akhbar zaidiOleh ZAIDI ISMAIL

APA-APA pun jenis dan bentuk bahasa yang digunakan dalam media cetak, khususnya akhbar, tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk berinteraksi. Apabila berinteraksi, pastilah objektif utamanya adalah untuk memahamkan khalayak yang menjadi sasarannya.

Dalam komunikasi tulisan, iaitu melalui media cetak, bentuk dan struktur bahasa yang digunakan adalah pelbagai. Kewujudan media cetak dalam negara, seperti akhbar, mempunyai objektifnya yang tertentu. Antaranya, termasuklah sebagai penyampai maklumat untuk perbagai perkara. Oleh itu, sebagai wahana penting dalam penyampaian maklumat, media cetak perlulah memastikan bahawa maklumat yang hendak disampaikan adalah ringkas, padat dan tepat, sesuai dengan nilai berita yang ingin dikhabarkan. Dalam memastikan bahawa perkara tersebut terlaksana dan objektifnya tercapai, akhbar perlulah menggunakan bahasa yang baik dan tepat.

Walau bagaimanapun, hal tersebut agak kurang memuaskan. Dalam penelitian yang telah dilakukan oleh penulis, dalam dua buah akhbar utama berbahasa Melayu dalam tiga ruangan utama, iaitu berita utama, sukan, dan hiburan, ada pelbagai kesalahan bahasa yang ditemukan. Antaranya, termasuklah kesalahan seperti  yang berikut:

  1. Kesalahan penggunaan ganti nama diri ketiga, ia;
  2. kesalahan penggunaan kata sifat baru;
  3. kesalahan penggunaan kata pemeri adalah untuk ialah;
  4. kesalahan penggunaan kata tanya apa;
  5. penggunaan kata singkat tak, saja, nak, dan tapi;
  6. penggunaan kata hubung serta;
  7. penggunaan kata serapan yang tidak betul.

1.   Kesalahan penggunaan ganti nama diri ketiga, “ia”

Contoh-contoh data yang ditemukan adalah seperti yang berikut:

  1. Perdana Menteri tampil dengan agenda sedemikian asalkan ia tidak meminggirkan peranan kaum lain ….
  2. Kita faham dan dapat lihat rasional di sebalik pelancaran agenda itu, kerana ia mampu membantu masyarakat Melayu dan Bumiputera ….
  3. Ia dianggotai oleh lima ahli yang dipengerusikan bekas Gabenor Bank of England ….
  4. … saya yakin ia boleh dilaksanakan dengan lebih hebat.
  5. Andai ia bersesuaian dan bagus, kami akan menggunakannya.
  6. Ketika itu, ia masih dikenali dan banyak yang menggunakannya ….
  7. ia membuat Persatuan Sepak Takraw Malaysia malu.
  8. ia suatu tanda positif untuk pembangunan sukan negara.
  9. … menafikan ia angkara orang dalam. Saya harap ia akan menjadi sesuatu yang amat bermakna ….
  10. … supaya ia kelihatan lebih besar dan dapat menarik minat pengguna.

Dalam ayat tersebut, kata ganti nama ia yang digunakan itu bukanlah digunakan untuk menggantikan nama diri ketiga untuk manusia. Kata ganti nama diri ketiga ia sebenarnya hanya digunakan untuk manusia. Kata ia adalah sama dengan dia dari segi maksud atau maknanya. Jadi, kata itu sepatutnya tidak digunakan untuk menggantikan nama untuk bukan manusia.

2.   Kesalahan penggunaan kata sifat “baru”

Dalam penulisan rasmi, untuk menerangkan sesuatu yang baharu (new), kata sifat yang sepatutnya digunakan ialah kata “baharu”, bukannya “baru”. Kata “baru” hanya digunakan untuk membawa maksud masa, seperti “baru tiba”. Contoh-contoh kesalahan penggunaannya yang ditemukan dalam akhbar adalah seperti yang berikut:

  1. Kejayaan itu telah membuka lembaran baru dalam perjuangan ….
  2. … mencipta kekayaan baru.
  3. Mangsa adalah pelakon baru ….
  4. … kuasa baru bola sepak tanah air.
  5. … pengalaman baru sebagai pelakon utama.
  6. … fasa baru kehidupan sekarang amat mencabar.
  7. … diharapkan akan memberikan nafas dan semangat baru dalam membina kerjayanya.
  8. … mengambil pendekatan baru untuk mengatasi masalah tersebut.
  9. Ia bukan masalah baru, tetapi ….
  10. Filem barunya sangat memuaskan.Dalam ayat tersebut, kata yang sepatutnya digunakan bukanlah kata “baru”, tetapi sepatutnya kata “baharu”.

3.   Kesalahan penggunaan kata pemeri “adalah” untuk “ialah”

Dalam penulisan berita di akhbar, ada juga wartawan yang menggunakan kata pemeri adalah secara tidak tepat. Kesalahan terjadi apabila kata pemeri yang digunakan sepatutnya ialah, tetapi yang digunakan, kata pemeri adalah. Contohnya:

  1. Tanggal 16 September adalah tanggal keramat yang disambut ….
  2. Malam kelmarin adalah hadiah istimewa ….
  3. Sekarang adalah masa untuk saya ….
  4. Sakai Asli adalah Melayu ….
  5. E-Caruman adalah kemudahan ….
  6. Ramdan adalah pelumba Malaysia ….
  7. Rayfal adalah anak yang baik.
  8. Perjanjian itu adalah langkah pertama ….
  9. Berhenti adalah jalan penyelesaian tunggal ….
  10. … maka pihak yang rugi adalah Malaysia.

 Kata adalah yang digunakan dalam ayat tersebut sepatutnya digantikan dengan kata ialah. Menurut Nik Safiah Karim et al (2008), kata pemeri adalah sepatutnya digunakan di hadapan frasa adjektif atau sifat dan frasa sendi nama. Kata pemeri ialah pula digunakan di hadapan frasa nama.

4.   Kesalahan penggunaan kata tanya “apa”

Contoh kesalahan penggunaan kata tanya apa yang dilakukan oleh wartawan adalah seperti yang berikut:

  1. Apa yang saya boleh maklumkan, wang tunai ….
  2. Kita tahu apa yang mampu mereka lakukan jika kita tidak berhati-hati.
  3. Bagi saya, apa yang penting ialah pendedahan yang diperoleh ….
  4. Saya tidak kira apa orang cakap, hakikatnya ….
  5. Walau apa pun rintangan, dia akan tetap menghadapinya.
  6. Apa yang ingin saya tegaskan ialah ….
  7. Apa juga yang dilakukan ….
  8. Sabar dalam menghadapi apa jua dugaan hidup.
  9. Kementerian apa sekalipun sewajarnya menjadikan kegiatan sukan sebagai ….
  10. Jadi, apa yang perlu semua pihak lakukan ialah menggandakan usaha ….

 Kata tanya apa sepatutnya digunakan untuk pertanyaan bukannya untuk pernyataan atau ganti nama benda yang tidak tentu. Dalam ayat tersebut, kata apa sepatutnya digandakan menjadi apa-apa yang membawa maksud sesuatu yang tidak tentu.

5.   Penggunaan kata singkat “tak”, “saja”, “nak”, dan “tapi”

Dalam penulisan rasmi, singkatan atau kependekan seperti tak, saja, nak, dan tapi sepatutnya tidak digunakan. Contohnya:

        i. Tak

  1. … pengarah itu rasa serba tak kena.
  2. Kalau tak luar negara, dia akan ikut serta dalam majlis itu.
  3. Sabah, Sarawak tak dipinggir.
  4. Kim Swee tak peduli kritikan.

       ii.  Saja

  1. … sebaik saja ia disiarkan ….
  2. … sebaik saja dimaklumkan mengenai ….
  3. Bukan saja orang Melayu dan bumiputera, bahkan semua ….
  4. … bukan saja orang Melayu tetapi juga bangsa-bangsa lain.
  5. Apa saja saya lakukan harus memikirkan ….
  6. Harapkan muka saja cantik ….

       iii.  Nak

  1. Tentulah kita nak tengok dalam tempoh singkat ….
  2. Dia sudah nak bertunang …. 

       iv.  Tapi

  1. Walaupun dia pelakon baru, tapi mungkin ….
  2. tapi saya seboleh-bolehnya tidak ingin masuk campur.
  3. Muka lawa, tapi berlakon macam kayu.
  4. Ini bukan soal wang, tapi perjuangan ….
  5. tapi hari ini mungkin keadaannya bertukar dan tidak seceria dulu.

Dalam penulisan rasmi, singkatan atau kependekan tak, saja, nak, dan tapi sepatutnya tidak digunakan. Dalam penulisan rasmi, singkatan tersebut sepatutnya ditulis penuh menjadi tidak, sahaja, hendak dan tetapi.

6.   Penggunaan kata hubung “serta”

Dalam penulisan, kata hubung serta sepatutnya digunakan untuk menghubungkan lebih daripada dua unsur. Keberadaannya pula setelah adanya kata hubung dan. Contoh penggunaan kata serta secara tidak tepat seperti yang berikut:

  1. Agenda berkenaan sebenarnya ke arah memartabatkan kedudukan orang Melayu serta Bumiputera supaya setimpal dengan pemilikan ekonomi kaum lain di negara ini.
  2. Yang di-Pertuan Agong memperkenankan Akta Malaysia yang sudah diperkenankan Ratu Elizabeth II serta diluluskan Parlimen British.
  3. Sukan permotoran serta polo.
  4. … mengadakan majlis berendoi serta cukur rambut.

 Kata serta yang digunakan dalam ayat tersebut sepatutnya digantikan dengan kata dan.

 7.   Penggunaan kata serapan tidak betul

Dalam akhbar juga terdapat penggunaan kata serapan yang tidak betul. Kata serapan seperti final yang berasal daripada bahasa Inggeris, final sepatutnya tidak digunakan. Kata tersebut sebenarnya sudah ada istilahnya dalam bahasa Melayu, iaitu akhir. Contoh kesalahan yang ditemukan adalah seperti yang berikut:

  1. Pada final tidak sehebat tiga ….
  2. Pada pentas final yang berlangsung di ….
  3. Ia berjaya ke final ….
  4. Di pentas final sekali gus ….
  5. Final piala Menteri Pendidikan.
  6. Penggunaan kata ini, dari segi statusnya, samalah seperti penggunaan kata bajet yang juga dianggap tidak baku.

Ketidaktepatan penggunaan kata dalam penulisan berita atau laporan dalam akhbar itu terjadi kerana pihak yang menulisnya sudah menganggap sesuatu yang biasa digunakan itu telah betul dan tepat. Walhal, apabila diteliti adalah sebaliknya. Kata-kata yang digunakan itu sebenarnya kata umum biasa dan sekiranya penulis berita itu teliti dalam penulisan, kesilapan tersebut sebenarnya boleh dihindari.

Dalam akhbar, ganti nama diri ketiga, ia telah digunakan secara berterusan untuk menggantikan nama bukan manusia. Kata sifat baru pula telah dianggap sama dengan baharu. Begitu juga dengan kata pemeri adalah yang juga digunakan secara berterusan untuk menggantikan ialah. Kata tanya apa pula dianggap sebagai kata ganti nama tidak tentu yang sama dengan apa-apa. Kata singkatan tak, saja, nak, dan tapi telah digunakan secara meluas. Selepas bajet, istilah final pula cuba dipopularkan oleh akhbar. Sedangkan, dalam bahasa Melayu sudah ada padanannya, iaitu akhir.

Sebagai wahana penting dalam penyampaian maklumat, selain memastikan bahawa maklumat yang hendak disampaikan adalah ringkas, padat dan tepat, sesuai dengan nilai berita yang ingin dikhabarkan, akhbar perlulah menggunakan bahasa yang baik dan tepat untuk dijadikan panduan kepada pembaca.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035040
    Visit Today : 1256
    This Month : 17639
    Total Visit : 1035040
    Hits Today : 6261
    Total Hits : 4244595
    Who's Online : 7
  • Kategori