Oleh EH CHOT CHA CHAN

 

 Pengenalan

Kertas kerja ringkas ini berdasarkan pandangan penulis sebagai peminat dan juga sebagai guru yang mengajarkan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu tingkatan lima dan tingkatan enam selama 32 tahun. Dalam tempoh itu, penulis membaca dan mengkaji sepintas lalu ratusan teks kesusasteraan Melayu moden dan klasik, prosa dan puisi untuk memastikan proses pengajaran/pembelajaran mata pelajaran berkenaan menarik dan berkesan kepada pelajar-pelajar.

Fokus penulis ialah memberikan tumpuan kepada pelbagai jenis hasil sastera, cerpen, sajak, novel, drama yang dihasilkan oleh para sasterawan pada tahun 1950-an, 1960-an, 1970-an yang sekarang bergelar Sasterawan Negara. Di samping itu, turut diberikan perhatian adalah peranan dan kemunculan penulis-penulis bukan Melayu, Cina, Siam dan India yang muncul pada tahun 1970-an, 1980-an, 1990-an hingga sekarang.  Golongan ini adalah sama dengan latar belakang penulis yang melalui proses pendidikan kebangsaan yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah. Golongan ini fasih berbahasa Melayu dan boleh menulis/menghasilkan karya sastera yang menarik dan bermutu.

Penulis yakin dan mempunyai bukti yang jelas bahawa dalam tempoh sejak merdeka hingga sekarang dan akan datang, kesusasteraan kebangsaan Malaysia dan kesusasteraan Malaysia memainkan peranan penting untuk memupuk perpaduan kaum dan melahirkan masyarakat Malaysia yang aman, damai, harmoni, bahagia dan mempunyai jati diri sebagai masyarakat Malaysia.

Pendekatan kesusasteraan sebagai alat perpaduan kaum adalah paling berkesan jika dibandingkan dengan pendekatan politik dan sosioekonomi. Hasil karya dalam pelbagai bentuk dapat menyemai benih perpaduan melalui penyampaian gaya bahasa yang indah dan menarik serta mengandungi pelbagai episod, kisah kehidupan, cerita-cerita inspirasi yang menggunakan bahasa yang indah dan menarik. Kesemua ini dapat menjuruskan pemikiran, sikap, emosi manusia kepada kehidupan kerohanian yang jujur, ikhlas, reda, bersyukur, rendah diri, berbudi bahasa, pasrah dan bertolak ansur.

 

Konsep Kesusasteraan Kebangsaan Malaysia dan Kesusasteraan Malaysia

Takrif konsep kesusasteraan kebangsaan Malaysia dan kesusasteraan Malaysia telah mantap dan diterima umum. Hal ini dirumuskan dalam Persidangan Bengkel Seni Kesusasteraan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan yang diadakan di Kuala Lumpur pada 16hb Ogos hingga 20hb Ogos 1971, muka surat 526, sebagai yang berikut:

(1)     Kesusasteraan kebangsaan Malaysia hendaklah ditakrifkan sebagai hasil-hasil karya yang ditulis dalam Bahasa Malaysia dan isi kandungannya haruslah berlatar belakangkan kehidupan masyarakat di Malaysia.

(2)     Kesusasteraan Malaysia, berdasarkan takrif di atas hendaklah bertujuan untuk mewujudkan satu identiti kebangsaan.

Di samping itu, penulis ingin menegaskan bahawa hasil karya dalam bahasa ibunda oleh golongan penulis bukan Melayu, warganegara Malaysia dan suku-suku kaum bumiputera yang berlatarbelakangkan masyarakat Malaysia yang bertemakan nilai-nilai perpaduan diterima sebagai kesusasteraan Malaysia. Di samping itu hasil karya kesusasteraan Malaysia mesti mengandungi persoalan dan nilai yang terkandung/berteraskan prinsip Rukun Negara. Hasil karya picisan walau ditulis dalam apa jua bahasa, tidak boleh diterima sebagai kesusasteraan kebangsaan Malaysia.

 

Pelan Tindakan Aktiviti/Program Kesusasteraan Malaysia ke Arah Perpaduan Kaum

Program memperkasakan pengajaran, pembelajaran, kajian, penyelidikan dan aktiviti berkaitan kesusasteraan kebangsaan Malaysia telah dan sedang dijalankan yang melibatkan peranan sekolah, universiti, Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia serta NGO bahasa dan kesusasteraan. Kita ada kekuatan yang terdiri daripada ribuan penulis muda yang berbilang kaum dan guru-guru yang mengajarkan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di tingkatan lima dan tingkatan enam yang dapat digembleng untuk menjayakan peranan kesusasteraan Malaysia ke arah perpaduan kaum.

 Penulis dengan rendah diri ingin mencadangkan aktiviti/program bahasa dan kesusasteraan Malaysia dipermudahkan dengan usaha yang kecil, belanja yang kecil, berterusan dan berfokus kepada kumpulan sasaran golongan pelajar dan golongan muda yang berbilang kaum, iaitu:

(1)     Di bandar dan di luar bandar, terdapat sekolah-sekolah kebangsaan, SRJK(C) dan sekolah-sekolah menengah yang mempunyai pelajar berbilang kaum yang terletak berhampiran dalam zon yang sama. Mereka dapat dikumpulkan peringkat demi peringkat mengadakan aktiviti kokurikulum bahasa dan kesusasteraan bersama di medan perhimpunan sekolah secara mingguan atau bulanan. Di samping dapat menanamkan minat dan pengetahuan tentang bahasa dan kesusasteraan Malaysia, pelajar dapat bergaul dan berkenalan.

(2)     NGO bahasa dan kesusasteraan perlu tingkatkan kerjasama dengan NGO lain dan jabatan kerajaan untuk menerapkan aktiviti bahasa dan kesusasteraan dalam majlis tertentu seperti sambutan Hari Guru, Hari Pahlawan, Hari Wanita, Hari Kebangsaan dan sebagainya. Contohnya, deklamasi puisi, peraduan melukis dan mewarna serta lakonan pendek bertemakan perpaduan.

(3)     Melahirkan pemimpin organisasi di peringkat sekolah, pejabat pendidikan daerah, jabatan pendidikan negeri dan pihak berkuasa tempatan yang celik, peka, cakna dan mempunyai kemahiran menguruskan aktiviti bahasa dan kesusasteraan kebangsaan. Perhatian perlu ditumpukan dalam kandungan kursus/latihan guru besar dan pengetua sekolah bagi kursus yang diadakan di Institut Aminudin Baki dan modul latihan pegawai di INTAN dan Biro Tatanegara.

(4)     Sebaran pandangan dan kandungan hasil-hasil karya Kesusasteraan Kebangsaan yang berfokus kepada perpaduan hendaklah diperluaskan dan diperhebat melalui media massa, khasnya RTM. Rancangan perbincangan hasil-hasil karya kesusasteraan oleh tokoh-tokoh Sasterawan Negara dan penulis-penulis berbilang kaum perlu diperbanyakkan.

(5)     Kita perlu melahirkan lebih ramai generasi sasterawan baru Malaysia yang dapat menghasilkan karya sastera yang bermutu. Mereka ini akan meneruskan legasi kehebatan Sasterawan Negara dan mencapai peringkat Hadiah Novel bertaraf dunia. Penulis muda yang dikenal pasti berbakat, berkebolehan dan berpotensi menjadi Sasterawan Negara yang hebat perlu diberi galakan dalam bentuk biasiswa, geran penyelidikan dan kemudahan lain untuk terus mengasah bakat dan kebolehan mereka. Generasi penulis baru perlu berilmu, bijaksana dan mempunyai kelulusan akademik yang tinggi.

Rumusan

Dalam karya Sasterawan Malaysia, memang terdapat unsur dan nilai-nilai positif/optimis yang dapat memajukan fikiran, kesedaran dan membuka mata hati masyarakat kita terhadap kepentingan semangat perpaduan di Malaysia. Semangat perpaduan yang tersurat dan tersirat dalam karya sastera perlu dimantapkan dan dipupuk melalui minat membaca karya sasterawan kita yang bermutu, di samping kesedaran, kefahaman dan penglibatan semua pihak, terutama pelajar dan belia pelbagai kaum dalam aktiviti-aktiviti bahasa dan kesusasteraan kebangsaan Malaysia.

Makalah ini merupakan kertas kerja yang dibentangkan dalam Seminar Sastera Pelbagai Kaum 2015 anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), bertempat di ASWARA.


 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035732
    Visit Today : 510
    This Month : 18331
    Total Visit : 1035732
    Hits Today : 2249
    Total Hits : 4248339
    Who's Online : 10
  • Kategori