suaranakmuda

Oleh AHMAD KHALILUL HAMEEDY

Perubahan idea serta permahaman akibat perubahan persekitaran dalam dunia hari ini banyak mengubah permahaman seseorang terhadap sesuatu perkara. Sesuatu yang dahulunya difahami begini, kini telah difahami khalayak sebagai begitu. Dalam konteks perbincangan ini, sastera sebagai subjek perbincangan. Sastera, penulis tidak bermaksud untuk mendefinisikan istilahnya namun lebih mahu mengfokuskan persoalan sastera kini yang kian atau sudah terjerumus ke dalam satu persepsi atau pemahaman yang menyimpang dari maksud serta objektif sastera yang murni. Perbincangan ini juga penulis mahu menggarisbawahi persoalan mengapa ini terjadi berdasarkan faktor dalaman sastera itu sendiri (atau lebih tepat, fokusnya pada penggiat sastera). Bagi memahami punca sesuatu permasalahan, perkara yang perlu diambil kira ialah faktor penyebab (faktor luar dan dalaman). Penulis pada perbincangan ini hanya ingin mengfokuskan pada faktor dalaman yang seringkali terabai dek kerana sibuk membincangkan asbab luaran. Siri perbincangan perihal kemapanan sastera ini bukan baharu dalam dunia perbincangan, bahkan sudah ratusan makalah, seminar serta tokoh-tokoh yang menulis tentang perihal ini.

Persepsi atau tanggapan masyarakat yang muncul terhadap dunia sastera tidak lain dan tidak bukan didasari oleh cerminan penggiat sastera itu sendiri (meliputi pusat pengajian, penggiat, pelajar, institusi, bahkan juga karya). Cerminan ini seterusnya diproses oleh minda tertawan masyarakat yang menghasilkan tanggapan yang menjadi titik perbincangan pada hari ini. Minda tertawan masyarakat yang penulis maksudkan ialah minda yang berpaksi pada kehendak sesuatu dan bukan minda yang murni dari keterikatan. Bagi memudahkan perbincangan ini dapat difahami oleh sidang pembaca, penulis ingin memberi gambaran situasi yang penulis sendiri hadapi. Seringkali penulis (bahkan mungkin juga pembaca) berhadapan dengan khalayak yang mudah merumuskan sastera itu hanya sekadar bermain kata, tidak jejak dibumi, tidak bernilai ekonomi, sekadar hobi, sekadar itu, dan sekadar ini. Situasi ini membawa penulis kepada menunding jari pada pihak luar atas tanggapan menyimpang ini. Namun setelah diamati, tanggapan ini bukanlah semata-mata kesalahan pihak luar atas rumusan negatif sedemikian. Penulis mahu membawa sidang pembaca untuk berfikir sejenak. Mengapa persoalan ini tercetus? Persepsi buruk khalayak (terutama masyarakat amnya) yang dilemparkan terhadap sastera, seperti yang penulis katakan tadi adalah hasil cerminan sastera kepada masyarakat. Oleh hal yang demikian, perkara utama yang menjadi titik perbincangan kini ialah bagaimana sastera itu dicerminkan atau ditonjolkan?

Sebelum pergi lebih jauh dan sebelum menyimpulkan sesuatu, ada baiknya dilihat kronologi perkembangan sastera itu sendiri (bagaimana ia muncul dan bagaimana ia dihayati). Penulis tidak berhasrat untuk menyenaraikan satu persatu perkembangan sastera, cukuplah sekadar memberi pengamatan umum. Dari dahulu hingga sekarang, sastera adalah suatu hal yang sangat subjektif, atau boleh penulis simpulkan bahawa sastera itu suatu yang agak seni, yang hanya mampu diamati atau dihayati dengan memberi sepenuh rasa terhadapnya.

Mengapa sastera dikatakan sebagai suatu yang seni? Ini adalah kerana sastera itu bermain bukan hanya sekadar soal realiti, bahkan meliputi persoalan emosi dan juga sampai kepada persoalan imaginasi serta fantasi yang tidak mampu dicapai realiti. Adakah apa yang dinyatakan ini merupakan asbab kepada sastera itu dipandang khalayak sebagai sesuatu yang kabur? Selain itu, fungsi sastera itu sendiri yang bersifat dinamik sering disalahfahami oleh penggiat sastera dan juga khalayak umum. Sastera mempunyai fungsi yang dinamik, mampu bertahan pada setiap zaman. Sastera suatu ketika dahulu dijadikan satu media pencerah atau media penyampai maklumat, walaupun sastera itu sendiri jatuh pada kategori fiksi yang kini difahami hanya satu rekaan. Satu perkara perlu diingatkan bahawa sastera itu adalah batu asas pada merealitikan imaginasi dan fantasi. Namun begitu, sastera tidaklah seperti pengajian ekonomi dan juga sains. Sastera amat memerlukan pelajarnya untuk memberi sepenuh jiwa bagi menghayati sastera itu sendiri. Walaupun kini sastera sudah dijadikan satu kursus atau satu aliran, namun sejauh manakah sastera itu dipandang tinggi berbanding subjek lain? Penulis tidak bermaksud untuk membanding antara subjek-subjek lainnya, kerana penulis percaya bahawa setiapnya punya kelebihan, dan sastera itu sendiri adalah proses dalam dunia kehidupan ini.

Persepsi ini akan terus berlaku selagi mana sastera tidak diertikan sebetulnya oleh penggiat serta masyarakat. Penggiat perlu berganding bahu untuk memberi pengertian kepada sastera bukan hanya atas kertas, namun pada perbuatan serta kegiatan sastera yang akhirnya memberi cerminan yang layak kepada sastera. Semoga sastera tidak lagi dianggap sebagai pilihan, sastera itu adalah keperluan dalam kehidupan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013977
    Visit Today : 6
    This Month : 33322
    Total Visit : 1013977
    Hits Today : 9
    Total Hits : 4136811
    Who's Online : 17
  • Kategori