KAMUS-IBAN-194x300Oleh ROSANI HIPLEE

 

SELEPAS 26 tahun penerbitan edisi pertama Kamus Bahasa Iban-Bahasa Malaysia yang telah dilancarkan pada 7 Mac 1989 bersempena Sidang ke-28 MABBIM, kini barulah terbit Kamus Iban-Melayu Dewan Edisi Kedua.

Kamus Iban-Melayu Dewan Edisi Kedua merupakan sebahagian daripada projek yang terangkum dalam Pembinaan Kamus Bahasa Sukuan Sarawak yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak berdasarkan Pelan Induk Bahasa Sukuan Dewan Bahasa dan Pustaka (PIBS DBP) bagi memperkukuh dan melestarikan bahasa sukuan di Sarawak.

Proses kerjanya melalui beberapa peringkat dan mengambil masa selama lima tahun, iaitu bermula pada November 2010 sehingga penerbitannya pada November 2015. Dalam menerbitkan kamus ini, DBP telah melibatkan beberapa petugas luar untuk memberi input baharu dan membantu melicinkan proses penyusunan kamus ini.

Sekali lagi, majlis pelancaran kamus tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu anak Numpang di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak pada 20 November 2015 yang lalu.

Gimik Pelancaran Kamus Bahasa Iban-Melayu Dewan.

Gimik Pelancaran Kamus Bahasa Iban-Melayu Dewan.

Kamus Iban-Melayu Dewan Edisi Kedua ini memuatkan sebanyak 11, 530 entri dan 9, 710 subentri. Selain mengandungi penambahan jumlah entri dan subentri, kamus ini menampilkan ciri-ciri baharu seperti:

– penggunaan warna pada entri, subentri dan contoh ayat dalam bahasa Iban,

– simbol fonetik berasaskan International Phonetic Alphabet (IPA),

– kelas kata bagi setiap entri,

– contoh penggunaan ayat serta terjemahannya dalam bahasa Melayu.

Kesemua ciri tersebut diharapkan dapat membantu pengguna apabila menggunakan kamus ini.

Dalam ucapan Yang Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu yang juga merangkap Menteri Pemodenan Pertanian dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, berkata bahawa bahasa Iban kini telah diiktiraf sebagai salah satu daripada bahasa ibunda di negeri ini seperti bahasa Mandarin dan Tamil.

Ucapan Pelancaran Yang Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu, Timb. Ketua Menteri (1).

Ucapan Pelancaran YB Timb. Ketua Menteri (1).

Maka dengan pengiktirafan tersebut, kini bahasa Iban telah dijadikan sebagai salah satu daripada subjek elektif di peringkat sekolah rendah dan menengah, selain di peringkat pengajian tinggi.

Oleh itu, beliau amat berterima kasih kepada DBP Cawangan Sarawak yang telah banyak membantu dalam program pengukuhan bahasa Iban ini.

Malah kata beliau juga, “Saya yakin penerbitan edisi kedua kamus ini akan membantu para pelajar dan masyarakat secara keseluruhannya untuk lebih memahami akan bahasa dan juga budaya masyarakat Iban.”

Ucapan Alu-aluan yang diwakili oleh En. Kamarulzaman Shaharuddin, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP.

Ucapan Alu-aluan yang diwakili oleh En. Kamarul Zaman Shaharudin, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP.

Selain itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP Malaysia, Encik Kamarul Zaman Shaharudin yang mewakili Ketua Pengarah DBP Malaysia, percaya bahawa dengan adanya Majlis Pelancaran Kamus Iban-Melayu Dewan Edisi Kedua ini dapat memberi semangat dan suntikan baharu kepada para penulis untuk meneroka, menyelidik dan mengkaji etnik Iban yang menjadi suku kaum majoriti di negeri Sarawak. Bukan sahaja dari segi bahasa pertuturan, malah adat resam, pakaian, makanan, reka bentuk kediaman yang dimiliki etnik ini juga sangat unik. Oleh itu, wajar sekali kebudayaan dan kesenian etnik Iban didokumentasikan sebagai simpanan masa hadapan untuk tatapan generasi akan datang.

Dalam pada itu, sebagai permulaan, Kamus Iban-Melayu Dewan Edisi Kedua ini telah dicetak sebanyak 1,000 naskhah dan dijual pada harga RM65 senaskhah.

Maka sebagai tanda sokongan terhadap usaha DBP, Yang Berhormat Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu telah membuat tempahan pembelian sebanyak 150 naskhah kamus tersebut untuk diagihkan kepada sekolah-sekolah di Betong.

Selain itu, selaras dengan hasrat untuk menyebarkan ilmu melalui pemasaran produk terbitan DBP terus kepada masyarakat, DBP telah mewujudkan Ujana Buku DBP sebagai sebuah kedai buku mini bergerak. Ujana buku ini merupakan kenderaan pacuan empat roda yang telah diubah suai dan dapat memuatkan sebanyak 4000 naskhah buku bagi setiap perjalanan serta dilengkapi dengan peralatan seperti rak buku, sistem siar raya, mesin jana kuasa, kanvas dan sebagainya.

Melawat Ujana Buku

Melawat Ujana Buku DBP.

Malah, DBP turut memperkenalkan perkhidmatan penghantaran cepat menggunakan motosikal bagi setiap tempahan yang diterima. Perkhidmatan tersebut hanya beroperasi sekitar 30 kilometer dari premis jualan DBP.

Dengan slogan “Menyebarkan Ilmu dan Menyantuni Masyarakat”, Ujana Buku DBP menyediakan pelbagai perkhidmatan yang dapat dilaksanakan sama ada oleh pihak DBP sendiri atau secara kerjasama dengan pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, swasta, institut pengajian tinggi, sekolah, penganjur karnival serta pihak yang berminat dalam aktiviti jualan buku di Sarawak juga.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pengelola DBP Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah, dan Pengarah DBP Cawangan Sarawak Dr. Hazami Jahari.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014718
    Visit Today : 747
    This Month : 34063
    Total Visit : 1014718
    Hits Today : 2868
    Total Hits : 4139670
    Who's Online : 11
  • Kategori