Oleh SHAFIQ AFENDI

Husin Hourmain, artis seni kontemporari Malaysia dan pelukis abstrak ekspresionisme

Husin Hourmain, artis seni kontemporari Malaysia dan pelukis abstrak ekspresionisme

MINAT melukis sejak kecil terbawa-bawa sehingga usia remaja. Dia gemar melawat galeri seni dan membeli lukisan yang diminati. Itulah Husin Hourmain, anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak. Husin mendalami seni grafik sehingga memperoleh Diploma Seni Reka Grafik dari Malaysian Institute of Art. Selepas itu, dia mendalami seni fotografi sehingga mendapat Sijil Fotografi dari Institut Kemahiran Belia Negara, Pertak, Selangor.

Pada tahun 1985, Husin memulakan kerjaya sebagai pereka grafik, seterusnya  bekerja sebagai pengurus dan pengarah seni di beberapa buah syarikat ternama. Bekerja “makan gaji” tidak memberikan kepuasan, lalu pada tahun 2003 Husin mengambil keputusan untuk berhenti dan menumpukan sepenuh masanya dalam bidang seni lukis. Pengalaman selama 18 tahun dalam bidang pengiklanan dirasakan cukup untuk bergerak sendirian dalam bidang seni visual. Kini, Husin dikenali sebagai artis seni kontemporari Malaysia dan pelukis abstrak ekspresionisme yang memberikan fokus sepenuhnya pada seni kaligrafi.

“Saya berkarya kerana saya harus berkarya, bukan untuk menjual produk. Saya ingin mencari kepuasan dalam berkarya, dan saya berasa puas apabila ada insan lain yang berminat dan menjadikan karya tersebut miliknya,” kata Husin.

 “Energy” (2004) yang diadakan di Galleriiizu, Kuala Lumpur merupakan pameran solo pertama Husin. Karya abstrak yang dipamerkan dihasilkan pada tahun 1995 dan 1996. Karya-karya tersebut banyak menggunakan elemen warna dan diilhamkan daripada sesuatu yang berkaitan dengan kuasa negatif dan positif.

Pameran solo Husin yang kedua, “Zero to Something, Zero to Nothing”, menceritakan tentang kewujudan dan kematian manusia. Pameran ini diadakan di PACE Gallery, Selangor pada tahun 2008.

“Karya dalam siri ini lebih berbentuk rohaniah, sama seperti menulis novel atau cerpen. Bezanya, saya menyampaikan isi hati menerusi lukisan,” ujarnya.

HA

HA

DHOT

DHOT

Selepas pameran solo yang kedua, Husin terasa ingin menghasilkan sesuatu yang dapat dijadikan imej atau ikon agama dan bangsa dalam karya. Huruf Jawi – Alif hingga Ya – sudah lama terimpan dalam fikirannya, lalu segera divisualkannya.

“Saya membuat kajian tentang abjad Jawi daripada sudut visual dan komposisi, seingat saya pada pertengahan tahun 2008. Saya mengkaji tentang cara yang sesuai untuk menjadikan Jawi sebagai imej atau subjek utama dalam karya lukisan saya.”

Tahun 2009, Husin memulakan lakarannya. Antara kesukaran yang dilalui sepanjang menghasilkan lukisan abjad Jawi itu adalah untuk memastikan setiap abjad mempunyai karakter tersendiri.

“Setiap huruf hampir sama olahannya, iaitu melukis lapisan demi lapisan dan huruf-huruf bertindih antara satu sama lain, tetapi setiap lukisan mengandungi mesej tersendiri. Saya juga perlu memberikan perhatian dalam aspek pengawalan berus supaya mendapat strok yang betul,” katanya.

 Hasilnya, Husin berjaya melahirkan ikon Jawi pada setiap lukisan dengan penggunaan pelbagai warna. Satu huruf jawi dijadikan satu objek lukisan. Dalam huruf itu pula dipenuhi huruf Alif hingga huruf Ya, tetapi setiap huruf itu tidak membentuk perkataan. Beliau mengambil masa selama tiga tahun (2009 – 2011) untuk menyiapkan 30 buah karya dalam siri abjad Jawi Alif hingga Ya. Pada bulan Mac 2013, Husin mempamerkan karya abjad Jawi tersebut pada pameran solo yang ketiga yang diberi judul “Awal Hurouf, Asal Hurouf” di Core Design Gallery @ Publica, Kuala Lumpur.

KAF

KAF

Menurut Husin, “awal huruf” adalah waktu untuk manusia mencari ilmu dan mengenali Penciptanya melalui ilmu tersebut, iaitu pada huruf yang tertulis dan tersirat dalam al-Quran dan kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada kita. Manakala, “asal huruf” adalah hak Yang Maha Esa. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui. Setiap abjad, Alif hingga Ya adalah permulaan untuk kita mencari ilmu. Setelah mengenal abjad, baharulah kita membentuk dan membunyikan perkataan. Daripada perkataan itu pula, terbentuk ayat.

“Gambaran yang saya paparkan adalah pengaruh Islam yang biasa dengan saya, bersama-sama teknik Barat yang saya fahami dengan pendekatan estetik berasaskan gaya abstrak ekspresionisme Amerika, seperti gaya Jackson Pollock.”

Karya kaligrafi Husin itu hanya satu titik permulaan baginya memperkenalkan dan menghidupkan semangat Melayu/Jawi dalam dunia seni lukis kontemporari Malaysia. Banyak lagi kajian yang perlu dilakukannya untuk mengenali dan memahami tentang Jawi dan kaitannya dengan bangsa Melayu.

Kaligrafi Islam kontemporari pertama yang berjumlah 30 buah itu mendapat perhatian khalayak seni dan pencinta kaligrafi. Nama Husin tersenarai sebagai pengkarya kaligrafi di Malaysia. Namun, Husin belum bersedia untuk menonjolkan diri sebagai pelukis kaligrafi Islam Malaysia. Baginya, ilmu yang dimiliki belum cukup untuk mengiktiraf dirinya sebagai pelukis khat.

Sentuhan Husin Hourmain

Sentuhan Husin Hourmain

“Jika mesej yang cuba saya sampaikan melalui karya saya dapat dinilai oleh orang ramai, saya menghargainya. Ia mencerminkan warisan budaya saya, sesuatu yang berkaitan dengan kepercayaan saya sebagai orang Islam.”

“Seni kaligrafi antara cara yang dapat menggalakkan rakyat pelbagai latar belakang dan budaya memahami Islam secara tidak langsung dan lebih mudah.”

Tambahnya lagi, seni lukisan berupaya menjadi salah satu sumber sejarah yang penting, apatah lagi tulisan Jawi yang semakin dilupakan oleh masyarakat kerana kurang pendedahan mengenainya. Oleh sebab itulah kebanyakan generasi sekarang bukan sahaja tidak memahami dan tidak dapat membaca tulisan Jawi,  malah ada yang tidak kenal huruf Jawi.

“Saya belajar mengenali diri dan kekuatan saya setiap kali melukis dan berfikir tentang seni. Seni adalah satu pengembaraan yang unik ke dalam ruang yang tidak diketahui, yang boleh diterokai hanya oleh mereka yang bersedia untuk mengambil peluang.”

kajian yang dilakukan oleh Husin Hourmain

Husin Hourmain sedang membuat kajian

Harapan Husin, agar lebih ramai pengumpul seni persendirian dan korporat dapat dilahirkan pada masa akan datang. Dia juga berharap supaya pihak tertentu dapat melihat seni kontemporari Malaysia sebagai satu produk “Buatan Malaysia” yang dapat dijadikan industri untuk pasaran antarabangsa.

“Bagi saya melukis adalah salah satu asas penting dalam proses menuntut ilmu, iaitu Membaca, Menulis, Mengira dan Melukis. ‘4M’ ini adalah formula yang penting untuk menuntut ilmu pengetahuan.”

Rimas di kota yang sibuk, Husin mengambil keputusan untuk menetap di sebuah kampung yang tenang. Dia membina sebuah rumah dan sebuah studio – dikelilingi tumbuhan menghijau yang mendesir ditiup angin, ada anak sungai mengalir perlahan airnya, kicauan burung menghias sunyi di pohonan dusun – sebuah kawasan yang sangat sesuai bagi Husin berkarya, bernama Kampung Hulu Ribu, Kuala Kangsar, Perak.

Dalam studio di daerah baharu ini, Husin sedang menyiapkan enam karya terbaharu, kesinambungan karya siri abjad Jawi, “Awal Huruf Asal Huruf” yang menaikkan namanya sebagai pelukis kaligrafi di Malaysia.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035888
    Visit Today : 666
    This Month : 18487
    Total Visit : 1035888
    Hits Today : 2622
    Total Hits : 4248712
    Who's Online : 19
  • Kategori