Sudut Penulis terletak di blok podium, menara DBP.

SUDUT Penulis pernah wujud semasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) masih beroperasi di bangunan lamanya, dan difikirkan masih relevan serta perlu diwujudkan semula atau diberi “nafas baharu”, sesuai dengan keperluan dan perkembangan semasa. Atas rasa tanggungjawab dan menyedari peranannya sebagai pemangkin perkembangan bahasa dan sastera kebangsaan, DBP perlu menyediakan sebuah ruang yang kondusif untuk golongan penulis. Oleh yang demikian, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Dato’ Termuzi Hj Abdul Aziz bersetuju untuk mewujudkan semula Sudut Penulis dengan menyediakan kemudahan yang lebih lengkap dan selesa.

Sudut Penulis merupakan pusat pertemuan dan interaksi bagi golongan penulis dalam menjalankan aktiviti-aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan. Sekali gus, penyediaan ruang ini dapat membantu merangsang daya kreativiti para penulis untuk melahirkan hasil kerja yang lebih prolifik, kreatif dan produktif. Hal ini amat penting kerana persekitaran yang kondusif amat diperlukan dalam berkarya.

Sudut Penulis DBP menyediakan ruang berinteraksi yang selesa dan santai.

 

Bersesuaian dengan matlamat tersebut, sebuah ruang di Blok Podium, Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) telah dipilih bagi menempatkan Sudut Penulis yang baharu. Ruang ini akan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti komputer, kemudahan akses internet tanpa wayar (wifi), meja perbincangan, set sofa dan bar kafe. Semua kemudahan ini disediakan sebagai kemudahan untuk menggalakkan para penulis berkarya dan menjalankan penyelidikan khususnya di DBP. Kemudahan ini perlu untuk membolehkan para penulis memanfaatkan sumber maklumat dan menerokai khazanah persuratan Melayu yang tersedia.

Sudut Penulis juga menyediakan tempat untuk para editor DBP bertemu, berwawancara dan berinteraksi dengan para penulis dalam hal-hal berkaitan penerbitan sama ada untuk menghasilkan makalah, buku dan seumpamanya bagi membolehkan penghasilan karya yang lebih indah, baik dan bermutu tinggi. Usaha ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada kemajuan dan perkembangan bahasa, sastera, kebudayaan dan penerbitan negara.

Kemudahan yang disediakan ini adalah sebagai menghargai dan mengiktiraf sumbangan golongan karyawan dan penulis dalam usaha membina daya intelektual dalam kalangan masyarakat melalui gaya pemikiran yang bernas dan kreatif, khususnya menerusi penghasilan karya yang bermutu. Kewujudan Sudut Penulis ini juga merupakan satu impian murni yang bakal memberi keselesaan dan manfaat kepada para penulis dan penyelidik terutamanya dalam bidang persuratan Melayu. Ia juga menjadi simbolik kepada kecemerlangan imej DBP dalam usaha mengeratkan jalinan kerjasama antara golongan penulis dan para editor di gedung ilmu ini.

Lokasinya di salah satu sudut PDM amat strategik bagi karyawan.

Sudut Penulis terbuka kepada semua penulis dengan syarat mereka perlulah mendaftar sebagai Ahli Rakan Dewan di PDM. Dengan bayaran yuran tahunan yang amat berpatutan, mereka boleh menggunakan setiap kemudahan yang ada di Sudut Penulis secara percuma. Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) mempelawa karyawan daripada sebarang genre penulisan sama ada staf DBP mahupun karyawan luar untuk memanfaatkan kemudahan sudut penulis yang disediakan di Aras 3 Menara DBP. Diharapkan dengan pewujudan semula Sudut Penulis lebih banyak karya bermutu yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dapat dihasilkan, agar sasterawan kita suatu hari nanti dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Nobel.

Unit Khidmat Pengguna, PDM boleh dihubungi melalui talian 03-21481043 atau 03-21481045.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013403
    Visit Today : 666
    This Month : 32748
    Total Visit : 1013403
    Hits Today : 2197
    Total Hits : 4134302
    Who's Online : 16
  • Kategori