BERGURU PADA BINATANG

Pengulas SOFIA HUMAIRA’

Judul                :        Berguru Pada Binatang (Edisi Khas Sasterawan Negara)

Pengarang       :        Baha Zain

Penerbit           :        Dewan Bahasa dan Pustaka

Genre                :       Sastera

Halaman          :       53 halaman

DALAM bidang sains tulen, pengkajian terhadap haiwan melibatkan proses mengenal pasti spesies, pola kehidupan dan seterusnya peranan haiwan dalam keseimbangan ekosistem alam. Dalam pengkajian ini, haiwan dilihat mengikut klasifikasi yang ditentukan oleh para saintis seperti amfibia, mamalia, reptilia, burung dan ikan. Rata-rata, klasifikasi ini ditentukan mengikut sifat-sifat fizikal haiwan-haiwan berkenaan.

Walau bagaimanapun, bagaimanakah haiwan dilihat dari kaca mata seorang sasterawan atau penulis? Apakah pemerhatian mereka turut tertumpu pada aspek fizikal atau melangkaui batas fizikal tersebut?

Aspek inilah yang dimanipulasikan oleh Sasterawan Negara Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain dalam buku “Berguru Pada Binatang”. Menerusi buku ini, Baha Zain memanfaatkan sifat-sifat dalaman iaitu peribadi dan tabiat haiwan untuk menyampaikan pesanannya. Kecenderungan Baha Zain menjadikan haiwan sebagai metafora dalam penulisannya bukanlah satu kejanggalan jika dilihat dari aspek budaya Melayu. Ini merujuk kepada kelaziman orang Melayu menggunakan bahasa kiasan dan perlambangan yang berunsurkan haiwan, seperti simpulan bahasa kaki ayam iaitu merujuk individu yang tidak menggunakan alas kaki, dan perumpamaan seperti belangkas yang merujuk kepada persahabatan akrab.

Terlepas daripada soal kecenderungan terhadap unsur haiwan sebagai metafora, Baha Zain turut menjadikan buku ini sebagai panduan kepada penulis khususnya pelajar kesusasteraan untuk mempelajari cara pembinaan watak seperti yang dicatatnya pada permulaan buku ini.

Seterusnya, buku ini memuatkan 13 buah cerita yang berteraskan tema politik dan kemanusiaan.Dalam cerita Dunia Baharu “Seekor Katak: Dari Tempurung ke Tong Sampah”, Baha Zain mengisahkan watak seekor Katak yang gemar melompat dari satu tempat ke satu tempat kerana enggan disifatkan sebagai “katak di bawah tempurung”.Oleh itu, Katak berusaha mencari petempatan lain dan bertemu dengan sebuah tong yang besar, luas, tinggi dan kosong.Dengan sifat-sifat tong tersebut, Katak beranggapan bahawa dirinya tidak lagi berada dalam situasi yang sempit.Namun, Katak akhirnya mati apabila tong tersebut yang merupakan tong sampah telah ditimbuni dengan pelbagai jenis sampah yang menghempap tubuh Katak.Berdasarkan cerita ini, Baha Zain menyelar sikap manusia khususnya ahli politik yang cenderung beralih parti dan sokongan demi kepentingan diri, keselesaan dan kemewahan hidup tanpa pemahaman yang jelas terhadap pihak yang disokong.

Perkara yang hampir sama turut disampaikan dalam kisah “Sindrom Ayam Belanda” iaitu tentang sifat ayam belanda yang gemar meniru sesuatu perbuatan tanpa mengetahui sebab dan kesan perbuatan tersebut.Menurut Baha Zain, sifat ayam belanda itu turut wujud dalam diri sebahagian ahli politik dan ahli budaya yang cenderung menerima prinsip atau kenyataan tokoh tanpa berfikir secara kritis.Sifat ini akan mengundang keburukan apabila sesuatu yang tidak pasti kesahihan dan kebaikannya diterima, disokong dan diusahakan.Baha Zain menjadikan sikap masyarakat Malaysia terhadap polemik Dasar Pandang ke Timur dan Pengkorporatan Malaysia sebagai contoh, iaitu sikap gopoh memberikan sokongan tanpa memahami secara jelas falsafah dan prinsip yang terkandung dalam kedua-dua gagasan tersebut.

Seterusnya, Baha Zain mengisahkan tentang strategi pengekalan kuasa menerusi watak Singa dalam cerita “Singa Tetap Singa”. Dalam cerita ini, watak Singa telah mengadakan satu pertemuan dan mempelawa beberapa watak lain iaitu Kucing, Cacing, Buaya dan Punai untuk meyakinkan Singa bahawa mereka mampu menggantikan kedudukan Singa sebagai Raja Rimba.Setelah haiwan-haiwan itu menyatakan kemampuan dan keistimewaan masing-masing untuk memimpin dengan adil, jujur dan gagah, Singa akhirnya memutuskan bahawa tiada sesiapa yang layak menggantikan tempatnya.Keputusan Singa adalah berdasarkan kegagalan kesemua calon haiwan tersebut memahami dan menguasai dua perkara penting untuk bergelar Raja Rimba iaitu kekuasaan dan kewibawaan.Hakikatnya, watak Singa tidak berniat untuk mencari pengganti tetapi lebih kepada strateginya untuk mengetahui kelemahan haiwan-haiwan lain dan sekali gus memastikan kekuasaannya tidak tercabar.Perbuatan Singa ini menjadi kiasan kepada sifat pemimpin yang sanggup melakukan apa-apa sahaja demi memelihara kedudukannya.

Dalam kisah “Kancil Hendak Menjadi Gajah”, Baha Zain mengkritik sikap segelintir manusia yang tamak dan menginginkan sesuatu di luar kemampuan diri.Hal ini dibangkitkan menerusi watak Kancil yang ingin menjadi besar seperti Gajah dan justeru membolehkan Kancil menguasai hutan rimba.Bagi Kancil, kecerdikan yang dimiliki belum cukup sempurna kerana tubuhnya yang kecil tidak membolehkan Kancil menggunakan kecerdikannya untuk menguasai rimba sepenuhnya.Oleh itu, untuk mencapai cita-citanya, Kancil memperoleh idea untuk mendapatkan pengaruh masyarakat rimba dengan menunjukkan kemampuan fizikalnya yang besar seperti Gajah.Kancil mendapat inspirasi mencapai cita-cita itu daripada najis Gajah yang besar.Menurut Kancil, masyarakat rimba tentu akan gerun kepadanya sekiranya mereka melihat najis Kancil juga sebesar najis Gajah.Untuk itu, Kancil mengambil makanan dalam kuantiti yang besar.Akhirnya, Kancil bukan sahaja gagal mendapatkan pengaruh dan kuasa di rimba tetapi juga jatuh sakit kerana makanan berlebihan yang diambil.

Demikianlah haiwan dimanfaatkan oleh Baha Zain dalam pengkaryaan.Pemerhatian beliau bukan lagi pada aspek fizikal haiwan seperti yang dilihat para saintis, tetapi melangkaui aspek sifat dan sikap haiwan terhadap kehidupan.Pengamatan terhadap aspek intrinsik haiwan inilah yang mendorongnya menjadikan haiwan sebagai wadah sindiran dalam menyampaikan pesanan khususnya tentang kerakusan manusia terhadap kuasa dan kekuasaan. Persoalan yang besar ini dipermudahkan dalam bentuk cerita yang berunsurkan watak-watak haiwan. Ini menjadikan pembacaan buku ini boleh dilakukan secara santai dan tidak membebankan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013344
    Visit Today : 607
    This Month : 32689
    Total Visit : 1013344
    Hits Today : 1970
    Total Hits : 4134075
    Who's Online : 14
  • Kategori