Oleh ZAIDI ISMAIL

APABILA melalui jalan-jalan utama, pastinya kita akan dapat melihat papan tanda yang diletakkan atau didirikan di pinggir jalan. Selain itu, papan tanda juga turut didirikan  di tempat-tempat tertentu, seperti tempat letak kereta.

Kebanyakan papan tanda tersebut didirikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) ataupun pihak berkuasa tempatan. Papan tanda itu didirikan untuk dijadikan panduan kepada pengguna jalan raya, terutamanya berkaitan dengan keadaan jalan atau pemberitahuan tentang sesuatu.

Dari segi penggunaan bahasa pula, bahasa yang digunakan ialah bahasa Melayu. Penggunaan bahasa pada papan tanda merupakan antara bentuk penggunaan bahasa di tempat awam. Apabila dikaitkan dengan penggunaan bahasa, aspek kualiti janganlah diabaikan. Misalnya, masih ada kesalahan dari segi penggunaan kata yang tepat. Hal tersebut dapat dilihat dalam Foto 1.

Foto 1: Penggunaan perkataan yang tidak tepat.

Foto 1: Penggunaan perkataan yang tidak tepat pada papan tanda.

Papan tanda tersebut (Foto 1) didirikan oleh JKR di pinggir jalan utama, terutamanya di kawasan yang sering digunakan oleh penjaja kaki lima di Kelantan. Tujuannya adalah untuk mengingatkan penjaja agar tidak mendirikan gerai kecil di atas bahu jalan (kaki lima jalan). Sekiranya dilakukan, pesalah akan dikenakan denda sehingga RM10 000.00.

Walau bagaimanapun, yang ingin ditegaskan dalam tulisan ini, bukanlah berkaitan dengan jumlah tersebut, tetapi penggunaan bahasa dalam papan tanda. Dalam papan tanda tersebut, ada dua kesalahan bahasa, iaitu dari segi penggunaan kata dan ejaannya.

Kata pemberitahu yang digunakan sebagai tajuk papan tanda itu adalah tidak tepat kerana kata pemberitahu bermaksud “orang yang memberitahu”. Sedangkan, papan tanda itu bukanlah orang yang dapat memberitahu sesuatu. Jika dikaitkan dengan papan tanda tersebut, yang memberitahu ialah JKR. Dengan hal yang demikian, kata pemberitahu sepatutnya digantikan oleh kata pemberitahuan.

Berdasarkan Kamus Dewan (2005), kata pemberitahuan bermaksud “perihal memberitahukan atau perbuatan (tindakan dan sebagainya) memaklumkan (mengumumkan dan sebagainya) dan maklumat, kenyataan atau pengumuman.” Selain pemberitahuan, perkataan lain yang boleh digunakan untuk menggantikan kata pemberitahu ialah maklumat, kenyataan atau pengumuman.

Dalam papan tanda yang sama juga, ejaan yang digunakan untuk frasa diatas tidak tepat. Ejaan tersebut perlu diubah menjadi di atas kerana di yang digunakan dalam frasa tersebut ialah frasa sendi nama, bukannya awalan.

Selain papan tanda tersebut, ada juga papan tanda lain yang turut ditulis menggunakan perkataan yang sama, iaitu pemberitahu. Hal tersebut dapat dilihat dalam Foto 2 dan Foto 3. Kata pemberitahu yang digunakan dalam papan tanda yang didirikan oleh JKR (Foto 2) dan Majlis Perbandaran Tanah Merah (Foto 3) itu juga perlu diganti dengan kata pemberitahuan.

Pihak yang terlibat secara langsung dalam pembuatan dan pemasangan papan tanda di tempat awam seharusnya lebih peka terhadap penggunaan bahasa Melayu yang tepat. Dengan hal demikian, kesalahan seperti yang dipaparkan itu tidak akan berulang pada masa akan datang.

Foto 2: Papan tanda di Wakaf Bharu, Kelantan.

Foto 2: Papan tanda di Wakaf Bharu, Kelantan.

Foto 3: Papan tanda di Bandar Tanah Merah, Kelantan.

Foto 3: Papan tanda di Bandar Tanah Merah, Kelantan.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035217
    Visit Today : 1433
    This Month : 17816
    Total Visit : 1035217
    Hits Today : 7744
    Total Hits : 4246078
    Who's Online : 11
  • Kategori