Kumpulan Gamelan DBP sedang berlatih sebelum membuat persembahan.

ERA 1980-an merupakan era yang menyaksikan perkembangan seni dan budaya yang pesat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bukan sahaja dengan pelbagai aktiviti yang diterajui oleh Badan Budaya DBP pada masa itu malah turut didukungi oleh karyawan Badan Keluarga DBP.

Seiring dengan perkembangan seni dan budaya tersebut, Kumpulan Gamelan DBP telah ditubuhkan pada tahun 1986. Anggotanya terdiri daripada Puan Kamariah Abu Samah, Allahyarhamah Puan Norraya Yusuf, Puan Shamsidar Omar (Dawama), Encik Rasdi Daud, Encik Abdul Halim Ilin (Dawama), Encik Zulkefli Abu Bakar, Haji Abu Bakar Buyong, Allahyarham Encik Mazlan Mohd. Ariff, Encik Johari Othman (Dawama) dan Encik Kamarulzaman Mat Mokhtar. Mereka merupakan 10 orang staf terawal dan perintis sehingga tertubuhnya Kumpulan Gamelan DBP.

Sekumpulan pendukung dan peminat seni DBP mula menggerakkan langkah merancang mengadakan persembahan lakontari yang besar dengan iringan muzik gamelan dinamai Bharatayudha II. Bagi memantapkan lagi persembahan, Kumpulan Gamelan DBP mempelajari kesenian muzik gamelan di Kompleks Budaya Negara di bawah program Institut Bimbingan Seni.

Kumpulan Gamelan DBP membuat persembahan dalam acara rasmi DBP.

Alunan irama gamelan istana ini turut menarik perhatian pihak luar untuk bersama-sama mengisi acara-acara penting negara. Antaranya persembahan Promosi Seni dan Kebudayaan Malaysia, Majlis Konvokesyen Universiti dan Institusi Pengajian Tinggi, Penyampaian Anugerah Ibu Mithali, dan sambutan Lawatan Pembesar Negara, Ratu Elizabeth dari England.

Keindahan seni muzik gamelan turut memberi jiwa dan rasa kepada pementasan drama, teater dan lakontari yang dipersembahkan oleh Badan Budaya DBP. Lakontari Bharatayudha II arahan Haji Othman Haji Zainudin, mantan penggiat teater DBP, membawa kumpulan ini menjelajah ke Kuching dan Sibu, Sarawak dalam program integrasi nasional sempena sambutan Hari Kebangsaan 1987 selain merayakan ulang tahun kesepuluh DBP Cawangan Sarawak. Jalinan seni antara DBP, Kerajaan Negeri Sarawak dan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Malaysia menghasilkan karya pementasan yang besar dalam sejarah negeri Sarawak pada waktu itu. Bermula daripada pengalaman tersebut, Kumpulan Gamelan DBP diberi kepercayaan untuk mengiringi pementasan karya teater antaranya drama “Kelongsong” arahan Puan Salmiah Ismail.

Generasi muda warga DBP berperanan meneruskan kesinambungan seni dan alunan muzik gamelan. Seni muzik dan persembahan kumpulan bukan hanya setakat mengingati nota lagu dan memainkan alat muzik mengikut irama dan rentak, malahan di sebalik alunan dan lenggok lagu gamelan, dapat mendidik ahli dengan falsafah ketepatan masa, peraturan dan disiplin yang tinggi. Yang penting sekali ialah kerja berpasukan yang padu dan terjalinnya kesatuan dalam pasukan. Semangat persaudaraan dan kekeluargaan yang akrab kekal dalam kumpulan, begitu juga dalam suasana pekerjaan. Semangat ini juga dizahirkan oleh anggota kumpulan sebagai warga kerja DBP dalam menjayakan persembahan sama ada yang kecil atau pun besar, demi menghasilkan karya yang mengagumkan penonton dan pendengar.

  1. kamarolzaman b abd halim says:

    Saya pemjnat lagu-lagu gamelan. Di manakah saya boleh mendapatkan CD lagu-lagu berkenaan? Diharap pihak tuan boleh mengirimkan CD tersebut kepada saya. Saya sanggup membayarnya.

    • Klik Web DBP says:

      Saudara boleh menghubungi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan atau mana-mana Insitusi kebudayaan dan warisan negeri untuk mendapatkan CD lagu-lagu tersebut.

  2. akmal hafiz says:

    Saya berminat untuk memberikan pendedahan kepada pelajar saya tentang kemahiran bermain gamelan, saya juga merupakan pengerusi kelab kesenian dan kebudayaan Institut Kemahiran MARA Kuala Lumpur. Bolehkah sekiranya saya membawa pelajar saya ke DBP untuk mempelajari bermain alat muzik gamelan?

    • Klik Web DBP says:

      Saudara perlu menghubungi Institusi Keseniaan Negeri atau Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk mendapatkan maklumat yang saudara kehendaki.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044528
    Visit Today : 949
    This Month : 27127
    Total Visit : 1044528
    Hits Today : 3287
    Total Hits : 4288260
    Who's Online : 13
  • Kategori