuan Besar (Negeri Sembilan)
    • Yang di-Pertuan Negeri (Gelaran untuk raja yang memerintah)

Penggunaan bentuk ejaan Yang di-Pertua dan Yang di-Pertuan ini selaras dengan bentuk yang digunakan secara rasmi oleh Jabatan Perdana Menteri dan bentuk ini juga telah digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Kedua-dua bentuk ejaan ini digunakan khusus untuk ketua negara, ketua negeri, dan ketua dewan (Dewan Negara, Dewan Rakyat, dan Dewan Negeri). Selain itu, ejaan yang digunakan adalah ejaan yang biasa, iaitu Yang Dipertua.

Dengan hal yang demikian, berdasarkan ketetapan tersebut, pengguna bahasa, terutamanya penulis atau wartawan akhbar dan majalah, perlulah menggunakan ejaan yang sepatutnya supaya tidak mengelirukan pembaca. Penulis buku dan penyusun kamus juga perlulah menggunakan ejaan ini secara tepat. Sekiranya ejaan ini digunakan secara berulang-ulang dalam buku atau kamus, ejaannya juga perlulah tekal supaya pembaca buku atau pengguna kamus tidak terkeliru.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014386
    Visit Today : 415
    This Month : 33731
    Total Visit : 1014386
    Hits Today : 1212
    Total Hits : 4138014
    Who's Online : 13
  • Kategori