Oleh ZAIDI ISMAIL 

Akhbar merupakan antara media cetak yang paling popular di negara kita. Sebahagian besar akhbar di Malaysia hari ini, cenderung menggunakan gaya bahasa kewartawanan yang lebih popular dan ringkas, serta banyak perbezaannya dengan kaedah bahasa Melayu baku. Oleh itu, secara tidak langsung, masyarakat didedah dan dididik dengan bahasa kewartawanan.

Pembentukan dan penggunaan istilah baharu, serta penyebaran dan pemasyarakatannya sangat ditentukan oleh akhbar. Sekiranya berlaku kesalahan penggunaan bentuk kata dan kesalahan dalam penggunaan unsur serapan, secara tidak langsung hal tersebut akan mendidik masyarakat untuk “menggunakan” kesalahan itu.

Dalam hal ini, antara bentuk kesalahan bahasa yang dilakukan oleh penulis berita dalam akhbar termasuklah penggunaan kata serapan yang tidak tepat, iaitu kata final dan finalis. Contohnya:

1)Chong Wei perlu mengambil masa untuk kembali cergas sepenuhnya terutamanya selepas berdepan jaguh China dua hari berturut-turut (bertemu Lin Dan di separuh akhir dan Cheng Long final), katanya.

2)… jika menang diramal bertemu Lin Dan untuk perebutan slot ke pentas final.

3)Pada pentas final yang berlangsung di ….

4)Ia berjaya ke final ….

5)Di pentas final sekali gus ….

6)Final piala Menteri Pendidikan.

Penggunaan kata final.

Penggunaan kata final.

Kata tersebut sebenarnya sudah ada istilahnya dalam bahasa Melayu, iaitu akhir. Kata final yang digunakan dalam ayat tersebut sepatutnya digantikan dengan kata akhir dan ayat tersebut akan menjadi seperti yang berikut:

1a)Chong Wei perlu mengambil masa untuk kembali cergas sepenuhnya terutamanya selepas berdepan jaguh China dua hari berturut-turut (bertemu Lin Dan di separuh akhir dan Cheng Long, akhir), katanya.

2a)… jika menang diramal bertemu Lin Dan untuk perebutan slot ke pentas akhir.

3a)Pada pentas akhir yang berlangsung di ….

4a)Ia berjaya ke akhir….

5a)Di pentas akhir sekali gus ….

6a)Akhir piala Menteri Pendidikan.

 Contoh kesalahan penggunaan kata finalis pula adalah seperti yang berikut:

7)… pertandingan yang dibuat menerusi Instagram dan terpilih daripada lima finalis yang disenaraikan.

8)Finalis ini dari Sabah, Sarawak, Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan.

9)Tiga finalis yang berjaya akan diterima bekerja bersama dengan TV3.

10)Bagaimanapun terdapat beberapa finalis yang tersilap membuat percaturan.

11)Kini tinggal empat finalis bersama wang tunai RM30,000 yang diperoleh setiap seorang untuk mereka meneruskan cabaran merealisasikan impian.

12)Pada peringkat ini, keenam-enam finalis ada peluang sama rata, cuma tuah nanti yang membezakan kedudukan kami.

 Penggunaan kata finalis.

Penggunaan kata finalis.

Kata finalis juga sebenarnya bukanlah kata baku walaupun ada dimasukkan dalam Kamus Dewan. Dalam Kamus Dewan (2004), pada entri kata finalis diletakkan tanda singkatan bp yang bermaksud bahasa percakapan. Jadi, kata tersebut sepatutnya tidak digunakan dalam penulisan rasmi.

Entri kata finalis dalam Kamus Dewan  (2004), diletakkan tanda singkatan bp yang bermaksud bahasa percakapan.

Entri kata finalis dalam Kamus Dewan (2004), diletakkan tanda singkatan bp yang bermaksud bahasa percakapan.

Kata finalis yang digunakan dalam ayat tersebut sepatutnya digantikan dengan kata peserta akhir, dan ayat tersebut menjadi seperti yang berikut:

7a)pertandingan yang dibuat menerusi Instagram dan terpilih daripada lima finalis yang disenaraikan.

8a)Peserta akhir ini dari Sabah, Sarawak, Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan.

9a)Tiga peserta akhiryang berjaya akan diterima bekerja bersama dengan TV3.

10a)Bagaimanapun terdapat beberapa peserta akhiryang tersilap membuat percaturan.

11a)Kini tinggal empat peserta akhirbersama wang tunai RM30,000 yang diperoleh setiap seorang untuk mereka meneruskan cabaran merealisasikan impian.

12a)Pada peringkat ini, keenam-enam peserta akhir ada peluang sama rata, cuma tuah nanti yang membezakan kedudukan kami.

Sebagai wahana penting dalam penyampaian maklumat, media cetak perlulah memastikan bahawa maklumat yang hendak disampaikan tidak sahaja ringkas, padat dan tepat dari segi penyampaian berita, tetapi ringkas, padat dan tepat dari segi penggunaan bahasanya agar pembaca tidak terkeliru. Ketidaktepatan penggunaan kata dalam penulisan berita atau laporan dalam akhbar itu terjadi kerana pihak yang menulisnya sudah menganggap sesuatu yang biasa digunakan itu telah betul dan tepat. Walhal, apabila diteliti adalah sebaliknya. Kata-kata yang digunakan itu sebenarnya kata umum biasa dan sekiranya penulis berita itu teliti dalam penulisan, kesilapan tersebut sebenarnya boleh dihindari.

Penggunaan kata final dan finalis itu berkemungkinan besar terjadi kerana wartawan terpengaruh dengan penggunaan kata bajet yang telah digunakan secara meluas sejak tahun 2007. Kata yang berasal daripada bahasa Inggeris (bajet) itu ada padanannya dalam bahasa Melayu, iaitu belanjawan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1034762
    Visit Today : 978
    This Month : 17361
    Total Visit : 1034762
    Hits Today : 4824
    Total Hits : 4243158
    Who's Online : 11
  • Kategori