RAMLI DAUDOleh MARSLI N.O

 

PADA tahun 1983, ketika nama Ramli Daud dinobatkan sebagai salah seorang pemenang Hadiah Sastera Malaysia 1982-1983 melalui cerpennya yang berjudul “Tandan Tua” (Berita Minggu, 20 Februari 1982), banyak pihak, termasuk peminat sastera ternyata-tanya, siapa sebenarnya Ramli Daud ini?

Memang, sebelum pengumuman itu, nama Ramli Daud di persada sastera Malaysia seolah-olah tidak pernah wujud. Tetapi, hal ini bukanlah suatu yang hal yang mengejutkan. Sebagai peneroka di tanah FELDA, Ramli hanyalah seorang pengkarya yang menulis dan mengirimkan karyanya ke penerbitan secara senyap-senyap, tanpa sebarang sorotan dan gegar apa-apa publisiti. Namun hakikatnya, Ramli Daud merupakan seorang daripada beberapa nama sasterawan dari tanah rancangan FELDA, yang boleh dikatakan gigih dan mempunyai kekuatan dalam karyanya.

Ramli Daud dilahirkan pada tahun 1937 di Kampung Batu Hitam, Kampong Gajah, Perak. Beliau menerima pendidikan setakat darjah lima sekolah Melayu dan kemudian menyambung pelajaran di Sekolah Agama Rakyat di Kampong Gajah selama beberapa tahun. Namun begitu, bila menyedari bahawa dirinya memiliki minat dan bakat menulis, selepas tamat alam persekolahannya, Ramli terus menceburkan diri dalam dunia penulisan dan kewartawanan.

Ramli mula menarikan penanya di arena penulisan sekitar pertengahan tahun 1950-an di majalah Pedoman Kanak-kanak  dan akhbar Utusan Kanakkanak terbitan Utusan Melayu Singapura. Cerpen pertama Ramli berjudul “Mari Dengar Cerita” tersiar dalam Utusan Kanak-kanak. Sekitar tahun 1960, dengan nama pena Indera Sakti, cerpen dewasanya berjudul “Ke Bintang Mana” telah disiarkan di majalah Fesyen. Selepas itu, Ramli Daud tidak menoleh ke belakang lagi.

Selain nama pena Indera Sakti dalam penulisan cerpen, Ramli kadang-kala menggunakan juga nama pena yang lain iaitu R. Pahri untuk karya-karyanya yang dikirim ke penerbitan seperti Berita Minggu, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan Mingguan Perdana. Walau bagaimanapun, sepanjang tahun antara 1980-an hingga 1990-an Ramli agak perlahan menghasilkan  cerpen kerana sepanjang tahun tersebut, hanya 14 buah cerpen sahaja yang hasilkan dan disiarkan dalam pelbagai penerbitan.

Walaupun Ramli memulakan kerjayanya sebagai wartawan sambilan sebaik sahaja meninggalkan alam persekolahannya, hanya pada tahun 1967, Ramli diberikan peluang menimba ilmu kewartawanan di Pusat Akhbar Asia Tenggara di Kuala Lumpur. Hasil ilmu kewartawanan yang dimiliki, Ramli semakin mempunyai rasa yakin diri untuk menulis dan menghantar karyanya ke akhbar yang terkenal ketika itu, antaranya akhbar Warta Negara. Ketika bertugas sebagai pemberita sambilan Utusan Melayu pula, Ramli amat rajin mengirimkan berita dan rencana, khususnya berita dan kisah yang berlaku di sekitar kampungnya. Pada tahun 1968, beliau menyertai rancangan tanah FELDA Sg Klah, Perak.

Ramli juga pernah menulis beberapa sajak dan disiarkan di akhbar Berita Perak. Namun, menurut Zabidin Ismail dalam tulisannya berjudul “Ramli Daud: Sasterawan FELDA yang Saya Kenali” menyebut dan membandingkan: “… berbanding cerpen yang ada kekuatan, sebaliknya sajak-sajak yang dihasilkannya berbentuk prosaik yang kurang berkesan.”

Dalam tulisannya yang dibentangkan di dalam “Seminar Pemikiran Sasterawan Felda Ke-2: Fokus Ramli Daud”di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak pada 11 Oktober 2009 ini juga, Zabidin Ismail turut menyebutkan betapa: “Ramli Daud tidak menulis sepenuh masa. Semenjak meninggalkan kampung halaman dan berpindah ke FELDA Sg Klah, dia agak lama “berehat” daripada menulis dan memulakan semula menulis hanya pada tahun 1980-an.”

Walau tidak terlalu prolifik menghasilkan cerpen, namun di mata penilai dan pengamat, karya cerpen Ramli Daud dianggap memiliki kekuatannya yang tersendiri. Ini terbukti apabila cerpennya “Tandan Tua” yang disiarkan di akhbar Berita Minggu, 20 Februari 1982 antara yang memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1982-1983 dan cerpen ini dimuatkan dalam antologi Sahabat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1984.

Cerpen “Tandan Tua” ini juga merupakan karya pertama yang dihantarnya ke Berita Minggu setelah “berehat” selama kurang lebih sepuluh tahun. Di mata pengamat seperti Zabidin Ismail: “Kreativiti Ramli terserlah dalam kepandaiannya melukiskan pengalaman dan persekitaran secara “hidup” dan bersahaja sebagaimana yang diolahnya dalam “Tandan Tua”.”

Kekuatan di dalam karya-karyanya yang sedemikian inilah yang memungkinkan Ramli menggondol banyak hadiah cerpen, seperti Hadiah Sagu Hati Anugerah Sastera Perak Darul Ridzuan 1 (1985) dan Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank (1995). Profesor Madya Dr. Talib Samat pula, dalam penilaiannya terhadap antologi  Pelanggaran Mimpi (Karyawan Pk; 2008) antara lain menyebutkan: “Keistimewaan cerpen-cerpen Ramli Daud terletak pada latar masyarakat FELDA, gaya bahasa tersendiri yang menerapkan dialek Perak dan ketelusan watak-wataknya mengucapkan isu-isu seharian masyarakat Melayu dengan jujur, berterus-terang dan sinis tetapi berhemah.”

Sepanjang penglibatannya sebagai sasterawan, Ramli Daud telah menerbitkan dua buah antologi cerpen perseorangan iaitu Melarik Waktu (DBP; 2001) dan Pelanggaran Mimpi yang menghimpunkan 38 buah cerpen yang dihasilkan oleh Ramli Daud di sepanjang hayat kepengarangannya. Selain itu, Ramli Daud juga pernah menerbitkan dua buah novel. Novel-novel tersebut ialah Titis-titis Mutiara Kasih  dan Hujan Rindu yang diterbitkan oleh  Rhythm Publications, Pulau Pinang.

Ramli Daud juga rajin dan aktif berpersatuan. Beliau menganggotai Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) pada tahun 1996 dan pernah dilantik sebagai Ketua Sudut Karyawan Pk, Sungkai. Pada tahun 1996, Karyawan Pk mencalonkan beliau untuk penganugerahan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) daripada Sultan Perak bagi tahun 1996, sebagai menghargai sumbangan baktinya kepada kesusasteraan Melayu Moden tanah air.

Sebagai memperingati jasa dan sumbangannya dalam bidang kesusasteraan juga, satu seminar khusus mengenai dirinya berjudul “Seminar Pemikiran Sasterawan Felda Ke-2: Fokus Ramli Daud”telahdiadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak pada 11 Oktober 2009. Acara ini dianjurkan oleh Jabatan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa UPSI dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk) dan FELDA.

Pada Isnin, 5 Oktober 2015 yang lalu, ketika dalam perjalanannya ke masjid untuk menunaikan solat Subuh, Ramli Daud telah menyahut panggilan Ilahi dan meninggalkan sejumlah karyanya kepada kita. Al-Fatihah.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1037531
    Visit Today : 1013
    This Month : 20130
    Total Visit : 1037531
    Hits Today : 3128
    Total Hits : 4255483
    Who's Online : 9
  • Kategori